MUHAMMAD KHAIRIE KUASAI BADMINTON REMAJA NCT

0
102

KOTA KINABALU, 23 April – Muhammad Khairie Keplie berada dalam kelas tersendiri pada saingan pusingan keempat kejohanan Badminton Remaja NCT yang berlangsung di Kota Kinabalu, Sabah minggu lalu.

Kejohanan edisi sulung itu telah mendapat sambutan luar biasa apabila lebih 500 peserta termasuk dari Sarawak dan Labuan tampil menyahut cabaran.

Selepas menempuh persaingan sengit selama tiga hari, Muhammad Khairie muncul pemenang terbesar dengan menggondol kejuaraan bagi acara perseorangan dan beregu lelaki Bawah 15 tahun.

Pemain asal Membakut, Sabah itu muncul antara bakat yang perlu diberi perhatian setelah memenangi kedua-dua perlawanan akhir dengan mudah tanpa tewas sebarang set.

Sewaktu kejohanan, pihak penaja telah menerbangkan duta jenama mereka Man Wei Chong dan Tee Kai Wun ke Kota Kinabalu untuk mengadakan satu sesi klinik badminton dengan anak-anak yatim dari Rumah Amal Kasih.

Dalam sebuah wawancara, Man dan Tee telah menzahirkan rasa iri hati mereka terhadap pemain-pemain remaja masa kini, yang mana mereka berpeluang untuk bertanding dalam berbagai kejohanan.

“Saya sedikit iri hati, tetapi kejohanan ini dapat membantu pemain-pemain remaja menimba pengalaman ke arah mencapai impian mereka.”

Menyentuh perihal prestasi mereka sendiri, pasangan bergu itu berkata mereka akan bermain dalam kesemua kejohanan akan datang memandangkan mereka bukan sebahagian dari pasukan kebangsaan yang akan ke Sukan Olimpik dan Piala Thomas.

Man percaya bahawa kelemahan mereka yang paling ketara ialah kekuatan mental, yang mengakibatkan prestasi turun naik.

“Secara mental, kita belum cukup kuat. Ini perlu diteliti dan diperbaiki, dan corak pemikiran juga perlu dibaiki. Bukan mudah untuk pergi begini jauh, tapi perjalanan kami masih jauh dan kita perlu bekerja lebih keras.”

Pada masa yang sama, mereka tidak menafikan bahawa persaingan dalam kalangan skuad kebangsaan juga semakin sengit, namun mereka menganggap tekanan itu sebagai motivasi.

“Kita semua bersaing antara satu sama lain dan dengan persaingan seperti itu, kita akan dapat meningkatkan prestasi permainan.”

Mereka tidak lupa untuk mengucapkan terima kasih kepada penaja NCT Alliance Group atas sokongan sepanjang kempen mereka, yang banyak meringankan beban dan kerisauan, supaya mereka dapat memberikan tumpuan penuh terhadap permainan demi negara.

Man dan Tee juga berharap pasukan negara yang akan bertanding di Piala Thomas akan mempamerkan aksi terbaik mereka untuk membawa pulang piala itu untuk negara.

Pengerusi Eksekutif dan Pengarah Urusan Kumpulan NCT Alliance Berhad, Dato Sri Yap Ngan Choy berkata: “Misi kami ialah untuk mencetuskan minat terhadap badminton di kalangan kanak-kanak di Rumah Amal Kasih dengan memberikan mereka peluang berinteraksi dan berlatih dengan Man Wei Chong dan Tee Kai Wun.

“Kita juga berbangga menyaksikan impak yang dibawa ‘Road to NCT Championship’, sebagai elemen penting dalam memenuhi tanggungjawab ESG kami untuk terus berkembang sebagai sebuah syarikat.”

Turut hadir di kejohanan kali ini ialah Timbalan Ketua Menteri II merangkap Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Sabah, Datuk Seri Panglima Dr Joachim Gunsalam, yang juga merupakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kundasang.

Dr Joachim Gunsalam berkata: “Kejohanan ‘Road to NCT’ Junior Badminton Championship merupakan platform yang menarik untuk belia, sekali gus menyemai minat mereka dalam sukan badminton. Kita menggalakkan agar lebih banyak syarikat untuk tampil dengan inisiatif yang mengutamakan belia, menawarkan mereka peluang untuk mempamerkan bakat. Melalui usaha seperti ini, kita boleh pastikan yang aspirasi mereka akan tercapai, sambil bersama kita menyumbang ke arah peningkatan mutu sukan negara.”

Sementara itu, Setiausaha Tetap Kementerian Belia dan Sukan Sabah Datuk Mansur Asun yang turut hadir pada kejohanan tersebut menjelaskan bahawa beliau berpuas hati menyaksikan semangat dan kemahuan yang tinggi dipamerkan oleh bintang-bintang muda di atas gelanggang.

“Saya puji NCT Alliance dan Kelab Badminton Petaling atas komitmen mereka terhadap pembangunan belia di Malaysia. Pihak Negeri bersedia untuk menyokong apa juga inisiatif yang membawa kesan positif untuk golongan belia.”

NCT Alliance telah bekerjasama dengan Kelab Badminton Petaling (Petaling BC) untuk melancarkan sebuah inisiatif menarik berbentuk sebuah siri kejohanan badminton di seluruh negara, termasuk kejohanan berprestij iaitu Kejohanan Badminton Remaja ‘Road to NCT’ yang menyasarkan untuk melahirkan juara-juara masa hadapan.

Kejohanan ini menyasarkan penyertaan dalam kalangan pemain-pemain berusia 9 hingga 15 tahun.

Untuk menambahkan  lagi minat serta semangat, para peserta kejohanan Badminton Remaja ‘Road to NCT’ berpeluang memenangi suatu pengalaman sekali seumur hidup berupa tajaan penuh untuk ke Paris bagi menyaksikan Sukan Olimpik 2024.

About The Author