SUKMA 2020 DIJANGKA AWAL TAHUN DEPAN – ONN

0
816

KOTA ISKANDAR, 13 Sept – Sukan Malaysia (Sukma) 2020 yang tertangguh akibat pandemik COVID-19 dijangka diadakan pada awal tahun depan.

Walau bagaimanapun, Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Belia dan Sukan Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi (gambar atas) memberitahu, tarikh baharu Sukma 2020 yang sepatutnya berlangsung Julai lalu akan diputuskan oleh Jawatankuasa Tertinggi Sukma dalam masa terdekat.

“Sukma ke-20 yang sepatutnya berlangsung di negeri ini pada Julai lalu sebelum diikuti Para Sukma yang sepatutnya berlangsung pada Ogos lalu terpaksa ditunda akibat penularan wabak COVID-19.

“Tarikh baharu akan diputuskan tidak lama lagi namun kita menjangkakan SUKMA Johor bakal berlangsung pada awal tahun hadapan,” katanya menjawab soalan Mohd. Khuzzan Abu Bakar (Semerah-PH) pada sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor hari ini.

Mengulas lanjut, Onn Hafiz berkata, jumlah peruntukan asal keseluruhan bagi menganjurkan Sukma 2020 adalah sebanyak RM617.9 juta.

Daripada jumlah itu, sebanyak RM150 juta adalah untuk pengurusan, manakala RM467.9 juta bagi pembangunan dan penambahbaikan infrastruktur temasya itu.

“Sebanyak RM37.9 juta sudah digunakan sebagai peruntukan pengurusan sejak Mac lalu.

“Peruntukan tambahan yang diperlukan pula akibat Sukma dianjakkan kepada tahun depan adalah sebanyak RM21.6 juta dan ia membabitkan perbelanjaan pengurusan,” katanya.

Beliau berkata, peruntukan tambahan itu diperlukan untuk keperluan peralatan tambahan di setiap venue sukan, penginapan dan pusat operasi Sukma bagi pematuhan prosedur standard operasi (SOP) dan pencegahan COVID-19 yang ditetapkan oleh Kementerian Kesihatan.

About The Author

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here