R. VIJAYA, AINUR SAAFIQAH KUASAI GEMAS WARRIORS CHALLENGE 2023

0
863
Vijaya (kiri depan) dan Saafiqah (berdiri dua dari kanan) menjuarai Gemas Warriors Challenge yang berakhir di Gemas Golf Resort, Ahad lalu.

GEMAS, Negeri Sembilan,17 Nov – R. Vijaya Sanggaran, 17, dan Ainur Saafiqah Azmi, 21, menguasai Gemas Warriors Challenge 2023 yang berakhir di Gemas Golf Resort, Tampin pada Ahad lalu.

Vijaya yang berasal dari Port Dickson muncul juara bagi kategori lelaki cabaran tersebut dengan catatan masa 20 minit manakala Ainur Saafiqah dari Seremban pula menjuarai kategori wanita selepas menamatkan larian dengan catatan masa 35 minit.

Selaku juara bagi edisi 2023 ini, mereka masing-masingnya meraih hadiah wang tunai RM500.

“Acara ini sangat mencabar tetapi saya tetap puas kerana berjaya melepasi setiap halangan yang perlu ditempuhi. Keputusan untuk menyertai acara ini pada saat-saat akhir ternyata berbaloi,” jelas Vijaya yang mengharapkan Gemas Warriors Challenge terus dianjurkan pada masa akan datang.

Acara anjuran Majlis Daerah Tampin (MDT) dengan kerjasama Lembaga Pelancongan Negeri Sembilan (LPNS) itu disertai lebih 400 peserta termasuk dari Johor, Terengganu, Selangor, Melaka, Kuala Lumpur dan juga Perak.

PELEPASAN para peserta pada Gemas Warriors Challenge di Gemas Golf Resort, Ahad lalu.

Ia merupakan program berbentuk larian berhalangan, sekaligus mencabar kekuatan fizikal dan mental para peserta.

Para peserta harus melalui lima bentuk halangan sepanjang larian sejauh enam kilometer itu.

Menurut Setiausaha MDT, Zulhilmi Marzuki program tersebut menjadi platform bagi para peserta untuk mencabar diri mereka terhadap aktiviti lasak sekaligus membina kekuatan fizikal.

“Aktiviti ini juga dapat menggalakkan gaya hidup sihat dalam kalangan Masyarakat tempatan bagi membantu membentuk keseimbangan dari aspek spiritual, mental, intelektual, pembangunan fizikal dan personaliti,” jelas Zulhilmi.

Menurutnya lagi, sepanjang cabaran tersebut para peserta perlu mengharungi pelbagai cabaran termasuk berlari melalui trek tayar, laluan labah-labah, laluan berbukit, merangkak bawah jaring dan memanjat dinding.

MERANGKAK di bawah jaring antara cabaran yang perlu dilalui para peserta.

Zulhilmi menjelaskan, acara yang julung kalinya diadakan itu bertujuan mempromosikan sukan lasak, selain menarik lebih ramai pelancong domestik datang ke negeri itu khususnya daerah Gemas.

“Tahun ini, MDT mewujudkan produk sukan lasak ke Gemas bagi merancakkan ekonomi dan pelancongan di daerah itu.

“Ia bagi membudayakan gaya hidup sihat, selain mengisi masa lapang khususnya semasa cuti hujung minggu bersama ahli keluarga.

“Saya yakin Gemas Warriors Challenge itu dapat menaikkan nama daerah Tampin sebagai tarikan kepada peminat sukan lasak,” katanya.

Turut hadir memeriahkan acara tersebut adalah Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Keusahawanan, Sumber Manusia, Perubahan Iklim, Koperasi dan Kepenggunaan Majlis Daerah Tampin, S. Veerapan sekaligus menyampaikan hadiah kepada para pemenang.

Hadiah wang tunai turut disediakan kepada para pemenang sehingga tempat kelima dalam kedua-dua kategori yang dipertandingkan.

About The Author

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here