LUQMAN HARUS KUAT BERDEPAN CABARAN

0
839

SALAM sejahtera dan selamat berjumpa lagi menerusi kolum Lipat Maut.

Minggu lalu agenda sukan negara diwarnai dengan berita pemain bola sepak muda, Luqman Hakim Shamsudin yang bakal berkelana ke Eropah dalam misi untuk bergelar pemain profesional di sana.

Difahamkan, Luqman akan menyertai kelab milik konglomerat negara, Tan Sri Vincent Tan iaitu KV Kortrijk yang berpangkalan di Belgium.

Bukan mudah buat seseorang pemain dari rantau Asia Tenggara khususnya Malaysia untuk menembusi industri bola sepak Eropah dan Luqman seharusnya bersyukur kerana mendapat peluang untuk membuktikan kemampuannya.

Justeru, pergunakan peluang seperti ini sebaik mungkin jika mahu menjadi seorang pemain yang berjaya di bumi Eropah, sekali gus mencipta sejarah baharu untuk bola sepak negara.

Meskipun saya tidak bersetuju seratus peratus dengan langkah ini, tetapi saya tetap menyokong hasrat mana-mana pemain yang ingin meneruskan karier bola sepak mereka di luar negara – tetapi dengan syarat, mereka harus berjaya dan jangan terhenti separuh jalan.

Kenapa saya tidak bersetuju seratus peratus?

Sebabnya – saya ada pandangan tersendiri yang mungkin berbeza dengan pandangan peminat bola sepak lain di luar sana.

Alasan pertama adalah – saya bimbang sejarah lalu bakal berulang. Beberapa pemain negara yang mencuba nasib mencipta nama di luar negara sebelum ini (tak perlulah saya sebutkan nama mereka disini) gagal memenuhi impian yang kita harapkan.

Alasan lainnya – setakat ini, saya belum nampak lagi pemain negara kita mendapat perhatian dalam kalangan kelab bola sepak di rantau Asia Tenggara, sekali gus mencipta nama sebagai pemain yang berjaya. Selain itu, pemain terbaik di Asia Tenggara suatu ketika dahulu, Terasil Dangda dari Thailand juga gagal dengan misinya di bumi Eropah dan inikan pula pemain muda yang sedang meningkat naik.

Perjalanan mereka sebelum ini terhenti separuh jalan dan kembali ke tanah air tanpa membawa sebarang kejayaan yang boleh dibanggakan.

Sebelum berangkat ke luar negara, mereka dijulang bak wira, tetapi apabila pulang dengan kegagalan, pemain-pemain ini dikritik teruk sehingga menjejaskan mental serta fokus mereka untuk meneruskan karier di bumi sendiri.

Akibatnya, bakat yang ada pada mereka turut musnah.

Perkara seperti inilah yang menjadi kebimbangannya saya kerana ia pernah berlaku dengan beberapa pemain kita yang beraksi di luar negara sebelum ini yang pulang ke tanah air ketika kontrak mereka dengan kelab yang diwakili belum berakhir.

Alasan mereka pelbagai iaitu – gaji yang tidak mencukupi, rindu kampung halaman, makanan, kecederaan dan sebagainya.

Jadi, apa yang berlaku pada masa lalu, harus dijadikan pengajaran buat Luqman.

Dia harus kuat berdepan dengan pelbagai dugaan yang bakal dihadapinya nanti. Dia perlu kuatkan mental dan jangan mudah patah semangat.

Buktikan bahawa pemilihannya untuk menyertai kelab Belgium itu berbaloi dan bukannya semata-mata kerana pengaruh yang ada pada pemiliknya, Tan Sri Vincent Tan.

Memang diakui, pemilihannya menyertai kelab tersebut bukan atas faktor merit, justeru, dia perlu bekerja keras untuk bersaing dengan rakan-rakan sepasukannya nanti.

Tidak ada yang mustahil jika dia terus bekerja keras serta tidak mudah patah semangat. Paling utama, dia harus cepat membiasakan diri dengan budaya di sana, jika tidak, ia boleh meranapkan impiannya untuk mencipta nama di bumi Eropah.

Apa yang saya harapkan buat Luqman adalah agar dia beroleh kejayaan di Belgium nanti serta mempergunakan sepenuhnya peluang keemasan seperti ini untuk menjadi pemain profesional yang berjaya.

Contohilah semangat yang ada pada para pemain Korea dan Jepun. Tanyalah pada diri sendiri kenapa mereka berjaya apabila beraksi di Eropah. Jika dapat jawapannya, saya yakin Luqman tahu apa yang harus dilakukannya di Belgium nanti.

Bak kata Luqman, ‘semua pemain mempunyai sepasang kaki’ dan saya akui hakikat tersebut. Cuma bezanya adalah semangat juang. Ini yang perlu ada jika mahu mencipta kejayaan.

Maju Sukan Untuk Negara!

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

About The Author

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here