500 KAKI PANCING SAHUT CABARAN SANTAI JORAN KL DI KEPONG AHAD INI

0
1499

KUALA LUMPUR, 24 Nov – Lebih 500 peserta bakal tampil menyahut cabaran pada pertandingan memancing Santai Joran Kuala Lumpur 2023 yang menawarkan hadiah wang tunai keseluruhan RM17,000.

Acara tersebut bakal berlangsung di Taman Tasik Metropolitan, Kepong pada ahad ini.

Timbalan Pengarah, Jabatan Pembangunan Landskap & Rekreasi, DBKL, Muhammad Fauzi Omar berkata program tersebut antara lain bertindak untuk membantu mempromosikan pelancongan domestik di kawasan tasik di ibu kota selain merapatkan hubungan kekeluargaan dengan masyarakat setempat.

“Tasik ini boleh dikatakan sebagai tarikan buat kaki pancing dan dalam pertandingan sebelum ini lebih 300 ekor ikan pelbagai spesis dinaikkan oleh mereka.

“Selepas setahun tiada pertandingan di sini, kini ia kembali lagi dan sudah pasti ia tidak akan menghampakan pemancing di tasik ini dari kalangan warga kota,” kata Muhammad Fauzi.

Pada pertandingan kali ini, spesis keli menjadi sasaran bagi merebut hadiah utama manakala spesis ikan yang diletakkan di bawah kategori hadiah khas.

Menurut Muhammad Fauzi lagi, juara pertandingan bakal membawa pulang hadiah wang tunai RM5,000 diikuti naib juara (RM1,000), ketiga (RM700), keempat hingga ke-10 (RM200), tempat ke-11 hingga 20 (RM100) dan tempat ke-21 hingga 100 (RM100).

“Hadiah khas untuk pemenang ikan lain turut disediakan sehingga tempat ketiga. Selain itu, hadiah cabutan bertuah juga menawarkan hadiah yang agak lumayan –  antaranya TV 32 inci serta barang-barang peralatan memancing,” katanya.

Yuran penyartaan adalah RM50 untuk sebatang joran dan 300 penyertaan terawal akan menerima baju-T sumbangan penaja.

Pendaftaran boleh dibuat dengan pihak urus setia pertandingan di lokasi pertandingan bermula Sabtu depan pada pukul 3 petang hingga 9 malam. Pada keesokkan harinya, kaunter pendaftaran akan dibuka bermula pukul 6.30 hingga 10 pagi.

Pertandingan ini dianjurkan bersama oleh DBKL dan Nadi Events selain Team JoranKL bertindak sebagai pengurusan teknikal.

Untuk pertanyaan lanjut berkaitan pertandingan ini, orang ramai boleh menghubungi urus setia di talian 013-266 1077, 012-3554946 atau 012-284 6811 atau layari laman https://www.facebook.com/jorankl.

About The Author

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here