TIADA KEPERLUAN BUAT MASA INI UNTUK ISYTIHAR DARURAT

0
531

KENYATAAN MEDIA

KUALA LUMPUR, 25 Okt – Adalah dimaklumkan bahawa KDYMM Seri
Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa
Billah Shah Ibni Almarhum Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta’in Billah telah berkenan
memperhalusi permohonan yang telah dipersembahkan oleh YAB Perdana Menteri
Tan Sri Muhyiddin Yassin di majlis menghadap di Istana Abdul Aziz, Kuantan, Pahang
pada Jumaat lalu (23 Oktober, 2020).

Permohonan tersebut ialah pelaksanaan Darurat Perkara 150(1) dan Pemasyhuran
Ordinan Darurat (Kuasa-Kuasa Perlu 2020) menurut Perkara 150(2B) Perlembagaan
Persekutuan untuk memerangi ancaman wabak COVID-19 di negara ini.

Setelah memperhalusi permohonan dan berbincang dengan Raja-Raja Melayu dan
melihat situasi yang sedang dihadapi oleh negara, Al-Sultan Abdullah merasakan
Kerajaan sekarang telah berjaya menangani wabak ini dengan baik dan berkesan.

Seri Paduka Baginda amat mempercayai keupayaan Kerajaan di bawah pimpinan
YAB Perdana Menteri untuk terus melaksanakan dasar dan tindakan penguatkuasaan
bagi membendung gejala wabak COVID-19 ini daripada terus merebak.

Al-Sultan Abdullah berpendapat tiada keperluan buat masa ini untuk Seri Paduka
Baginda mengisytiharkan darurat di negara ini atau mana-mana bahagian negara
Malaysia.

Kendatipun begitu, Seri Paduka Baginda ingin mengingatkan ahli-ahli politik untuk
memberhentikan segera segala politicking yang boleh menggangu kestabilan
pemerintahan negara.

Al-Sultan Abdullah turut berpendapat bahawa tiada perlunya Ahli-ahli Parlimen
meneruskan tindakan tidak bertanggungjawab yang boleh mengganggu gugat
kestabilan Kerajaan sedia ada.

Seri Paduka Baginda menegaskan bahawa Belanjawan Negara 2021 yang akan
dibentangkan di sidang Parlimen adalah amat penting kepada rakyat di dalam
menangani wabak COVID-19 dan memulihkan ekonomi negara.

Justeru, peruntukan kewangan amat diperlukan oleh petugas barisan hadapan bagi melancarkan tugas dan tanggungjawab mereka.

Sesungguhnya, Al-Sultan Abdullah amat prihatin terhadap kegelisahan seluruh rakyat
ekoran daripada kenaikan mendadak beberapa kluster baharu dan kes positif harian
COVID-19 di negara ini.

Al-Sultan Abdullah menzahirkan keyakinan bahawa dengan semangat perpaduan dan
juang yang tinggi seperti yang telah pernah dipamerkan bersama, kita mampu sekali
lagi berganding bahu memerangi gelombang ketiga penularan wabak ini.

Sehubungan dengan itu, Seri Paduka Baginda menyeru seluruh rakyat, tanpa mengira
latar belakang dan khususnya fahaman politik, mengenepikan segala perbezaan dan
perbalahan untuk bersatu padu dan bersatu hati memainkan peranan masing-masing dalam membantu Kerajaan dan pihak-pihak berkuasa membendung wabak COVID-
19 demi keselamatan diri dan kesejahteraan negara yang kita cintai bersama ini.

Al-Sultan Abdullah turut mengambil kesempatan ini mengajak seluruh rakyat untuk
bersama Seri Paduka Baginda berdoa semoga wabak COVID-19 ini dapat dibanteras
dengan berkesan dan diakhiri dengan segera.

 

About The Author

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here