PULAU PINANG, 15 Mei – Siri kejohanan Badminton Remaja NCT berakhir di Pulau Pinang pada Ahad lalu yang menyaksikan lebih 600 pemain, kebanyakannya dari Wilayah Utara Semenanjung tampil menyahut cabaran.
Kejohanan yang mempunyai lima pusingan itu berlangsung selama tiga hari yang mana para pemain yang berada di kedudukan empat terbaik bagi setiap kategori akan melayakkan diri ke pusingan akhir nanti.
Pusingan akhir akan berlangsung di Kuala Lumpur pada hujung bulan ini dan pemenang bagi setiap kategori akan diberikan tiket ke Paris bagi menyaksikan Sukan Olimpik 2024.
Pada saingan di Pulau Pinang, Lim En Yu dari Kedah muncul satu-satunya juara berganda apabila berjaya menjuarai kategori perseorangan dan bergu perempuan Bawah 11 tahun.
Seramai lebih 3,000 pemain berusia antara 8 hingga 15 tahun dari seluruh negara telah bertanding dalam 14 kategori yang dipertandingkan dalam kesemua lima pusingan kejohanan ini dengan empat pemain terbaik layak ke pusingan akhir.
Bekas pemain perseorangan negara, Kwan Yoke Meng yang hadir menyaksikan kejohanan ini melahirkan rasa bangganya selepas melihat begitu ramai pemain muda di seluruh negara tampil menyertai pertandingan tersebut.
“Ada pemain yang berbakat di setiap wilayah dan setiap negeri, terutamanya di kalangan pemain yang berusia 13 hingga 15 tahun,” kata Yoke Meng.
Menurutnya, pihak penaja serta kelab perlu tampil menyediakan sumber untuk membantu menggilap bakat pemain-pemain dalam peringkat umur tersebut kerana mereka ini bakal menjadi sandaran negara dalam sukan badminton di masa hadapan.
Tutu hadir pada saingan di Pulau Pinang itu adalah Ahli Dewan Undangan Negeri Seri Delima, Connie Tan.
Dalam satu temubual, Connie yang merupakan seorang pemain bola keranjang yang juga aktif bermain dan menonton bolasepak, menyatakan perlunya untuk pihak-pihak berwajib mempromosi dan menekankan badminton sebagai sukan kebangsaan.
“Kita hampir memenangi pingat emas Sukan Olimpik sebelum ini dan kita berharap pada kali ini, dengan bantuan Kementerian Belia dan Sukan yang telah melancarkan program “Road to Gold”, kita boleh memenangi pingat emas Olimpik pertama kita di Paris tahun ini.”
Tambah Connie lagi, kejohanan Piala Thomas yang baru berakhir di Chengdu, China baru-baru ini membukrikan bahawa Malaysia sebenarnya mempunyai pemain-pemain yang berpotensi besar dan kerajaan perlu menjadi tulang belakang kepada athlete-athlete ini dengan menyediakan kemudahan dan latihan tanpa kekangan bagi membolehkan mereka merealisasikan potensi mereka.
“Ini adalah tempat yang baik, masa yang baik dan dengan orang-orang yang tepat, kerajaan negeri akan lebih proaktif dalam menyediakan kemudahan bagi membantu athlete-athlete meningkatkan prestasi mereka.”
Tambahnya, Pulau Pinang sentiasa bersedia untuk bekerjasama dengan berbagai sektor bagi mempromosikan sukan dan berharap agar hasilnya akan diperlihatkan di Sukan Malaysia (Sukma) di Sarawak nanti.
NCT Alliance telah bekerjasama dengan Kelab Badminton Petaling (Petaling BC) untuk melancarkan sebuah inisiatif berbentuk siri kejohanan badminton di seluruh negara, termasuk kejohanan berprestij iaitu Kejohanan Badminton Remaja ‘Road to NCT’ yang menyasarkan untuk melahirkan juara-juara masa hadapan.
Kejohanan ini telah bermula dengan kategori remaja, menyasarkan penyertaan di kalangan pemain-pemain berusia 8 hingga 15 tahun.
Untuk menambahkan lagi minat, semangat dan menarik perhatian rakyat Malaysia, para peserta Kejohanan Badminton Remaja ‘Road to NCT’ berpeluang memenangi suatu pengalaman sekali seumur hidup berupa tajaan penuh untuk ke Paris bagi menyaksikan Sukan Olimpik 2024 pada Ogos nanti.