PELUMBA TUNEBOSS PINK RACING KEKALKAN RENTAK KONSISTEN

0
1530

SEPANG, 4 April – Barisan pelumba Tuneboss Pink Racing Team (TBPR) terus mengekalkan rentak konsisten pada saingan Pusingan 2 Kejuaraan Cub Prix Malaysia yang berakhir di Litar Sepang Utara hari ini.

Meskipun bukan kejayaan podium yang dicipta, tetapi dua pelumba kelas CP125 pasukan tersebut, Siti Norafizah Mohamad dan Harith Farhan Baharin masih boleh tersenyum bangga kerana terus berjaya meraih mata.

Ia suatu pencapaian yang yang wajar dipuji berdasarkan pengalaman serta reputasi mereka dalam perlumbaan kelas elit itu.

Hari ini, Norafizah atau lebih dikenali sebagai Fifi tetap tampil dengan rentak cemerlang apabila berjaya menempatkan diri dalam kelompok 10 terbaik.

Pada perlumbaan akhir kelas CP125 itu, Fifi satu-satunya pelumba wanita dalam kategori tersebut, menamatkan perlumbaan di tempat kelapan dengan catatan masa 11:27.978 saat (s).

Walaupun gagal mengekalkan pencapaiannya pada Pusingan 1 sebelum ini apabila menduduki tempat kelima, namun dia tetap tampil hebat tanpa menunjukkan sebarang rasa gentar berdepan cabaran daripada barisan pencabarnya.

Dia bersaingan dengan ramai pelumba ‘otai’ dalam kelas CP125, tetapi tetap mampu mempamerkan tunggangan yang bertenaga, sekali gus mengutip 8 mata kejuaraan.

Ketika mengharungi sesi kelayakan semalam, dia sekadar muncul sebagai pelumba ke-11 terpantas dengan masa 1:23.931s sepusingan dan kedudukan tersebut ternyata tidak menjejaskan semangat ketika menghadapi perlumbaan akhir hari ini.

Farhan

Rakan sepasukannya, Md Harith Farhan Baharin pula semakin memperlihatkan keselesaan dengan jentera Yamaha dan hari ini, pelumba asal Terengganu itu berjaya menamatkan perlumbaan lapan lap itu di kedudukan ke-10 dengan catatan masa 11:28.660s.

Sebelum ini pada Pusingan 1, Farhan yang mula beralih ke jentera Yamaha musim ini  menghuni kedudukan kelapan.

Lebih menarik, Farhan turut mencatat pencapaian yang sangat membanggakan pada sesi Shootout hari ini apabila muncul pelumba ketiga terpantas dengan masa 1:38.653s sepusingan.

Apa yang lebih penting buat dua pelumba ini adalah rentak konsisten mereka untuk menyumbang mata kepada pasukan TBPR yang mula membuat kemunculan di Cub Prix musim ini.

Mereka masih mempunyai banyak kekurangan baik dari segi jentera mahupun pengalaman, tetapi dua pelumba ini telah mempergunakan sepenuhnya semangat yang ada pada diri mereka untuk mengatasi segala kekurangan yang ada dalam pasukan.

Perlumbaan akhir kelas CP125 hari ini dimenangi pelumba berpengalaman dari pasukan Ipone Yamaha Pang Racing, Md Adib Rosley dengan masa 11:27.095s.

Tempat kedua dan ketiga, masing-masing dimenangi Md Hafiza Rofa (ONEXOX TKKR Racing Team) dan Ahmad Syukran Aizat Md Yusoff (CKJ Racing).

Alia

Wakil TBPR dalam kategori Wira, Siti Norsyafiyah Alia Saarizan pula masih belum menemui rentak, namun dia berjaya menamatkan perlumbaan di kedudukan ke-20 dengan masa 10:58.475s.

Menerusi pencapaian hari ini, Fifi kini menghuni tempat keenam bagi kategori keseluruhan pelumba dengan mengumpul 19 mata manakala Farhan berada di kedudukan kesembilan dengan 14 mata.

Kedudukan pendahulu keseluruhan dipegang Adib Rosley dengan mengumpul 41 mata.

Bagi kategori berpasukan, TBPR berada di kedudukan keempat dengan 33 mata.

Sebaik berakhirnya saingan Pusingan 2 hari ini, kejuaraan Cub Prix Malaysia akan berehat selama sebulan sempena Ramadan dan akan kembali untuk Pusingan 3 pada 22-23 Mei nanti di Litar Lumba Tangkak, Johor.

 

 

 

About The Author

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here