HARITH JULANG REPUTASI TOBAKI PINK RACING DI TANGKAK

0
1412

TANGKAK, 15 Mei – Hajat Md Harith Farhan Baharin untuk menghadiahkan kemenangan podium buat pasukannya – Tobaki Pink Racing menjadi kenyataan.

Pelumba asal Terengganu itu menamatkan perlumbaan akhir kelas CP125 di kedudukan ketiga pada aksi Pusingan 2 kejuaraan Cub Prix Malaysia di Litar Lumba Tangkak hari ini.

Ia kemenangan yang sungguh luar biasa jika mengambil kira prestasi yang dia pamerkan sepanjang perlumbaan 15 lap itu.

IKA (berdiri tengah) bersama krew pasukan bagi meraikan kejayaan Harith di Litar Lumba Tangkak hari ini.

Lagi pun, Harith memulakan perlumbaan tersebut di petak kelima dan ia bukan satu tugas mudah untuk mengejar para pencabarnya yang berada di kelompok hadapan.

Namun ternyata, ia bukan halangan buat Harith yang terus fokus mengharungi perlumbaan dengan gaya tunggangan yang sangat meyakinkan.

Dia bijak mencuri peluang untuk memintas pelumba di hadapannya meskipun dia sedar dengan kemampuan jenteranya yang masih belum seratus peratus stabil.

Taktikal, keberanian serta kebijaksanaannya mengawal jentera telah memudahkan tugasnya untuk menempatkan dirinya dalam kelompok tiga pelumba di hadapan.

Kedudukan tersebut terus dipertahankan tanpa membenarkan lawannya yang berada di belakang untuk memintas.

Kemenangan itu membuktikan kerja keras krew Tobaki Pink Racing selama ini, telah membuahkan hasil selepas mereka berdepan dengan pelbagai masalah teknikal pada saingan Pusingan 1 di Litar Sepang Utara pada Mac lalu.

Prestasi mereka di Sepang itu merupakan mimpi buruk buat pemilik pasukan yang juga Youtuber terkenal, Nur Atikah Azwar selepas dua pelumba harapannya itu nampak ‘struggle’ untuk mengerah jentera mereka ke tahap maksimum.

Akibatnya, Harith sekadar menamatkan perlumbaan di tempat ke-15 pada saingan di Sepang itu manakala Saiful Azhary Muhamad terkeluar daripada perlumbaan selepas berlaku masalah dengan jenteranya.

Hari ini, segala permasalah itu berjaya diatasi dan ia mula membuktikan hasil yang sangat membanggakan.

Pastinya terima kasih kepada krew kejuruteraan Tobaki Pink Racing seramai 16 orang diketuai Mohd Afran yang telah bekerja siang dan malam tanpa jemu bagi mengatasi masalah yang menjadi mimpi ngeri buat mereka di Sepang, Mac lalu.

Bagi Harith pula, kejayaannya menjejak kaki di podium hari ini dianggap sebagai satu pencapain yang luar biasa.

“Sepanjang karier saya, saya tidak pernah mencatat keputusan yang baik di Litar Tangkak. Saya boleh katakan bahawa ia bukan litar kegemaran saya. Ia sangat teknikal.

“Hari ini mungkin rezeki saya dan berkat kesabaran ketika mengharungi perlumbaan, akhirnya saya mampu berada di podium kemenangan di Tangkak ini.

“Terima kasih kepada seluruh krew pasukan yang telah menyediakan jentera terbaik buat saya mengharungi aksi Pusingan 2 kejuaraan Cub Prix Malaysia,” jelas Harith yang pernah menghadiah tiga kemenangan podium buat Pink Racing pada musim lalu.

Pada perlumbaan hari ini, Harith menamatkan saingan dengan catatan masa 11.45.595 saat (s).

Pelumba pasukan ONEXOX TKKR Racing Team, Md Hafiza Rofa muncul juara dengan merekodkan masa 11:43.329s manakala Md Aliff Danial Md Asri (Petronas Sprinta Yamaha Maju Motor) di kedudukan kedua dengan masa 11:44.012s.

Saiful Azhary

Seorang lagi pelumba Tobaki Pink Racing, Saiful Azhary Muhamad menamatkan perlumbaan 15 lap itu di kedudukan ke-11 dengan catatan masa 11:52.004s, sekali gus meraih lima mata.

Harith pula yang meraih satu mata pada Pusingan 1 Mac lalu, berjaya memungut 16 mata hari ini bagi membolehkannya berada di kedudukan ketujuh keseluruhan dengan 17 mata.

Sementara itu, hajat pasukan Tobaki Pink Racing untuk melakar kejutan dalam kategori Wira pada Pusingan 2 ini tidak kesampaian.

Dua pelumbanya, Danny Mikhail Khairul Fauzi dan Md Irfan Danish Md Arfan terjatuh ketika saingan baharu memasuki lap ketiga.

Insiden tersebut sekali gus meranapkan sasaran mereka untuk sekurang-kurangnya menamatkan perlumbaan tersebut dalam kelompok 10 terbaik.

Pujian harus diberikan kepada pelumba wanita Nur Dini Uzma Abdullah yang berjaya menamatkan perlumbaan tersebut di kedudukan ke-13.

Ia satu pencapaian yang membanggakan buat pelumba berusia 17 tahun itu yang semakin memperlihatkan kematangan dengan gaya tunggangannya.

Selepas ini, kejuaraan ini akan kembali ke Litar Sepang Selatan yang akan menjadi tuan rumah Pusingan 3 pada 11-12 Jun nanti.

 

About The Author

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here