JBS NEGERI SELANGOR BERKONGSI ILMU ASPEK KESELAMATAN SUKAN MENDAKI

0
86
Penolong Pengarah Rakan Muda, Artika Rozilan (dua kanan) menyampaikan sijil penyertaan kepada salah seorang peserta KLAS.

PETALING JAYA, 1 Julai – Aktiviti mendaki semakin digemari generasi muda pada masa kini, dan menyedari perkembangan tersebut, Jabatan Belia dan Sukan Negeri Selangor (JBSNS) telah mengambil langkah pro-aktif untuk berkongsi ilmu berkenaan aspek-aspek keselamatan dengan peminat tempatan.

Sebagai permulaan, JBSNS telah menganjurkan satu klinik Latihan Asas Sukan (KLAS) Mendaki peringkat Negeri Selangor di Camp5 ONE Utama dekat sini pada 29 Jun lalu.

Program yang julung kali diadakan itu telah mendapat penyertaan 30 orang peserta daripada pelbagai peringkat usia dan mereka diajar bagaimana menggunakan peralatan dengan betul dan selamat.

Malah para peserta turut diajarkan untuk memahami beberapa ikatan tali antaranya ikatan buku sila, ikatan bunga geti, simpilan tindih kasih dan simpulan angka 8.

Pengalaman tersebut ternyata memberi kepuasan kepada para peserta kerana mereka didedahkan tentang aspek-aspek keselamatan sebelum memulakan aktiviti pendakian.

“Klinik seperti ini sangat memberi manfaat kepada kami kerana kami perlu tahu perkara asas terutamanya yang berhubung dengan aspek-aspek keselamatan,” jelas salah seorang peserta ketika di temui pada klinik tersebut.

Selepas ini, JBSNS telah merangka beberapa program lagi untuk dianjurkan antaranya Eksplorasi Alam pada 20 hingga 21 Julai nanti bertempat di Taman Negara dan Program Cabaran Wanita Waja (Hiking Wanita) pada Ogos bertempat di Bukit Kutu Kuala Kubu Baharu.

Majlis penutup KLAS telah disempurnakan Penolong Pengarah Rakan Muda, Artika  Rozilan. Turut hadir adalah Serene Geik (Founder of Camp5) dan ketua instruktor Camp5, Jeremy Peet.

 

About The Author