MPAJ RAI PENGAMAL MEDIA SEMPENA ULANG TAHUN KE-34

0
32
ERATKAN JALINAN – Ts. Haji Hasrolnizam Shaari bergambar bersama pengamal media yang menyertai Kejohanan Boling Persahabatan sempena Program Jalinan Mesra MPAJ Bersama Media di Ampang Superbowl, Ampang Point, malam tadi.

AMPANG, 29 Julai – Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ) terus menghargai peranan pengamal media sebagai rakan strategik menerusi penganjuran Program Jalinan Mesra MPAJ Bersama Media sempena sambutan ulang tahun ke-34 pihak berkuasa tempatan itu di Ampang Superbowl, Ampang Point, malam tadi.

Program yang berlangsung dalam suasana santai dan penuh semangat kesukanan itu menghimpunkan hampir 100 peserta terdiri daripada wakil media cetak, elektronik dan digital menerusi Kejohanan Boling Persahabatan.

MERIAH – Pengamal media dan warga MPAJ beraksi dalam Kejohanan Boling Persahabatan sempena sambutan Ulang Tahun Ke-34 MPAJ di Ampang Superbowl, Ampang Point.

Timbalan Yang Dipertua MPAJ, Ts. Haji Hasrolnizam Shaari berkata, program berkenaan menjadi platform terbaik untuk mengeratkan silaturahim, memperkukuh persefahaman serta mengukuhkan hubungan kerja antara MPAJ dengan pengamal media.

Menurut beliau, media memainkan peranan penting sebagai jambatan komunikasi antara MPAJ dengan masyarakat, khususnya dalam menyampaikan maklumat berkaitan dasar, pembangunan bandar, program kemasyarakatan dan pelbagai inisiatif yang dilaksanakan oleh pihak berkuasa tempatan.

“Melalui laporan yang tepat, pantas dan beretika, segala dasar, polisi serta program yang dilaksanakan oleh MPAJ dapat disampaikan dengan lebih berkesan kepada masyarakat,” katanya ketika merasmikan program tersebut.

RAKAM KENANGAN – Timbalan Yang Dipertua MPAJ, Ts. Haji Hasrolnizam Shaari (dua dari kiri) meluangkan masa bergambar bersama peserta dalam suasana santai sempena Program Jalinan Mesra MPAJ Bersama Media sempena sambutan Ulang Tahun Ke-34 MPAJ.

Beliau berkata, kehadiran wakil daripada pelbagai organisasi media membuktikan hubungan erat yang telah sekian lama terjalin dalam memastikan segala maklumat dan inisiatif MPAJ dapat disampaikan kepada masyarakat secara meluas.

Antara organisasi media dan agensi yang menyertai program itu ialah The Star, Harian Metro, Selangor FM, China Press, Astro Awani, Media Selangor, Pertubuhan Wartawan dan Jurugambar Selangor (WAJAR), Sinar Harian, Radio Televisyen Malaysia (RTM) serta Tourism Selangor.

Selain mengeratkan hubungan, kejohanan tersebut turut menjadi medan memupuk semangat berpasukan, kerjasama, disiplin dan sikap saling menghormati dalam kalangan peserta.

Dalam pertandingan itu, pasukan Metro Old School muncul juara selepas mengumpul 1,438 pin, diikuti Astro Awani di tempat kedua dengan 1,435 pin, manakala The Star di tempat ketiga dengan 1,420 pin. Tempat keempat pula dimenangi Pin Splitz (RTM) dengan 1,313 pin.

BURU STRIKE – Aksi peserta ketika Kejohanan Boling Persahabatan yang menghimpunkan warga MPAJ dan pengamal media dalam suasana penuh semangat kesukanan dan silaturahim.

Hasrolnizam berkata, sambutan ulang tahun ke-34 MPAJ bukan sekadar memperingati penubuhan sebuah pihak berkuasa tempatan, malah menjadi lambang perjalanan, kemajuan dan komitmen berterusan majlis dalam meningkatkan mutu penyampaian perkhidmatan kepada warga Ampang Jaya.

Katanya, MPAJ akan terus memperkukuh sistem penyampaian perkhidmatan, memperkasa pembangunan bandar secara mampan serta memastikan kesejahteraan rakyat sentiasa menjadi keutamaan.

Beliau turut merakamkan penghargaan kepada semua penaja, rakan strategik, urus setia, pegawai, kakitangan MPAJ dan pengamal media yang menjayakan program berkenaan.

“Semoga Kejohanan Boling Persahabatan ini dapat diteruskan sebagai acara tahunan dalam usaha memperkukuh hubungan strategik dan kerjasama erat antara MPAJ dengan pihak media demi manfaat masyarakat,” katanya.

 

 

About The Author