CUB PRIX: ADIB ASRI TERPANTAS, AINA PULA BERDEPAN MASALAH MEKANIKAL

0
1813

TANGKAK, 22 Ogos – Nasib tidak menyebelahi Nuraina Halisya Hamirudin apabila dia gagal menamatkan perlumbaan pada sesi kelayakan kelas Pro Am pada saingan Pusingan 2 Kejuaraan Cub Prix Malaysia PETRONAS 2020 yang bermula di Litar Lumba Tangkak, Johor hari ini.

Meskipun perjalanannya nampak lancar ketika mengharungi sesi latihan bebas, namun apa yang diharapkannya pada sesi kelayakan berakhir dengan kekecewaan.

Gara-gara masalah mekanikal dengan jenteranya, Aina terpaksa melupakan sesi kelayakan itu, namun dia tetap bersemangat untuk melakukan yang terbaik pada perlumbaan sebenar esok.

Ketika mengharungi sesi latihan bebas, semuanya nampak stabil dan Aina berjaya menempatkan diri di kedudukan ke-20 terpantas dengan merekodkan masa 52.867 saat (s) sepusingan.

Begitupun, ketika bertekad untuk mengubah catatan masa pada sesi kelayakan, jenteranya berdepan masalah dan dia terpaksa menamatkan perlumbaan lebih awal kerana kesuntukan masa untuk mengatasi masalah yang berlaku dengan jentera Yamaha Legenda yang ditunggangnya itu.

Situasi tersebut bakal menyaksikan Aina bermula dari petak paling belakang pada perlumbaan sebenar esok.

“Tak ada rezeki hari ini. Motosikal saya ‘jam’ dan kami kesuntukan masa untuk menyiapkan enjin bagi membolehkan saya meneruskan sesi kelayakan hari ini. Jadi, saya terpaksa bermula di petak paling belakang esok,” jelas Aina yang tetap bertekad untuk memburu mata pada saingan di Tangkak kali ini.

Aina merupakan antara dua pelumba wanita yang bersaing di Cub Prix tahun ini dalam kelas Pro Am bersama seorang lagi, Nur Atikah Azwar @ Rider Helmet Pink.

Atikah yang membuat kemunculan pertama tahun ini berjaya menghuni kedudukan ke-21 pada sesi kelayakan dengan merekodkan masa 54.078s.

Sebelum itu pada sesi latihan bebas, Atikah berada di kedudukan ke-22 dengan catatan masa 54.027s.

Sesi kelayakan bagi kelas Pro Am hari ini dikuasai pelumba Johor, Md Adib Asri dengan masa 48.291s sepusingan diikuti Md Alaff Hairulnizam dari Pulau Pinang yang mencatatkan masa 48.472s.

Juara Pusingan 1, Md Usammah Md Narzam (Selangor) menamatkan sesi kelayakan hari ini di kedudukan ketiga dengan masa 48.552s.

 

About The Author

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here