IPOH, 22 Jun – Liga Bola Sepak Bawah 14 Piala Menteri Pendidikan-100PLUS 2026 terus rancak.
Pada aksi yang berlangsung Sabtu lalu, semua pasukan yang bertanding bersaing sengit dalam perebutan untuk memburu kedudukan dua teratas bagi kumpulan A, C, dan D.
SMK Mutiara Impian kembali menghidupkan peluang untuk berada dalam kelompok atas Kumpulan A selepas mencatat kemenangan tipis 1-0 ke atas SMK Gunung Rapat.
Perlawanan yang berlangsung di Ipoh itu menyaksikan Muhd Adam Haris Mohd Nor Azam menjaringkan gol kemenangan pasukannya pada minit ke-30, sekali gus memastikan tiga mata berharga, sekaligus menghuni tangga teratas kumpulan A dengan empat mata, satu mata mengatasi SMK Gunung Rapat.
Kemenangan ini jelas menggembirakan jurulatih, Muhd Faqhri Sobri namun mengakui masih banyak yang perlu diberi penekanan jika mahu merealisasikan misi mara ke peringkat suku akhir.
“Kami megawal perlawanan pada separuh masa pertama dan banyak mencipta peluang tetapi hanya satu gol sahaja yang terhasil.
“Ada beberapa perubahan yang perlu dilakukan terutama kombinasi permainan dan persefahaman antara bahagian tengah dan serangan kerana kami meletakkan sasaran untuk layak ke suku akhir,” kata Muhd Faqhri.
Sementara itu, pasukan SMK Syed Hassan melakar kemenangan pertama selepas menewaskan SMK Mergong 2-0 untuk berada dikedudukan ke tiga dengan mengumpul tiga mata manakala SMK Mergong ditangga ke tujuh tanpa sebarang mata selepas mengharungi dua perlawanan.
Dalam perlawanan kumpulan C, jaringan Nurul Ilham Nurul Anwar memastikan Sekolah Sukan Tunku Mahkota Ismail melakar kemenangan tipis 1-0 ke atas SMK Tun Hussein Onn.
SMK Seri Kota pula terlepas peluang untuk mengukuhkan kedudukan dalam kumpulan C selepas terikat tanpa jaringan dengan SMK Za’ba pada aksi yng berlangsung di dilaman sendiri, sekaligus menyaksikan kedua-dua pasukan berkongsi satu mata.
Buat pengendali SMK Seri Kota, Mohd Saiful Mustafa, dua mata yang diperoleh pasukannya adalah perkara positif malah melihat peluang untuk berada di kedudukan dua teratas kumpulan C masih terbuka.
“Selepas dua perlawanan kita tetap meraih mata tetapi banyak lagi kerja yang perlu dilakukan terutamanya tindakan penyudah. Para pemain bawah 14 tahun ini masih lagi belajar dan perlu menyesuaikan diri dengan corak perlawanan yang diterapkan.
“Kami lebih adalah pasukan underdog kerana dalam kumpulan ada pasukan Akademi Mokhtar Dahari, SMK Taman Desa, SMK Tun Hussein Onn dan Sekolah Sukan Tunku Mahkota Ismail, tetapi saya cabar pemain-pemain saya untuk mara ke suku akhir,” kata Mohd Saiful.

SMK Taman Desa Skudai pula terus memimpin kumpulan C dengan tiga mata, namun dibezakan dengan kelebihan jaringan dengan SMK Tun Hussein Onn dan SSTMI yang menghuni tangga kedua dan ketiga.
SMK Seri Kota pula berada di tangga keempat dengan dua mata, manakala Akademi Mokhtar Dahari B13 dan SMK Za’ba masing-masing mengumpul satu mata.
Sementara itu dalam perlawanan kumpulan D, SMK Bukit Nenas menewaskan SMK Kampong Chengal 2-0 untuk mengekalkan rekod kemenangan sempurna selepas dua perlawanan dan mengumpul enam mata sekaligus kekal selesa di puncak kumpulan D.
Akademi Mokhtar Dahari B14 dan SMK Putera pula berada di tangga kedua dan ketiga dengan tiga mata, namun kedua-dua pasukan masih mempunyai kelebihan satu perlawanan.












