TAMPIN MTB JAMBOREE 2024 TERUS MENDAPAT PERHATIAN PESERTA ANTARABANGSA

0
209
Yang Dipertua Majlis Daerah Tampin (MDT), Mohd. Fadhil Hassan (8 dari kiri) bersama para penaja pada majlis pelancaran Tampin MTB Jamboree 2024 baru-baru ini.

TAMPIN, 1 Julai – Kejohanan basikal lasak Tampin MTB Jamboree terus mendapat sambutan luar biasa.

Mana tidaknya, pada edisi tahun ini ia berjaya menarik 2,053 penyertaan dari dalam dan luar negara berbanding hanya 1,800 peserta pada tahun lalu.

Ini membuktikan agenda tahunan Majlis Daerah Tampin itu semakin mendapat perhatian peserta luar negara.

Menurut Yang Dipertua Majlis Daerah Tampin (MDT), Mohd. Fadhil Hassan, Tampin MTB Jamboree 2024 akan berlangsung selama dua hari bermula 6 Julai ini di Akademi Kecemerlangan Minda & Fizikal (AKAL) Felda Bukit Rokan Gemencheh, Negeri Sembilan.

Ia dianjurkan Majlis Daerah Tampin bersama Lembaga Pelancongan Negeri Sembilan serta rakan strategik Gemenceh Rider Cycling Team.

Menurutnya lagi, hadiah wang tunai keseluruhan untuk perlumbaan tahun ini berjumlah RM20,000 manakala hadiah untuk cabutan bertuah untuk para peserta bernilai RM50,000.

“Ini merupakan tahun keempat acara ini dianjurkan sejak diperkenalkan pada tahun 2019,” jelas Mohd. Fadhil.

Perlumbaan tahun ini bukan sahaja melibatkan penyertaan daripada peserta tempatan, malah turut mendapat sambutan daripada peserta luar negara seperti Filipina, Singapura, indonesia, India, Belanda dan United Kingdom.

Sehingga hari ini, penyertaan telah mencecah angka 2053 (termasuk peserta dari pihak penaja) berbanding 1,800 pada tahun 2023.

“Jumlah perserta luar negara yang telah mengesahkan penyertaan mereka setakat ini adalah 273 orang dan ini perkembangan yang sangat menggalakkan,” kata Mohd. Fadhil lagi.

Perlumbaan tahun ini terbahagi kepada 15 kategori mengikut had umur dan berat badan yang melibatkan peserta berusia bawah 18 hingga 60 tahun ke atas.

Turut diadakan pada edisi kali ini adalah pertandingan PUSH BIKE CHALLENGE Terbuka Kebangsaan melibatkan penyertaan kanak-kanak dari seluruh negara.

“Program ini seperti ini bukan sahaja menggalakkan gaya hidup sihat tetapi juga dapat membantu mempromosikan tempat pelancongan menarik di Tampin seperti Gua Emas, Jambatan Perang Dunia Kedua, Muzium Keretapi Gemas, Tampin Waterpark, Tampin Extreme Park, Lomak Salai dan juga Kompleks Homestay Gemas.

Ia juga membuka peluang untuk mempromosikan makanan tradisional tempatan yang unik dan asli seperti rendang maman, itik bihun, masak lemak cili api, dodol Tampin serta tart bengkulu,” jelas Mohd. Fadhil.

 

About The Author