‘KEGANASAN’ COVID-19 ANTARA FAKTOR SUKMA 2020 DITUNDA

0
815

JOHOR BAHRU, 11 Nov – Kebimbangan terhadap peningkatan wabak Covid-19 kebelakangan ini menjadi faktor utama kenapa kerajaan negeri Johor memohon untuk meminda tarikh Sukan Malaysia (Sukma) dan Para Sukma 2020 ke tahun 2022.

Isu keselamatan dan kesihatan para atlet menjadi keutamaan sebelum keputusan untuk menunda temasya sukan dwi-tahunan itu dibuat.

Demikian jelas Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Belia dan Sukan Negeri Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi dalam satu sidang media di Bangunan Dato’ Jaafar Muhammad, Kota Iskandar, Johor hari ini.

“Selaku penganjur, pihak kami meletakkan keutamaan terhadap keselamatan dan kesihatan para atlet, pegawai dan petugas sukarelawan serta kos penganjuran yang berkemungkinan akan meningkat dari segi pengendalian SOP kesihatan dan keselamatan.

“Justeru, kerajaan negeri Johor tiada pilihan selain meminda penganjuran Sukma edisi ke-20 kepada 2022,” tegas Onn Hafiz.

Beliau turut menjelaskan bahawa kalendar sukan yang dijangka padat pada tahun 2021 juga dipertimbangkan bagi mengelak kontinjen yang bertanding dibebani dengan jadual latihan yang padat.

Menurutnya lagi, kerajaan negeri juga tidak mahu tergesa-gesa bagi penganjuran Sukma kali ini memandangkan seluruh Semenanjung, Sabah dan Wilayah Persekutuan Labuan kecuali negeri Pahang, Kelantan, Perlis dan Sarawak masih lagi dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).

Selain itu, pindaan tarikh peperiksaan awam yang telah diputuskan oleh Kementerian Pendidikan baru-baru ini,  turut diberi pertimbangan.

Peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), Sijil Vokasional Malaysia (SVM) dan Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM) dipinda kepada 22 Februari 2021 manakala Peperiksaan Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia (STPM) pula dianjak ke 8 Mac 2021 dan akan melibatkan seramai 171 atlit.

Pada sidang media tersebut, Onn juga memaklumkan bahawa sebagai tanda penghargaan atas kerja keras dan komitmen yang ditunjukkan oleh para atlet dan jurulatih, Kerajaan Negeri melalui Majlis Sukan Negeri Johor (MSNJ) telah bersetuju untuk menyampaikan insentif berjumlah RM1,000 buat 100 atlet prospek pingat emas dan RM500 kepada 984 atlet, jurulatih, pengurus dan kakitangan MSNJ yang komited dalam membantu mempersiapkan atlet ke temasya ini.

“MSNJ juga menjalin kerjasama dengan Universiti Teknologi Mara (UiTM) bagi membantu atlet-atlet SUKMA negeri Johor yang ingin melanjutkan pelajaran ke peringkat Diploma dalam jurusan Pengurusan Sains Sukan.

“Program ini adalah khusus buat mereka yang bernaung di bawah MSNJ yang mana mereka tidak perlu ke kampus sebaliknya kelas akan diadakan pada hujung minggu di asrama atlet atau pejabat MSNJ,” tambahnya lagi.

Dalam pada itu, Ketua Pengarah Majlis Sukan Negeri Johor, Gadaffie Abdul Aziz berkata, pihaknya telah mengkaji semula program latihan atlet sambil mahu kontinjen negeri Johor memanfaatkan fasiliti sukan yang telah siap dibina.

“Kebanyakan gelanggang pula akan digunakan oleh barisan atlet negeri Johor untuk berlatih sepanjang tempoh menjelang Sukma nanti dan fasiliti tersebut boleh digunakan oleh orang awam tertakluk kepada bayaran yang akan ditetapkan,” kata Gadaffie.

Kali terakhir Johor menjadi tuan rumah Sukan Malaysia adalah pada edisi keempat tahun 1992.

Sukma Johor 2020 yang sepatutnya berlangsung pada 2-10 April 2021 akan melibatkan tiga buah daerah iaitu Johor Bahru, Muar dan Kota Tinggi dengan sejumlah 31 jenis sukan dipertandingkan. 

Keputusan untuk menunda Sukma 2020 Johor ke tahun 2022 dibuat selepas satu mesyuarat bersama dengan Majlis Jawatankuasa Tertinggi Sukan Malaysia pada Isnin lalu yang menyaksikan penundaan buat kali kedua selepas pernah berbuat demikian pada Mac 2020 akibat penularan pandemik Covid-19 yang semakin menyaksikan peningkatan kes di Malaysia.

Mesyuarat yang dipengerusikan oleh Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican itu juga membuat keputusan untuk meminda penganjuran temasya Para Sukma 2020 yang sepatutnya berlangsung pada 8-13 Mac 2021 dengan kedua-dua temasya tetap akan dianjurkan oleh Johor.

About The Author

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here