SEMINAR ANTARABANGSA PERKARA ADAT PERPATIH KE PENTAS DUNIA

0
47
Prof Dr. Widia Fithri, M.Hum (dua dari kiri) menerima cenderamata daripada Dato’ Haji Saiful Yazan bin Sulaiman.

SEREMBAN, 17 Okt. – Adat Perpatih terus diberi suntikan baharu apabila Seminar Antarabangsa Sempena Perpatih Fest 2025 berjaya menghimpunkan cendekiawan tempatan dan antarabangsa dalam sebuah platform ilmiah yang berlangsung di Muzium Negeri Sembilan, di sini, baru-baru ini.

Profesor Ulung Datuk Dr. Shamsul Amri bin Baharuddin menyampaikan ceramah.

Seminar anjuran Lembaga Muzium Negeri Sembilan itu bertujuan memperkukuh kefahaman dan apresiasi masyarakat terhadap sistem warisan matrilineal yang diwarisi turun-temurun serta memperluas wacana Adat Perpatih ke peringkat global.

Majlis dirasmikan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Johol, merangkap Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Warisan, Adat Istiadat Melayu, Teknologi, Inovasi dan Digital, Dato’ Haji Saiful Yazan bin Sulaiman.

Turut hadir, ADUN Jeram Padang, Dato’ Mohd Zaidy Abdul Kadir, Pengarah Lembaga Muzium Negeri Sembilan, Aziz bin Haji Mohd Gorip, serta Kurator Bahagian Antikuiti, Rosrita binti Mohamad Nordin.

Program berprestij itu disertai oleh pelbagai lapisan masyarakat termasuk dato’-dato’ penyandang pesaka adat, ibu-ibu soko, penjawat awam dari agensi kerajaan peringkat negeri dan persekutuan, pelajar institusi pengajian tinggi, pelajar sekolah serta wakil pertubuhan bukan kerajaan (NGO).

Sebahagian peserta yang hadir seminar Antarabangsa Sempena Perpatih Fest 2025.

Menurut penganjur, seminar ini merupakan antara pengisian utama sempena Perpatih Fest 2025, yang dahulunya dikenali sebagai Syarahan Negeri, dengan matlamat memperkasa serta memartabatkan Adat Perpatih bukan sahaja di Negeri Sembilan, bahkan di peringkat antarabangsa.

Lebih istimewa, seminar ini turut menampilkan dua tokoh ilmuwan tersohor — seorang dari Malaysia dan seorang dari Indonesia — yang berkongsi pandangan dan kajian mereka berkaitan adat matrilineal serta cabaran kontemporari yang dihadapi.

Antaranya ialah Pengarah Pengasas Institut Kajian Etnik (KITA), Universiti Kebangsaan Malaysia, Profesor Ulung Datuk Dr. Shamsul Amri Baharuddin yang membentangkan tajuk “Masyarakat Nasab Ibu di Seluruh Dunia: Mirip Adat Perpatih”.

Sementara itu, Prof. Dr. Widia Fithri, M.Hum. dari Fakulti Ushuluddin dan Studi Agama, Universiti Islam Negeri Imam Bonjol, Padang, Sumatera Barat, Indonesia membentangkan syarahan bertajuk “Minangkabau dan Cabaran Semasa”.

Kedua-dua syarahan tersebut mendapat perhatian luar biasa daripada para peserta, sekali gus membuka dimensi baharu dalam memahami persamaan dan perbezaan antara Adat Perpatih di Negeri Sembilan dan Adat Minangkabau di Indonesia.

Seminar turut dikendalikan oleh Timbalan Presiden Badan Kebajikan dan Kemajuan Anak-anak Melayu Negeri Sembilan, Dato’ Haji Redhuan bin Sabaruddin selaku moderator.

Gembira, pemenang cabutan bertuah menerima basikal.

Program keilmuan berskala besar ini dijangka dapat merangsang minat dalam kalangan pelajar, penyelidik serta institusi pengajian tinggi untuk menjalankan penyelidikan lanjut mengenai Adat Perpatih yang mempunyai nilai sejagat.

Melalui seminar ini juga, pelbagai dapatan penting telah didokumentasikan sebagai sebahagian daripada usaha menjadikan Muzium Negeri Sembilan sebagai pusat rujukan utama Adat Perpatih.

Lembaga Muzium Negeri Sembilan merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada kedua-dua penceramah jemputan yang telah sudi berkongsi ilmu dan pengalaman, serta kepada semua pihak yang hadir dan menjayakan seminar ini.

Penganjuran ini membuktikan komitmen berterusan kerajaan negeri dan institusi berkaitan dalam memartabatkan Adat Perpatih sebagai khazanah warisan budaya yang bernilai tinggi, serta relevan dalam mendepani perubahan zaman.

About The Author