CADANGAN MEMPERKENALKAN GAJI BULANAN BAKAL MELEGAKAN PELUMBA KELAS CP150

0
700

 

KUALA LUMPUR – Jika cadangan untuk memperkenalkan sistem gaji bulanan kepada para pelumba kelas CP150 di Kejuaraan Cub Pix Malaysia Petronas dapat direalisasikan, ia pasti berita yang melegakan dalam kalangan wira-wira litar negara itu.

Langkah tersebut dilihat bakal membantu beban para pelumba terutama yang beraksi dalam kelas CP150 yang paling terjejas teruk akibat pandemik Covid-19 ketika ini.

Cadangan berkenaan dicapai dalam satu mesyuarat melibatkan para pengurus pasukan serta pemegang taruh kejuaraan itu di ibu negara baru-baru ini.

Dalam perbincangan tersebut kedua-dua belah pihak memutuskan untuk merombak sistem pembayaran kepada pelumba yang diamalkan ketika ini dan digantikan dengan sistem gaji minimum secara bulanan.

Ketika ini, para pelumba menikmati imbuhan mereka menerusi setiap perlumbaan yang mereka harungi.

Cadangan pembaharuan yang bakal dilakukan itu hanya tertumpukan kepada para pelumba kelas CP150 kerana ia merupakan kelas profesional yang menyaksikan para pelumba beraksi secara penuh masa.

Berlumba adalah profesi serta punca pendapatan mereka dan langkah untuk memperkenalkan gaji bulanan adalah untuk memastikan para pelumba kelas CP150 terus menerima bayaran sekiranya perlumbaan dibatalkan, seperti mana yang berlaku sepanjang Covid-19.

Begitupun, mesyuarat tersebut belum memutuskan bila ia akan dilaksanakan kerana banyak lagi aspek perlu diperhalusi agar kedua-dua belah pihak, sama ada pelumba mahupun pasukan menikmati faedah daripada cadangan tersebut.

Setiap pasukan pula perlu mengukuhkan sumber pendapatan kewangan masing-masing agar kebajikan untuk kedua-dua belah pihak (pelumba dan pasukan) terjaga dengan sempurna serta lancar.

Antara yang hadir pada mesyuarat tersebut termasuk wakil daripada pasukan Honda RCB Solaralert Cilik, Petronas Sprinta Yamaha Maju Motor, Ipone Yamaha YY Pang, Idemitsu Honda Yuzy Racing, Hi-Rev SCK Honda Racing dan Petronas Sprinta Yamaha-CKJ Racing.

Ekoran penularan wabak Covid-10 sejak Mac lalu, Kejuaraan Cub Prix Malaysia Petronas 2020 telah dihentikan sejak pusingan pembukaan di Litar Lumba Tangkak, Johor pada bulan Mac selepas kerajaan memutuskan untuk melarang sebarang perhimpunan massa.

 

 

 

 

About The Author

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here