BUKIT JALIL, 8 Jan – Liga Hoki TNB Malaysia 2020 akan membuka tirai secara rasmi pada Jumaat ini.
Skuad Terengganu Hockey Team (THT) dan Universiti Kuala Lumpur (UniKL) akan berentap di Stadium Hoki Nasional Bukit Jalil bagi merebut Piala Sumbangsih dan perlawanan tersebut turut menawarkan tiga mata pertama untuk pasukan yang muncul pemenang.
THT merupakan juara Piala Sumbangsih 2019 selepas menewaskan UniKL 3-1 di Kuala Terengganu menerusi penentuan shoot-out apabila aksi 60 minit berkesudahan seri 2-2.
Bagi aksi untuk musim 2020 ini, kedua-dua pasukan memasang azam untuk meraih kejuaraan pertama selain mengutip tiga mata penuh bagi menaikkan semangat mereka untuk mengharungi saingan musim baharu.
Kapten pasukan Terengganu, Mohd. Fitri Saari ketika dihubungi menyifatkan, UniKL bakal menjadi pencabar terkuat untuk musim ini kerana pasukan tersebut dibarisi pemain hebat namun tetap percaya pengalaman yang dimiliki oleh jurulatih baru mereka, Muhammad Dharmaraj Abdullah serta barisan pemain THT, mampu untuk merealisasikan sasaran yang telah ditetapkan oleh pihak pengurusan.
“Persiapan pasukan kami berjalan dengan baik cuma pemain import dari Pakistan tiba agak lewat. Kami berharap keserasian dalam kalangan pemain dapat dibentuk sebaik mungkin.
“Lawan kami juga mempunyai khidmat pemain import yang hebat, ditambah dengan kehadiran Tengku Ahmad Tajuddin, jadi saya boleh katakana UniKL adalah pasukan yang wajar diberi perhatian musim ini.
“Saya berharap dengan kehadiran jurulatih berpengalaman iaitu Dharmaraj Abdullah dan kemasukan pemain-pemain baharu nanti dapat membantu pasukan untuk mencapai sasaran yang telah ditetapkan,” jelas Fitri.
Sementara itu, kapten skuad UniKL, Muhammad Marhan Mohd. Jalil tidak melihat sebarang masalah buat pasukan mereka untuk membentuk keserasian bersama pemain import kerana rata-rata mereka telah beraksi bersama sebelum ini.
“Tahun ini, UniKL hanya mendapatkan khidmat seorang pemain import baharu iaitu Roel Franciscus Jacobus Bovendeert.
“Dari segi persiapan semuanya berada dalam keadaan lancar dan motivasi para pemain juga berada pada tahap terbaik.
“Matlamat utama kami adalah untuk meraih kemenangan dan mendapatkan tiga mata penuh,” ujar Marhan.
Dalam pada itu, Pengerusi Jawatankuasa Pertandingan Konfederasi Hoki Malaysia (KHM), Datuk Sri Dr. Anil Jeet Singh berharap sumbangan yang dihulurkan kepada Yayasan Kebajikan Atlet Kebangsaan (YAKEB) dan Badan Kebajikan Tenaga Nasional Berhad (TNB) sempena perlawanan Piala Sumbangsih 2020 dapat meringankan beban YAKEB untuk membantu bekas-bekas atlet negara yang memerlukan.
“Bagi pihak Jawatankuasa Pertandingan KHM, saya ingin mengucapkan selamat berjuang kepada kedua-dua pasukan yang akan beraksi bagi merebut Piala Sumbangsih 2020.
“Dari segi sumbangan yang akan diberikan kepada YAKEB dan Badan Kebajikan TNB, saya berharap ia sedikit sebanyak dapat membantu atlet serta mereka yang memerlukannya.
“Saya juga ingin mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan terima kasih kepada pasukan THT dan UniKL serta TNB kerana telah memainkan peranan yang cukup penting untuk menaja perlawanan Piala Sumbangsih 2020,” jelas Dr. Anil.
JADUAL PERLAWANAN 10 JANUARI 1700: Maybank lwn Hockademy KL (Stadium Hoki Nasional 2) 1700: Kedah/Nurinsafi HT lwn UiTM HA (Stadium Hoki Sg.Petani) 1800:TNB lwn TNB Thunderbolts (Stadium Hoki Nasional 1) 2000: UniKL lwn THT (Piala Sumbangsih) (Stadium Hoki Nasional 1)