PETALING JAYA, 19 Feb – Hadiah wang tunai keseluruhan berjumlah RM21,300 menanti para pemenang pada Pertandingan Memancing Petaling Jaya Joran 2025 (PJ Joran 2025) yang bakal berlangsung pada Ahad ini di Taman Tasik Bandaran Kelana Jaya.
Acara yang dianjurkan oleh Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) merupakan antara agenda sempena sambutan Tahun Melawat Selangor 2025.
Timbalan Datuk Bandar Petaling Jaya, Aznan Hassan, berkata pertandingan ini telah memasuki edisi keenam dan sentiasa mendapat sambutan luar biasa daripada para pemancing sekitar Lembah Klang.
“Sebanyak 600 penyertaan disasarkan pada tahun ini dan ia terbuka kepada semua kakai pancing. Ia juga bertujuan untuk mempromosikan Taman Tasik Bandaran Kelana Jaya sebagai destinasi riadah domestik.
“Pemenang utama bakal membawa pulang RM6,000 berserta piala manakala naib juara menerima RM3,000 dan tempat ketiga pula bakal menerima RM1,000. Hadiah wang tunai turut diberikan kepada peserta di tempat keempat hingga ke-100,” katanya.
Bagi menarik lebih ramai peserta, tiga tasik dibuka dengan semua spesies ikan dipertandingkan.
Pada tahun 2023, peserta yang menaikkan ikan patin seberat 5.72 kilogram telah dinobatkan sebagai juara dan diharapkan ada pemancing yang berjaya menaikkan ikan lebih besar tahun ini.
Yuran penyertaan adalah RM60 bagi setiap joran dan pendaftaran boleh dilakukan pada hari Sabtu jam 4 petang hingga 10 malam serta pada hari pertandingan mulai 6.30 pagi sehingga pertandingan bermula.
Sebanyak 400 helai baju-T percuma akan diberikan kepada peserta terawal, selain cabutan bertuah yang menawarkan pelbagai hadiah menarik.