PERPATIH FEST 2025: PENTAS ADAT, PENGANJURAN CEMERLANG

0
80
YB Datuk Mohd Faizal menyifatkan Perpatih Fest 2025 sebagai antara penganjuran terbaik sepanjang 25 tahun sejarah festival wakil-wakil luak dan wilayah adat, masyarakat etnik serta reruai antarabangsa yang mengambil bahagian.
Kerjasama strategik dimeterai oleh Aziz bin Haji Mohd Gorip mewakili Lembaga Muzium Negeri Sembilan dan Datin Paduka Hajah Hazlina bagi pihak KEJORA, disaksikan sendiri oleh Datuk Mohd Faizal.

SEREMBAN, 13 Okt – Perpatih Fest 2025 melabuhkan tirainya dengan penuh gilang-gemilang menerusi satu majlis penutupan rasmi yang berlangsung di Pentas Utama, Muzium Negeri di sini, petang semalam.

Majlis berprestij itu disempurnakan oleh Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Warisan, Adat Istiadat Melayu, Teknologi, Inovasi dan Digital Negeri Sembilan, Datuk Mohd Faizal bin Ramli.

Turut hadir memeriahkan acara ialah Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Warisan merangkap ADUN Johol, Dato’ Saiful Yazan bin Sulaiman, selain beberapa tetamu kenamaan dari dalam dan luar Negeri Sembilan.

Antara yang turut hadir termasuk ADUN Seremban Jaya, Gunasekaren a/l Palasamy, yang juga Ahli Lembaga Pengarah Lembaga Muzium Negeri Sembilan, serta Pengurus Besar Lembaga Kemajuan Johor Tenggara (KEJORA), Datin Paduka Hajah Hazlina binti Jalil.

Majlis turut diserikan dengan kehadiran Pengarah Lembaga Muzium Negeri Sembilan, Aziz bin Haji Mohd Gorip, bersama ketua-ketua jabatan negeri dan persekutuan, YM penghulu-penghulu Luak, dato’-dato’ penyandang pesaka adat serta ibu-ibu soko.

Dalam ucapannya, Katanya, aspek susun atur yang tersusun, pengisian yang padat serta sambutan hangat daripada pelbagai lapisan masyarakat menjadi faktor utama kejayaan luar biasa festival kali ini.

Sehingga jam 2.30 petang pada hari terakhir, sejumlah 23,744 pengunjung fizikal direkodkan hadir ke tapak festival di Muzium Negeri, Seremban.

Manakala 195,400 pengunjung dalam talian turut mengikuti pelbagai pengisian digital termasuk siaran langsung, tayangan teaser serta dua program popular, Mak Kiah Ferry dan Wan Takaful.

Jumlah keseluruhan pengunjung mencecah 219,144 orang, sekali gus melangkaui sasaran awal Kerajaan Negeri iaitu 20,000 pengunjung, membuktikan sambutan yang amat memberangsangkan.

Datuk Mohd Faizal turut merakamkan ucapan tahniah kepada Lembaga Muzium Negeri Sembilan atas penganjuran festival yang disifatkan sangat berjaya dan berimpak tinggi.

Beliau turut menyatakan harapan agar penganjuran Perpatih Fest 2026 yang bakal berlangsung bersempena Tahun Melawat Negeri Sembilan akan tampil lebih meriah dengan pengisian baharu dan kreatif.

Majlis penutup turut menyaksikan pelancaran eksklusif Songket Bunga Lado, simbol warisan tekstil adat Negeri Sembilan yang kaya dengan nilai estetika dan sejarah budaya.

Festival turut dimeriahkan dengan penyampaian sijil penyertaan kepada wakil-wakil luak dan wilayah adat, masyarakat etnik serta reruai antarabangsa yang mengambil bahagian.

Pelbagai aktiviti menarik disajikan kepada pengunjung sepanjang festival berlangsung, termasuk pameran jabatan dan agensi, reruai produk warisan, serta karnival masakan rentas negeri yang mencuri perhatian ramai.

Majlis penutup diserikan lagi dengan sesi cabutan bertuah, menjadi penutup yang manis kepada festival yang penuh warna-warni dan semangat kekeluargaan.

Dalam majlis sama, turut berlangsung Majlis Menandatangani Perkongsian Pintar antara Lembaga Muzium Negeri Sembilan dan KEJORA.

Kerjasama strategik tersebut dimeterai oleh Aziz bin Haji Mohd Gorip mewakili Lembaga Muzium Negeri Sembilan dan Datin Paduka Hajah Hazlina bagi pihak KEJORA, disaksikan sendiri oleh Datuk Mohd Faizal.

Perpatih Fest 2025 bukan sahaja berjaya mengangkat martabat budaya Adat Perpatih ke peringkat arus perdana, malah turut membuka ruang kolaborasi antara agensi dalam memperkasa pelancongan warisan negeri.

Festival ini sekali lagi membuktikan bahawa adat dan budaya Negeri Sembilan terus hidup, subur dan relevan dalam landskap pembangunan semasa.

About The Author