CABARAN JORAN KL BAKAL MERIAHKAN KARNIVAL KELUARGA 50WP

0
384

KUALA LUMPUR,24 Julai – Cabaran Joran Kuala Lumpur bakal memeriahkan karnival Santai Keluarga 50WP & Temu DBKL @ Wangsa Maju di Taman Tasik Danau Kota, Setapak pada Ahad ini.

Agenda tersebut yang bakal disertai lebih 600 peserta merupakan sebahagian daripada aktiviti yang telah dirancang sempena sambutan 50 tahun Wilayah Persekutuan.

Menurut Pengarah Jabatan Pembangunan Komuniti dan Kesejahteraan Bandar DBKL, Zulkifli Muhamad, hadiah lumayan menanti para pemenang Cabaran Joran Kuala Lumpur ini dengan nilai keseluruhan RM20,000.

Katanya, juara pertandingan akan membawa pulang hadiah wang tunai RM5,000 diikuti RM2,000 (naib juara) dan RM1,000 (ketiga) manakala tempat keempat hingga ke-10, masing-masingnya akan menerima RM200.

Tempat ke-11 hingga 20 pula bakal menerima RM150 dan seterusnya tempat ke-21 hingga 100 masing-masingnya akan menerima RM100.

“Selepas lebih lima tahun tiada pertandingan di sini (Tasik Danau Kota), kini ia kembali dan tidak akan menghampakan para pemancing.

“Paling menarik para peserta boleh menaikan apa juga spesis ikan selain spesies ikan keli yang disediakan khusus untuk hadiah khas.

“Juara spesis ikan keli akan membawa pulang RM500, diikuti RM300 (naib juara) dan tempat ketiga hingga 5 menerima RM100.

“Taman Tasik Danau Kota Setapak mempunyai keunikan tersendiri kerana banyak spesies ikan terbaik termasuk patin, lampan, keli, haruan, pacu, raja, talapia, belida, rohu, koi, toman, ikan bandaraya menanti kaki pancing,” katanya ketika ditemui selepas acara melepaskan spesis ikan jelawat sungai dan baung tempatan di tasik tersebut semalam.

Zulkifli berkata, program itu merupakan salah satu daripada lebih 10 acara yang disediakan sempena Karnival Santai Keluarga Temu DBKL @ Wangsa Maju, sekali gus membentuk perpaduan dan persefahaman antara warga kota.

“Ada tiga kompenan program disediakan antaranya Santai Keluarga 50 Wilayah Persekutuan, Temu DBKL@Wangsa Maju dan Bulan Kemerdekaan.

“Antara program yang disediakan selama dua hari itu termasuk KL Hunt @ 50WP, E-sport, Streets Art, Program Kebun Komuniti Kita @WP, Kejohanan Memanah, Jualan Angro Madani dan lain-lain lagi.

“Saya berharap para peserta hadir ke karnival ini bersama ahli keluarga masing-masing, datang dengan disiplin yang tinggi terutamanya dari segi keselamatan selain sama-sama menjaga kebersihan tasik”, ujarnya lagi.

Yuran penyertaan untuk Cabaran Joran Kuala Lumpur ini adalah RM50 untuk sebatang joran dan sebanyak 500 penyertaan terawal layak menerima sehelai baju-T.

“Pendaftaran boleh dilakukan di meja urus setia di lokasi pertandingan pada Sabtu ini, bermula jam 3.30 tengah hari hingga jam 9 malam dan keesokannya, kaunter akan dibuka pada jam 6.30 pagi hingga jam 10 pagi.

“Untuk maklumat lanjut, sila layari laman Facebook JORANKL atau hubungi urus setia di talian 013-266 7011, 012-3554946 dan 012-284 6811,” katanya.

About The Author