IKAN KELI 6.740 KILOGRAM BAWA TUAH BUAT HANAFFI

0
189

PETALING JAYA, 21 Sept – Terry Tom Bejiod @ Mohammad Hanaffi muncul juara PJ Joran 2026 selepas menaikkan ikan keli seberat 6.740 kilogram di Tasik Bandaran Kelana Jaya di sini, semalam.

Dengan kemenangan tersebut, Mohammad Hanaffi, 45, dari Puchong membawa pulang hadiah wang tunai RM7,000 selepas tangkapannya muncul sebagai ikan terberat dalam pertandingan itu.

“Ini kali pertama saya menyertai pertandingan ini dan tidak sangka terus menjadi juara. Anak yang memaksa saya menyertainya dan saya sangat gembira. Kemenangan ini saya kongsi bersama keluarga,” katanya.

Tempat kedua dimenangi Azrul Amrie Mohd. Zailani, 27, dari Gombak yang membawa pulang RM2,000 selepas menaikkan ikan keli seberat 6.390 kilogram manakala tempat ketiga menjadi milik Mislan Mohd. Jawahar, 60, sekali gus membawa pulang hadiah wang tunai RM1,000.

PJ Joran 2026 yang merupakan aktiviti tahunan Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) dan kini sudah memasuki tahun kelapan penganjurannya. Ia disertai 640 peserta dari Selangor, Kuala Lumpur, Melaka, Negeri Sembilan, Pahang dan Perak.

Ia dirasmikan oleh Timbalan Datuk Bandar Petaling Jaya, Sharinaz Samsudin.

Menurutnya, pertandingan itu juga menjadi antara usaha mengawal pembiakan spesies ikan larangan antaranya keli Afrika, ikan raja dan tilapia yang terdapat di tasik berkenaan.

Sepanjang pertandingan, hampir 300 ekor ikan pelbagai spesis berjaya dinaikkan oleh para peserta.

About The Author