LIGA HOKI MALAYSIA TNB BUKA TIRAI JANUARI DEPAN

0
593

KUALA LUMPUR, 21 Dis –  Lapan pasukan lelaki dan enam pasukan wanita bakal berentap pada Liga Hoki Malaysia TNB 2020 yang akan membuka tirai secara rasmi pada 10 Januari depan.

Liga tersebut akan bermula dengan perlawanan bagi merebut Piala Sumbangsih yang akan menemukan finalis tahun lalu, Universiti Kuala Lumpu (UniKL) dan Terengganu Hockey Team (THT).

Ia akan berlangsung di Stadium Hoki Nasional Bukit Jalil.

Saingan bagi musim 2020 bakal menyaksikan penyertaan daripada tujuh pasukan lelaki musim lalu iaitu Terengganu Hockey Team (THT), Universiti Kuala Lumpur (UniKL), Tenaga Nasional Berhad (TNB), TNB Thunderbolts, Maybank, Universiti Teknologi Mara (UITM) dan Nurinsafi manalala pasukan baharu adalah Hockademy KL.

Kategori wanita pula bakal menyaksikan Terengganu Ladies Hockey Team (TLHT), Blue Warriors (PDRM), PKS Uniten, Mutiara Impian-MSSPP-PSHA serta dua pasukan baharu iaitu Hockademy KL dan Sabah.

Hari ini, berlangsung satu mesyuarat bersama pengurus-pengurus pasukan yang dipengerusikan oleh Datuk Seri Dr Anil Jeet Singh dan dalam mesyuarat tersebut, Konfederasi Hoki Malaysia (KHM) turut memaklumkan mengenai hasrat beberapa pemain antarabangsa yang berminat untuk beraksi di Liga Hoki Malaysia TNB musim depan.

Satu senarai pemain telah diberikan kepada pengurus-pengurus pasukan yang hadir dan antara pemain yang menyuarakan hasrat untuk beraksi adalah Tim Deavon dan Aaron Kleinschmidt (Australia), Martijn Havenga, Tom Hiebendaal dan Roel Bovendeert (Belanda) serta Jasjit Singh Kular dan Pardeep Singh Mor (India).

Dalam pada itu, THT terus meletakkan sasaran untuk cuba mempertahankan kejuaraan Piala Sumbangsih musim depan.

Pemain THT, Mohd Fitri Saari menjelaskan, mereka masih mengekalkan sebahagian besar pemain musim lalu dalam pasukan selain mengurangkan enam pemain import kepada empat pemain untuk musim.

“Pasukan THT mengekalkan pemain tempatan yang sama seperti tahun lalu dan dengan peraturan baharu yang membenarkan pasukan mengambil empat pemain import, mungkin ia agak menjejaskan misi kami.

“Bagi perlawanan Piala Sumbangsih, kami akan berusaha untuk memenangi perlawanan tersebut kerana kami juga mahu mengejar mata, namun saya tidak menafikan lawan kami merupakan pasukan yang kuat, jadi kami tidak boleh memandang rendah kepada barisan pencabar kami,” ujar Fitri.

Sementara itu, Setiausaha Persatuan Hoki Terengganu, Mohd Rashidi Hashim pula mengesahkan THT akan mempertaruhkan dua pemain import dari Korea Selatan yang cukup sinonim bersama pasukan THT.

Selain itu katanya, THT yang akan dikendalikan oleh jurulatih, Muhammad Dharmaraj Abdullah, turut membawa masuk dua pemain dari Pakistan iaitu Ammad Shakeel Butt dan juga Muhammad Umar Bhutta.

“Dua pemain import dari Korea Selatan yang pernah bersama kami musim lalu adalah Jang Jonghyun serta Jung Manjae.

“THT meletakkan sasaran untuk mengekalkan kejuaraan Piala TNB dan cuba untuk merampas kejuaraan liga. Kehadiran pengendali baharu untuk pasukan kami musim 2020 nanti, diharap dapat memperkemaskan lagi perisiapan pasukan, sekali gus mampu menampilkan rentak permainan yang lebih bertenaga,” jelas Rashidi.

About The Author

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here