CARDINALS RACING TEAM TERUS MENYENGAT DI PENTAS ASIA

0
936
Ahmad Afif Amran

KUALA LUMPUR, 6 Jun – Cardinals Racing Team Malaysia yang mula membuat penampilan pada kejuaraan Motosikal Asia (ARRC) pada musim 2019, dilihat semakin menyengat dengan rentak persembahan yang lebih meyakinkan.

Meskipun masih terlalu awal untuk menilai kemampuan mereka, tetapi pencapaian para pelumbanya sudah cukup untuk membuktikan bahawa pasukan tersebut antara yang tidak boleh dipandang mudah oleh barisan pencabarnya.

Cardinals Racing Team Malaysia hanya bersaing dalam kelas Underbone 150cc di pentas ARRC dengan mempertaruhkan jentera Yamaha Y15 ZR sebagai senjata utama mereka.

Dua pelumba tempatan diberi kepercayaan untuk menggalas cabaran pasukan tersebut musim ini iaitu Ahmad Afif Amran dan Md Aiman Tahiruddin.

Dua pelumba ini bukan asing di pentas ARRC kerana mereka pernah mewakli pasukan lain sebelum ini, dan pengalaman yang ada pada mereka itu sudah pasti dipergunakan sepenuhnya untuk membawa Cardinals Racing Team Malaysia ke puncak.

Afif antara pelumba paling menyerlah pada kejuaraan Cub Prix Malaysia setakat ini dan dia kini memegang status selaku pendahulu keseluruhan bagi kategori pelumba kelas CP150 dengan meraih 50 mata hasil daripada kejayaan menjuarai perlumbaan Pusingan 1 di Sepang dan Pusingan 2 di Tangkak, Johor baru-baru ini.

Mengimbas perjalanan Cardinals Racing Team Malaysia di pentas ARRC setakat ini, mereka boleh dianggap antara pasukan yang wajar diberi perhatian.

Selepas mengharungi dua pusingan perlumbaan, barisan pelumba Cardinals Racing Team Malaysia sudah berjaya mencatat keputusan yang agak luar biasa.

Ketika mengharungi saingan Pusingan 1 di Litar Antarabangsa Chang, Buriram pada 25 hingga 27 Mac lalu, keputusan yang mereka catat sangat memberangsangkan.

Afif muncul juara pada perlumbaan 2 dan pencapaian tersebut membuktikan bahawa kehadiran Cardinals Racing Team Malaysia di pentas ARRC bukan sekadar pelengkap, sebaliknya tampil untuk memberi cabaran.

Pada perlumbaan 1 sebelum itu, dua pelumba pasukan tersebut menamatkan perlumbaan dalam kedudukan 10 terbaik sebelum bangkit untuk menjuarai perlumbaan 2 pada hari berikutnya.

Pencapaian tersebut membuktikan bahawa Cardinals Racing Team Malaysia bukan sahaja memiliki pelumba yang berwibawa, tetapi turut dibarisi kru teknikal yang hebat.

Pada saingan Pusingan 2 di Litar Antarabangsa Sepang hujung bulan lalu, ternyata nasib tidak menyebelahi mereka.

Mereka bukan sahaja berdepan masalah kelewatan ketibaan jentera pasukan di Sepang, tetapi dua pelumbanya turut menghadapi insiden yang diluar jangka ketika mengharungi perlumbaan.

Ketika mengharungi perlumbaan 2 di Sepang itu, dua pelumbanya dilihat berpotensi untuk menjejak kaki di podium kemenangan, namun malang menimpa mereka ketika perlumbaan berbaki satu lap lagi untuk ditamatkan.

Pada saat Aiman mahu meluru ke hadapan, secara tiba-tiba seorang pelumba yang berada di sebelah kirinya meluru masuk dan Aiman tidak dapat mengelak kerana dia sudah berada pada tahap kelajuan maksimum untuk menempatkan dirinya di hadapan pelumba-pelumba lain

.Akibatnya berlaku perlanggaran dan Afif yang berada di belakang Aiman turut terlibat dalam insiden tersebut. Kedua-dua pelumba Cardinals Racing Team Malaysia itu gagal menamatkan perlumbaan sedangkan mereka ketika itu berada dalam posisi terbaik untuk menguasai perlumbaan 2 dengan penamat satu-dua.

Berdasarkan pencapaian yang telah mereka buktikan setakat ini, perjalanan Cardinals Racing Team Malaysia di pentas ARRC nampak semakin lancar.

Peningkatan prestasi nampak agak ketara sejak mereka mula membuat kemunculan pada musim 2019 lalu.

Pada musim pertama itu, pasukan milik KF Wong itu menamatkan saingan musim tersebut di kedudukan kelapan keseluruhan kategori pasukan dengan memungut 76 mata.

Ketika itu, pasukan berkenaan dibarisi pelumba Mat Fitri Ashraff Razali, Rozaiman Md Said dan seorang pelumba dari Indonesia Md Agung Fachrul yang beraksi pada pusingan di Sepang.

Pada musim 2020 pula, penganjuran kejuaraan ARRC hanya sempat mementaskan satu pusingan sahaja di Litar Antarabangsa Sepang kerana pusingan berikutnya terpaksa dibatalkan oleh pihak penganjur gara-gara pandemik Covid-19.

Walaupun hanya sempat beraksi dalam satu pusingan sahaja, namun dua pelumba Cardinals Racing Team Malaysia ketika itu – Md Iqbal Malek dan Ahmad Fazrul Shah telah menampilkan persembahan yang luar biasa.

Iqbal berjaya menaiki podium dalam perlumbaan 1 dan 2 sekali gus membolehkan pasukan mereka untuk berada di kedudukan kedua keseluruhan dengan meraih 40 mata.

Pada musim 2021, kejuaraan ARRC tidak dilangsungkan gara-gara penularan virus Covid-19 yang semakin memburuk di seluruh negara.

Situasi tersebut ternyata bukan penghalang Cardinals Racing Team Malaysia untuk melakukan persiapan yang sewajarnya sebagai persediaan menghadapi saingan msim 2022.

Afif dan Aiman dibawa masuk untuk mengetuai cabaran musim 2022 dan langkah tersebut kini mula membuahkan hasil membanggakan.

Andai prestasai cemerlang itu mampu dipertahankan terutama kestabilan jentera dan juga prestasi pelumba, Cardinals Racing Team Malaysia berupaya melakar sesuautu yang lebih besar di pentas ARRC musim ini.

Selepas mengharungi dua pusingan perlumbaan setakat ini, Cardinals Racing Team Malaysia selesa menduduki tempat ketiga keseluruhan bagi kategori pasukan dengan memungut 56 mata manakala bagi kategori pelumba, Afif berada di kedudukan ketiga dengan 45 mata sementara Aiman di kedudukan ke-18 dengan mengumpul 18 mata.

Selepas ini, fokus pasukan tersebut adalah untuk menghadapi saingan Pusingan 3 yang dijadualkan berlangsung di Sugo International Racing Course, Jepun pada 12 hingga 14 Ogos nanti.

 

About The Author

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here