TBPR BUKAN YANG TERPANTAS, TETAPI PEJUANG

0
980

 

SEPANG, 17 Sept – Mereka bukan terpantas tetapi barisan pelumba Tune Boss Pink Racing (TBPR) adalah pejuang.

Itu yang dibuktikan oleh TBPR, pasukan yang dimiliki sepenuhnya oleh seorang wanita, Nur Atikah Azwar pada aksi pembuka tirai saingan Pusingan 3 kejuaraan Cub Prix Malaysia yang berlangsung di Litar Sepang Utara hari ini.

Hari ini mereka kembali melangkah ke litar untuk meneruskan perjuangan sebaik kejuaraan ini bersambung semula selepas ditangguhkan sejak Mei lalu gara-gara pandemik Covid-19.

Agenda bermula dengan sesi latihan bebas pada sebelah paginya yang dipergunakan sepenuhnya oleh krew pasukan untuk melakukan kerja-kerja pelarasan jentera agar bersesuaian dengan gaya tunggangan para pelumbanya.

Hasilnya agak memuaskan meskipun sukar untuk memastikan ia sempurna seratus peratus, lagi pun setiap pelumba mempunyai pelarasan yang berbeza.

Ketika mengharungi dua sesi latihan bebas bagi kelas CP125, hasilnya telah menunjukkan peningkatan yang amat ketara terutama pada sesi kedua apabila tiga pelumbanya Mohd Harith Farhan Baharin, Siti Norafizah Mohamad dan Saiful Azhary berjaya menempatkan diri dalam kelompok 15 pelumba terpantas.

Perkembangan tersebut pastinya akan memberi kayakinan kepada barisan pelumba TBPR untuk terus tampil konsisten ketika mengharungi saingan Pusingan 3 dan 4 minggu ini.

Detik-detik paling menarik pastinya ketika mereka beraksi dalam sesi kelayakan kelas CP125 itu.

Jentera nampak stabil, namun barisan pelumbanya tetap menggunakan sesi tersebut bagi menguji sejauh mana kemampuannya untuk memberi saingan kepada para pencabar mereka.

Malah, pada sesi kelayakan itu Norafizah atau lebih dikenali sebagai Fifi pernah mempimpin kedudukan sebelum membuat keputusan untuk menyimpan ‘senjatanya’ sebagai persiapan menghadapi saingan sebenar esok.

Hartih Farhan juga dilihat semakin memperagakan gaya tunggangan yang agak mencengkam manakala anggota terbaharu TBPR, Saiful Azhary masih mencari rentak bagi menyesuaikan diri dengan suasana baharu.

Namun, dia tetap mampu menampilkan aksi terbaik walaupun masih belum dapat menyesuaikan diri sepenuhnya dengan jenteranya.

Pada sesi kelayakan itu, Harith muncul pelumba terpantas buat TBPR apabila menghuni kedudukan ke-10 dengan catatan masa 1:24.092 saat (s) manakalan Fifi dan Saiful masing-masingnya  menamatkan sesi tersebut di kedudukan ke-13 dan 14.

Dengan kedudukan tersebut, Harith akan bersaing dalam sesi Shoot-Out esok bagi merebut kedudukan petak.

Md Hafiza Rofa dari pasukan ONEXOX TKKR Racing Team menguasai sesi kelayakan kelas CP125 itu dengan catatan masa terpantas 1:22.229s.

Seorang lagi pelumba TBPR, Siti Norsyafiah Alia Saarizan yang menggalas cabaran dalam kategori Wira, kini sudah mula memperlihatkan kayakinan dan berharap dia mampu menjelmakan kejutan pada saingan sebenar esok.

Bagi TBPR, walau apa pun keputusan yang bakal diraih oleh barisan pelumbanya, mereka harus terus berjuang kerana ia merupakan kunci untuk meraih kejayaan.

Pengurusnya, Nur Atikah Azwar tetap berbangga dengan apa yang diperagakan oleh para pelumbanya.

“Walaupun sudah berehat lebih tiga bulan, namun saya tetap berbangga dengan apa yang dibuktikan oleh semua pelumba. Mereka tahu dengan tanggungjawab masing-masing dan tahu apa yang perlu dilakukan ketika mengharungi perlumbaan.

“Selepas berehat lama, semua kerja-kerja pelarasan jentera seolah-olah bermula dari awal dan ini suatu yang sangat mencabar buat kami. Saya bersyukur kerana semua krew pasukan serta pelumba dapat menyempurnakannya dengan baik,” jelas Nur Atikah.

Sebagai pasukan baharu dalam kejuaraan Cub Prix Malaysia, mereka tidak meletakkan sasaran tinggi kerana mereka percaya bahawa setiap kejayaan itu memerlukan proses sebelum ia berjaya direalisasikan.

 

 

 

 

 

About The Author

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here