IKAN PATIN SEBERAT 15.435 KILOGRAM BAWA TUAH BUAT RAZMAN

0
315
Para pemenang Cabaran Joran KL 2024 yang berlangsung di Tasik Danau Kota.

KUALA LUMPUR, 28 Julai – Razman Abu Hassan membawa pulang hadiah utama selepas muncul juara Cabaran Joran Kuala Lumpur yang berlangsung di Tasik Danau Kota di ibu negara hari ini.

Ikan patin seberat 15.435 yang berjaya ditawan Razman, membolehkannya menerima hadiah wang tunai RM5,000 pada pertandingan yang dianjurkan sempena karnival Santai Keluarga 50WP & Temu DBKL @ Wangsa Maju itu.

Beliau menewaskan lebih 600 peserta pada pertandingan anjuran Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL).

Razman ketika ditemui berkata, beliau bersyukur atas rezeki yang diterima tanpa diduga.

Katanya, kemenangan itu adalah hasil daripada tangkapan ikan patin dengan menggunakan umpan roti perisa pandan.

Naib juara yang menerima RM2,000 menjadi milik Diemas Arbianshah yang menaikkan ikan patin seberat 7.805 kilogram manakala tempat ketiga dimenangi Fakhrul Ammar yang membawa pulang RM1,000 selepas berjaya menaikkan ikan lekoh seberat 4.070kg.

Pengarah Eksekutif Pembangunan Sosio-Ekonomi DBKL, Ismadi Sakirin, berkata pihaknya berpuas hati dengan sambutan yang diterima apabila lebih 500 ekor ikan pelbagai spesis berjaya dinaikkan oleh para peserta pertandingan tersebut.

Justeru, beliau yakin bahawa matlamat membentuk perpaduan dan keharmonian dalam kalangan pelbagai lapisan masyarakat tanpa mengira peringkat usia mahupun agama dapat dicapai menerusi aktiviti riadah sihat seperti ini.

“Objektif sebenarnya adalah kita mahu memberi rakyat peluang untuk bersantai, beriadah dan dapat bersama-sama mengeratkan hubungan silaturahim dalam kalangan warga kota.

“Saya juga melihat bahawa Tasik Danau Kota ini ada potensi dipilih lagi sebagai lokasi pertandingan akan datang berdasarkan maklum balas peserta yang inginkan hanya spesis keli sahaja dipertandingkan.

“Dengan suasana persekitaran yang indah, selain usaha DBKL menaikkan infrastruktur untuk kemudahan pengunjung, tasik ini seterusnya menjadi satu lagi destinasi riadah baharu bagi DBKL,” katanya.

About The Author