LIGA MENTERI PENDIDIKAN-100PLUS B-14: PEMBURUAN SLOT KE SUKU AKHIR SEMAKIN SENGIT

0
30

PARIT BUNTAR, Perak, 12 Julai – Lapan perlawanan Liga Bola Sepak B-14 Piala Menteri Pendidikan-100PLUS 2026 pada Sabtu yang menyaksikan saingan sengit untuk mengesahkan tempat ke peringkat suku akhir.

Aksi Kumpulan A melibatkan SMK Mutiara Impian, yang terus mempamerkan konsistensi apabila menewaskan SMK Tabuan Jaya 3-1.

Gol-gol SMK Mutiara Impian dihasilkan Muhd Habib Muslim Muhd Zaki, Muhd Safwan Salihin Thalhah dan Muhd Qayyum Qadri Tarmizi manakala gol Tunggal SMK Tabuan Jaya dijaringkan Kelvin Luis Lajah.

Kemenangan tersebut memastikan skuad kendalian Muhd Faqhri Sobri berada di kedudukan teratas Kumpulan A dengan 10 mata selepas mengharungi empat perlawanan.

“Kemenangan amat penting kerana kita perlukan perbezaan mata yang banyak. Kami perlu menjadi juara kumpulan untuk mengelak daripada bertemu juara kumpulan lain,” kata Muhd Faqhri.

SMK Shah Alam  pula berada di kedudukan kedua dengan perbezaan satu mata selepas membelasah SMK Mergong 5-0, sekali gus mencatat kemenangan ketiga berturut-turut dalam saingan peringkat kumpulan.

Sementara itu, SMK Tunku Anum Tunku Abdul Rahman kembali mencatat kemenangan selepas menewaskan SMK Syed Hassan 1-0 untuk berada dikedudukan keempat dengan empat mata sementara SMK Gunung Rapat berada di tangga ketiga dengan enam mata.

Dalam saingan Kumpulan B, SMK Seri Titiwangsa mempamerkan kehebatan mereka apabila membelasah SMK Mutiara 6-0, sekaligus mengekalkan rekod kemenangan dua perlawanan berturut-turut.

Keputusan itu mengukuhkan kedudukan skuad kendalian Amir Ikhmal Zuhaimi untuk berada di kedudukan teratas kumpulan dengan enam mata.

“Kemenangan ini membuka laluan kami untuk menempah tempat ke suku akhir. Apa yang kami buat adalah untuk meningkatkan lagi keupayaan terutama di bahagian serangan bagi menambah jumlah gol kerana JDT (SMK Taman Desa Skudai B-14 B) telah mencatat kemenangan besar ke atas SMK Mutiara.

“Kami perlu mencari kemenangan pada baki dua perlawanan seepas ini ,”kata Amir Ikhmal.

Sementara itu, SMK Seksyen 11 kembali menghidupkan peluang untuk ke suku akhir apabila menewaskan SMK Putrajaya Presint 8 (1) 3-0 sekaligus berkongsi tiga mata dengan SMK Taman Desa Skudai B-14 B.

Persaingan Kumpulan C pula menyaksikan hanya satu perlawanan berlangsung apabila SMK Seri Kota terikat 1-1 dengan SMK Datuk Peter Mojuntin.

Keputusan seri itu membolehkan SMK Seri Kota menambah satu mata berharga untuk berkongsi enam mata dengan dan SSTMI dan pendahulu carta, SMK Taman Desa Skudai.

Dalam Kumpulan D, dua perlawanan berakhir tanpa pemenang apabila SMK Kampong Chengal seri 1-1 dengan SMK Seberang Temerloh, manakala SMK Ibrahim Fikri turut mencatat keputusan 1-1 ketika menentang SMK Putera.

Keputusan itu menyaksikan Akademi Mokhtar Dahari B-14 kekal menerajui Kumpulan D dengan enam mata, diikuti SMK Bukit Nenas yang turut mengumpul enam mata.

SMK Putera dan SMK Ibrahim Fikri kini berkongsi empat mata, sekali gus menjadikan persaingan merebut dua kedudukan teratas kumpulan semakin menarik.

Keputusan Perlawanan Minggu 4

Kumpulan A – SMK Mergong 0–5 SMK Shah Alam;
SMK Tunku Anum Tunku Abdul Rahman 1–0 SMK Syed Hassan;
SMK Mutiara Impian 3–1 SMK Tabuan Jaya

Kumpulan B – SMK Seksyen 11 3–0 SMK Putrajaya Presint 8 (1);
SMK Seri Titiwangsa 6–0 SMK Mutiara

Kumpulan C – SMK Seri Kota 1–1 SMK Datuk Peter Mojuntin

Kumpulan D – SMK Kampong Chengal 1–1 SMK Seberang Temerloh;
SMK Ibrahim Fikri 1–1 SMK Putera

About The Author