NURAINA PELUMBA WANITA YANG TAK KENAL ERTI MENYERAH

0
2643

KUALA LUMPUR, 21 Ogos – Meskipun masih gagal untuk menjejak kaki di atas podium, ia bukan halangan buat pelumba wanita, Nuraina Halisya Hamirudin untuk terus tampil beraksi pada Kejuaraan Cub Prix Malaysia.

Dia sedar bukan mudah untuk berada di atas podium kerana para pesaingnya terdiri daripada pelumba lelaki.

Menang atau kalah, ia tetap satu kepuasan buat pelumba wanita yang berasal dari Selangor ini kerana dia telah berjaya membuktikan kehebatannya dalam sukan yang didominasi kaum adam itu.

Dia dianggap seorang pelumba wanita yang pantang menyerah.

 

Kekuatannya adalah dia tidak pernah berasa kecewa, malah sentiasa bekerja keras serta tidak mudah patah semangat bagi memastikan kariernya terus bersinar.

Sebenarnya, penyertaan Aina di Cub Prix sudah dianggap satu kemenangan kerana dia telah membuktikan bahawa kaum wanita juga memiliki keberanian untuk bersaing dalam sukan yang serba mencabar itu.

Tidak ramai wanita yang berani tampil, dan Aina antara yang memiliki keberanian untuk mengharungi perlumbaan yang memerlukan kemahiran tinggi mengendalikan jentera dua roda itu.

Itulah kemenangan sebenar buat wanita yang mula berjinak dengan sukan ini sejak dia berada di Tahun 6 lagi.

Perjalanan Aina dalam sukan ini sangat menarik selepas mendapat tunjuk ajar daripada bapa saudaranya, Jafry Shahrum cara-cara menunggang motosikal ketika dia masih di bangku sekolah rendah lagi.

Daripada situ, minatnya terhadap sukan permotoran semakin mendalam dan ketika usianya mencecah 15 tahun, anak sulung daripada empat beradik ini sudah mempunyai kemahiran tinggi untuk mengendalikan jentera dua roda itu.

Individu yang banyak memberi sokongan terhadap minatnya itu adalah bapa saudaranya, yang juga bekas pelumba suatu ketika dahulu.

Sehingga ke hari ini, bapa saudaranya itu adalah orang penting di sebalik kariernya, malah bertindak selaku mekanik untuk menyediakan jentera buatnya setiap kali menghadapi perlumbaan.

Pembabitan Aina dalam sukan permotoran ini bermula dengan menyertai perlumbaan endurance AAM pada tahun 2015.

Meskipun gagal meraih kejayaan, tetapi dia puas kerana mampu membuktikan kehebatannya dalam perlumbaan yang sangat mencabar itu.

Setahun kemudian, ketika berusia 17 tahun, dia membuat kemunculan di Cub Prix dan bersaing dalam kategori Wira.

Ia satu pengalaman baharu buatnya kerana daripada situ, dia dapat menilai sejauh mana kemampuannya untuk memberi saingan dalam perlumbaan yang dikuasai pelumba lelaki itu.

Dia puas kerana mampu berdiri sama tinggi dengan pelumba yang bukan sejenisnya.

Selepas itu, dia beralih ke kategori Pro-Am sehingga ke hari ini.

Ditanya bagaimana dia mengatasi perasaan gementar apabila bersaing dengan pelumba lelaki, Aina menjawab: “Saya perlu yakin dan hanya fokus kepada perlumbaan setiap kali turun ke gelanggang. Daripada situ, perasaan takut itu akan hilang. Tidak ada yang mustahil jika kita yakin dengan kemampuan diri.”

“Tahun lalu, saya merupakan satu-satunya pelumba wanita yang beraksi di Cub Prix, namun tahun ini saya sudah ada teman dengan kehadiran pelumba wanita baharu, Ika @ Rider Helmet Pink (Nur Atikah Azwar) yang turut bersaing dalam kategori Pro-Am.

Ika@Rider Helmet Pink (kiri) dan Aina, dua pelumba wanita yang mewarnai kategori Pro-Am tahun ini.

“Jadi, keyakinan diri itu semakin memuncak kerana ada teman seperjuangan yang turut bersaing,” jelas Aina.

Aina sangat beruntung kerana seluruh ahli keluarganya telah memberi sokongan seratus peratus terhadap kariernya dalam sukan permotoran.

“Pada mulanya, memang ada larangan daripada keluarga untuk menceburkan diri dalam sukan ini, tetapi selepas mereka melihat kesungguhan saya, akhirnya mereka memberi dokongan seratus peratus.

“Mereka juga sentiasa menemani saya di setiap kejuaraan yang saya harungi dan kehadiran mereka merupakan pencetus semangat buat saya mengharungi setiap perlumbaan,” jelas Aina lagi.

Menurutnya, memandangkan dia tidak mempunyai penaja khusus, segala kos yang diperlukannya untuk menghadapi perlumbaan turut mendapat sokongan daripada keluarganya.

Minggu ini, Aina akan kembali ke gelanggang perlumbaan apabila beraksi pada Pusingan 2 Kejuaraan Cub Prix Malaysia di Litar Lumba Tangkak, Johor.

Sasarannya di Tangkak adalah untuk berada dalam kelompok 10 terbaik, dan ia bukan perkara mustahil untuk dicapai jika keadaan jentera Yamaha Legenda yang ditunggangnya terus berada dalam situasi terbaik.

Pada aksi Pusingan 1 di Sepang bulan lalu, Aina menamatkan perlumbaan di tempat ke-12, dan ia pencapaian yang wajar dibanggakan.

“Sasaran saya di Tangkak adalah untuk memungut mata dan saya yakin untuk merealisasikannya,” jelas Aina yang banyak menghabiskan masanya berlatih di Litar Elite sepanjang pandemik Covid-19 ini.

 

 

 

 

 

About The Author

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here