UiTM, UPSI BUAT PERHITUNGAN DI FINAL ACARA BOLA SEPAK

0
378

Oleh IQMAL HAKIM HISHAM

TANJONG Malim, 18 Ogos – Juara bertahan, Universiti Teknologi MARA (UiTM) bakal membuat perhitungan dengan tuan rumah, Universiti Pendidikan Sultan Idris dalam perlawanan akhir acara bola sepak pada temasya Sukan Institusi Pengajian Tinggi (SUKIPT) Sabtu ini.

Dua pasukan tersebut menempah tiket ke final selepas melepasi halangan di peringkat separuh akhir hari ini.

Perlawanan akhir akan diadakan di Stadium UPSI, Sabtu ini dan ia pasti menjadi pertembungan yang menarik terutamanya buat pasukan tuan rumah, UPSI yang memiliki kelebihan beraksi di gelanggang sendiri.

Hari ini, UiTM sekali lagi membuktikan status mereka selaku pasukan berstatus ‘bintang’ apabila mudah menjinakkan lawan, Universiti Putra Malaysia (UPM) 5-1 pada perlawanan separuh akhir pertama di padang UKM, Bangi.

Jaringan hatrik daripada Fariz Hafiz (m-23, m-51, m-74)  pada perlawanan tersebut telah mematikan momentum pasukan UPM meskipun pada suatu ketika cuba bangkit untuk memberi tentangan.

Namun, UiTM terlalu kental dan terus menghukum UPM menerusi dua jaringan Zharif Nazhan pada minit ke-10 dan 85.

Gol saguhati UPM dihasilkan oleh Aiman Norhakim pada minit ke-19, namun ia tidak cukup untuk mereka menyekat kemaraan UiTM.

Dalam satu lagi perlawanan separuh akhir di Stadium UKM, Bangi, tuan rumah UPSI mencipta kejutan ke atas Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (IIUM) 2-0.

UPSI menghasilkan jaringan mereka menerusi Alief Najmi pada minit ke-44 sebelum Aiman Hakim menjadikan kedudukan 2-0 pada minit ke-53.

Turut berlangsung pada sebelah pagi ini adalah acara memanah yang menyaksikan panahan sempurna daripada dua atlet Universiti Putra Malaysia (UPM) membolehkan mereka menyapu bersih dua pingat emas yang ditawarkan dalam acara recurve lelaki dan wanita.

Seperti dijangka, UPM yang diperkuatkan dua pemanah kebangsaan terlalu sukar untuk digugat meskipun acara tersebut berlangsung dalam keadaan angin yang agak kuat.

Syaqiera Mashayikh antara tonggak kontinjen negara di Sukan Olimpik Tokyo 2020 dan juga pemenang pingat gangsa di Sukan SEA Hanoi 2021, mengungguli kategori recurve wanita selepas mengumpul 651 mata menerusi 72 panahan.

Pencabarnya yang juga rakan sepasukannya, Nur Afisah Abdul Halil sekadar berpuas hati dengan penyudah pingat perak manakala atlet Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Ayu Izzwany Jesny menamatkan saingan tersebut dengan pingat gangsa.

“Saya akan terus berusaha untuk memperbaiki pencapaian kerana bagi saya, saya mampu untuk memberikan yang lebih baik pada masa akan datang,” kata Syaqiera

Dalam kategori lelaki, UPM sekali lagi menunjukkan penguasaan mereka menerusi Muhamad Zarif Syahiir Zolkepeli yang menjelmakan kilauan emas buat pasukannya.

Zarif mengumpul 644 mata selepas 72 panahan, menewaskan atlet Politeknik Malaysia, Naveer Filkri Zainuddin dan juga atlet Universiti Sultan Zainal Abidin, Muhammad Ikram Zaidi.

“Ketika temasya AUG 2022 di Ubon Ratchathani baru-baru ini, saya terlepas untuk mendapatkan sebarang pingat, jadi di SUKIPT kali ini saya berjaya menebus kekecewaan tersebut,” katanya.

(Penulis merupakan pelajar kewartawanan UiTM Shah Alam)

About The Author

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here