PETALING JAYA, 24 Ogos – Jaguh berbasikal negara, Datuk Azizulhasni Awang serta penerjun tersohor, Datuk Pandelela Rinong adalah antara atlet yang tersenarai untuk merebut gelaran Atlet Terbaik SAM bagi musim 2021 pada majlis Anugerah 100PLUS Perpaduan SAM yang dijadualkan berlangsung pada 6 September depan.
Demikian jelas Presiden Persatuan Penulis-Penulis Sukan Malaysia (SAM), Norismadi Abd Manap pada sidang media majlis berkenaan di sebuah hotel terkemuka di Petaling Jaya hari ini.
Menurut Norismadi, Azizulhasni dan Pandelela adalah antara lima calon yang telah disenarai pendek untuk anugerah tersebut berdasarkan pencapaian yang mereka peroleh sepanjang tahun 2021.
“Saingan nampak sangat sengit untuk semua calon yang telah disenarikan kerana mereka memiliki pencapaian yang cemerlang dalam beberapa kejohanan antarabangsa yang mereka serti sepanjang tahun 2021 lalu.
“Pemenang akan ditentukan oleh ahli-ahli SAM yang akan membuat undian terhadap atlet pilihan mereka untuk bergelar Atlet Terbaik SAM bagi musim 2021,” jelas Norismadi.
Azizulhasni merupakan pemenang pingat perak acara keirin pada Sukan Olimpik Tokyo tahun lalu manakala Pandelela pula mencipta nama sebagai juara pada kejohanan Piala Dunia FINA di Tokyo pada 2021.
Tiga lagi calon lain yang berada dalam senarai lima terbaik adalah Lee Zii Jia (badminton); Rifdean Mansor (Muay Thai) dan pasangan Aaron Chia-Soh Wooi Yik (badminton).
Pencapaian terbaik tiga atlet ini sepanjang musim 2021 menyaksikan Zii Jia menjuarai kejohanan badminton All England, pingat perak kejohanan badminton berpasukan Asia serta pingat gangsa pada Piala Sundirman.
Gandingan Aaron Chia-Wooi Yik pula menang pingat gangsa acara beregu lelaki pada Sukan OlimpikTokyo manakala Rifdean menghadiahkan pingat emas buat negara pada kejohanan IFMA Senior World Championship di Bangkok bagi kategori bawah 23 tahun elit.
Bagi kategori Atlet Para Terbaik pula, empat calaon disenarai pendek iaitu Bonnie Bunyau Gustin (powerlifting); Latif Romly (lompat jauh); Cheah Like Hou (badminton); Chew Wei Lun (boccia).
Kesemua calon ini memiliki pencapaian yang luar biasa dalam beberapa kejohanan antarabangsa yang mereka sertai sepanjang musim 2021 termasuk Sukan Olimpik Tokyo.
Kategori lain dalam agenda majlis itu nanti adalah anugerah kewartawanan sukan. Turut diperkenalkan tahun ini adalah Anugerah Perpaduan SAM dengan kerjasama Kementerian Perpaduan Negara yang bertujuan untuk memupuk perpaduan melalui sukan.
Turut hadir pada majlis itu adalah Pengarah Perhubungan Kerajaan Industri dan Hal Ehwal Halal F&N Holding Berhad, Datuk Raffiq MD Ariff.