MFL: LATIHAN FASA PERTAMA JADI PENENTU

0
630

 

 

KUALA LUMPUR, 17 Jun – Sesi latihan fasa pertama bakal menjadi penentu buat pasukan-pasukan dalam Liga Malaysia (Liga M) sebelum sesi kedua dibenarkan.

Demikian tegas Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Liga Bola Sepak Malaysia (MFL), Datuk Ab Ghani Hassan dalam satu kenyataan yang dikeluarkan badan tersebut hari ini.

Menurut Ab Ghani, pelaksanaan latihan fasa kedua yang membenarkan latihan dengan kontak menjadi lebih cerah, apabila semua pasukan patuh mengikut Prosedur Operasi Standard (SOP) dalam sesi latihan fasa pertama.

“Sesi latihan fasa pertama amat penting, kerana ia ujian kepada semua pihak untuk mengikuti SOP yang telah ditetapkan kepada pasukan dan jika berjaya, ini akan membolehkan sesi latihan fasa kedua dapat dilaksanakan. SOP penting untuk kita mengurangkan atau tidak memberi ruang terhadapa penularan Covid-19.

“Apa yang penting adalah untuk membuktikan kepada kerajaan bahawa latihan bola sepak dikendalikan pasukan dengan pemantauan MFL, tidak berdepan sebarang masalah. Jika semua pasukan boleh memberi kerjasama serta mengikut SOP yang telah ditetapkan, MFL akan teruskan dengan permohonan latihan fasa kedua,” jelas Ab Ghani.

Ab Ghani berkata, latihan fasa kedua membenarkan pasukan dan pemain melakukan latihan seperti biasa dalam mempersiapkan pasukan menghadapi saingan Liga M 2020, yang bakal bersambung pada September depan.

Kementerian Belia dan Sukan (KBS) sebelum ini memberi kebenaran kepada semua sukan berpasukan dan sukan tempur memulakan latihan tanpa sentuhan badan, dengan melakukan jarak sosial tiga hingga lima meter bermula Isnin lepas.

Justeru, MFL menggariskan empat perkara wajib yang perlu dipatuhi setiap pasukan, sebelum dibenar untuk kembali mengendalikan sesi latihan buat kali pertama, sejak penangguhan Liga M 2020 pada Mac lepas.

Dalam kenyataan tersebut, Ab Ghani menjelaskan bahawa MFL telah meluluskan lima daripada tujuh permohonan dan pengesahan pematuhan SOP, untuk kembali memulakan sesi latihan.

“MFL terpaksa menangguhkan permohonan daripda dua pasukan kerana didapati masih ada dokumen yang belum lengkap bagi membolehkan mereka memulakan latihan.

Setakat ini, lima pasukan yang menerima kelulusan menjalani latihan fasa pertama adalah Johor Darul Ta’zim, Selangor, UiTM FC, Negeri Sembilan, dan Selangor 2.

 

 

 

 

 

About The Author

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here