
TANJONG KARANG, 13 Dis – Karnival PUTRA @Sawah Sempadan, Tanjong Karang 2025 membuka tirainya hari ini dengan pelbagai pengisian bermanfaat dan menarik yang mendapat sambutan menggalakkan daripada warga Universiti Putra Malaysia (UPM) dan penduduk setempat.

Acara dimulakan dengan aktiviti ‘Sawah Walk’ seawal jam 8.15 pagi yang melibatkan penyertaan tetamu kehormat, staf UPM, pelajar serta penduduk kampung. Perjalanan santai sejauh tiga kilometer mengelilingi sawah padi itu bukan sahaja mengeratkan hubungan, malah mencipta suasana harmoni antara komuniti dan universiti.
Tiga ‘check point’ sepanjang laluan disediakan dengan pelbagai aktiviti interaktif seperti bermain layang-layang dan memancing. Aktiviti memancing mencuri tumpuan apabila mendapat sambutan sangat menggalakkan, termasuk penyertaan Yang Berbahagia Prof. Dr. Ir. B.T. Hang Tuah Baharudin sendiri yang turut memancing bersama para peserta, memeriahkan suasana desa yang unik.

Pelbagai acara sampingan turut diadakan termasuk pertandingan mewarna, pertandingan karom dan Pertandingan Inovasi Kreativiti Komuniti yang berjaya menarik penyertaan pelbagai peringkat umur. Sambutan yang diterima membuktikan kesungguhan masyarakat dalam mendukung inisiatif berbentuk pendidikan dan kekeluargaan.
Sempena karnival ini juga, UPM menyerahkan beberapa kemudahan infrastruktur baharu kepada komuniti setempat di bawah projek Kampung Angkat MADANI. Ia merangkumi penambahbaikan jeti, taman mini dan laluan pejalan kaki, pembinaan lima unit kiosk jualan, tiga unit kayak serta sepuluh unit lampu jalan berkuasa solar sebagai usaha memperkasakan ekonomi dan kualiti hidup penduduk kampung.
Majlis perasmian karnival disempurnakan oleh Prof. Dr. Ir. B.T. Hang Tuah Baharudin, Timbalan Naib Canselor (Jaringan Industri dan Masyarakat), UPM yang turut menyertai aktiviti ‘Sawah Walk’ dan memancing bersama warga kampung. Beliau turut menyempurnakan simbolik penyerahan infrastruktur tersebut kepada wakil komuniti.
Menurut beliau, pendekatan turun padang ini bukan sahaja memperkukuh jaringan antara UPM dan masyarakat luar bandar, malah selari dengan aspirasi universiti sebagai agen perubahan yang menyumbang secara langsung kepada pembangunan komuniti secara holistik dan lestari.











