PANTAI SEPAT DESTINASI PERTANDINGAN MEMANCING CUTI-CUTI MALAYSIA 23 JUN NANTI

0
518
Pantai Sepat, Kuantan akan menjadi destinasi pertandingan memancing Cuti-Cuti Malaysia minggu depan.

KUANTAN, 15 Jun – Pertandingan memancing Cuti-Cuti Malaysia Surfcasting Tour bertemakan ‘A Journey To VM2026’ kembali menemui ‘kaki pancing’ di Pantai Sepat Kuantan pada 23 Jun ini.

Pertandingan tersebut yang turut membantu mempromosikan destinasi pelancongan menarik di Pahang, menawarkan hadiah wang tunai keseluruhan RM53,000.

Juara bakal membawa pulang RM20,000 manakala naib juara dan tempat ketiga masing-masingnya akan menerima RM4,000 dan RM1,000.

Peserta yang menamatkan pertandingan di kedudukan keempat akan menerima RM500 manakala pemancing yang menghuni kedudukan kelima hingga ke-10, masing-masingnya akan menerima RM300.

Turut menerima habuan adalah para peserta yang berada di kedudukan ke-11 hingga ke-150 yang akan meraih wang tunai RM180 setiap seorang.

Pertandingan anjuran Wakjali Event Management dengan sokongan Tourism Malaysia itu, akan bermula pada jam 9.00 pagi hingga 1.00 tengahari dan kaunter pendaftaran akan dibuka di lokasi pertandingan pada 22 Jun (Sabtu) bermula jam 3.00 petang hingga 12.00 malam.

Para peserta juga boleh membuat pendaftaran pada jam 7.00 pagi (hari Ahad, 23 Jun) hingga pertandingan dimulakan.

Jurucakap penganjur, Md Zali Kasran, berkata, pertandingan tersebut antara lainnya  menyokong usaha kerajaan dalam merancakkan pelancongan domestik menerusi tema Cuti-Cuti Malaysia.

“Pertandingan ini diharap dapat membantu industri pelancongan domestik dengan pergerakan peserta dari negeri seluruh Semenanjung bagi menyertai acara ini.

Ikan Gerong Belang antara spesis ikan yang terdapat di Pantai Sepat.

“Selain memancing, peserta yang hadir bersama keluarga untuk bercuti di pusat pelancongan popular itu, turut menyumbang terhadap kerancakan ekonomi setempat khususnya dalam sektor makanan dan perhotelan,’’ katanya.

Beliau berkata Pantai Sepat memang kaya dengan pelbagai spesis ikan bergred A seperti pari, ebek, gerong belang, todak dan lain-lain.

Katanya, penganjur juga menyediakan 400 baju-T untuk peserta yang mendaftar awal di lokasi pertandingan.

“Bagi menggalakkan kehadiran peserta, penganjur menetapkan yuran RM75.00 untuk satu joran manakala bagi pemancing kelainan upaya pula hanya perlu membayar RM50.00.

“Ini adalah yuran penyertaan paling murah pernah dikenakan dalam pertandingan memancing dengan hadiah juara RM20,000.00,’’ katanya

Sebaramg pertanyaan berhubung pendaftaran boleh menghubungi penganjur di talian 019-6203040, 012-2141401 dan 012-6823479.

 

About The Author