KUALA LUMPUR, Jan 28 – Pasukan DBKL A muncul juara pertandingan Tarik Tali Terbuka Kuala Lumpur sempena Sambutan Jubli Emas Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) tahun ini.
Kejuaraan dua hari itu diadakan di Taman Rekreasi Pudu Hulu, Cheras pada 26 dan 27 Februari lalu.
Kejayaan tersebut membolehkan pasukan DBKL A membawa pulang hadiah wang tunai RM4,000, medal dan piala kejuaraan.
Pengurus DBKL A, Halim Yamin ternyata bangga selepas pasukan kendaliannya berjaya mengharumkan nama DBKL setelah dua kali menyertai pertandingan seumpama ini. Tahun ini, gelaran juara menjadi milik mereka.
“Perasaan tentu la seronok apatah lagi muncul juara untuk edisi 2022. Ini adlah hasil usaha dan kerja keras berpasukan yang menjadi kekuatan utama DBKL A,” katanya.
Bagi saingan kategori lelaki itu, DBKL A diberi tentangan sengit oleh pasukan MBSA A sebelum bergelar juara.
Namun, keadaan padang yang becak mempengaruhi corak gerakan kedua-dua pasukan untuk bergelar juara.
Pasukan MBSA A yang muncul naib juara menerima hadiah wang tunai RM3,000, medal dan piala.
Tempat ketiga menjadi milik pasukan MBSA B, sekali gus memenangi hadiah wang tunai RM2,000, medal dan piala manakala pasukan Bomba KL menamatkan saingan di tempat ke- 4 untuk membawa pulang wang tunai RM1,000, medal dan piala.
Bagi pertandingan kategori “Loser Pool”, juara dirangkul oleh pasukan DBKL B diikuti pasukan Bomba Selangor sebagai naib juara dan tempat ketiga dimenangi pasukan MBIP Johor.
Penganjuran program ini tetap mengikuti SOP Covid-19 yang ditetapkan oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan Kementerian Belia dan Sukan (KBS).
Hadir di majlis tersebut adalah Timbalan Pengarah Kanan Jabatan Kebudayaan, Kesenian, Pelancongan & Sukan DBKL, Izwan Razif Salehaped.
Dalam ucapan ringkasnya, Izwan menjelaskan bahawa DBKL akan memperbanyakkan lagi program dan aktiviti riadah untuk komuniti setempat, meliputi pelbagai lapisan umur.
“Sambutan sukan tradisi tarik tali kali ini sangat menggalakkan dan pihak penganjur telah menerima banyak penyertaan daripada pelbagai agensi kerajaan. Semua pasukan yang bertanding telah menunjukkan semangat kesukanan yang tinggi dan ini satu perkembangan yang sangat positif,” jelasnya.