BANGKOK, 20 Dis – Selepas sekian lama Malaysia tidak mendominasi pentas Sukan SEA, kejayaan meraih dua pingat emas lebih-lebih lagi di bumi Thailand amat bermakna buat skuad sepak takraw negara.
Kegembiraan itu diluahkan kapten negara, Farhan Adam selepas skuad negara menutup kempen kontinjen Malaysia di Sukan SEA Thailand dengan meraih pingat emas acara regu hari ini.
Skuad negara di bawah bimbingan Ahmad Jais Baharun mempamer aksi bertenaga menumbangkan Vietnam 15-9, 15-9 pada aksi final di Stadium Gimnasium Nakhon Pathom.

“Final tetap final. Pingat emas tetap pingat emas. Syukur Alhamdulillah, untuk Sukan SEA tahun ini, ia adalah pencapaian terbaik untuk saya secara peribadi dan pasukan sepak takraw negara.
“Sudah sekian lama kita tak dapat pencapaian sebegini. Jadi tahun ini, dua pingat emas adalah satu yang sangat membanggakan. Bukan sahaja untuk kami tapi untuk rakyat Malaysia,” katanya.
Kejayaan tersebut turut disaksikan Menteri Belia dan Sukan baharu, Mohammed Taufiq Johari dan Presiden Persekutuan Sepaktakraw Malaysia (PSM), Mohd Sumali Reduan.
Vietnam sebelum itu mengejutkan Thailand 15-13, 6-15, 15-9 dalam aksi separuh akhir, sekali gus menafikan final impian antara Malaysia dan Thailand.
Skuad negara pula tidak berdepan masalah mengatasi Indonesia 15-7, 15-10 di separuh akhir.
“Acara ini bukannya seperti sebelum ini yang mana Thailand tidak mengambil bahagian. Kali ini Thailand memang ada dalam acara regu, tapi mereka tewas di separuh akhir.
“Jadi kami tetap nak buktikan kami menang di final menentang Vietnam, sekali gus menolak kata-kata orang yang mengatakan final tak menarik.
“Kita kena terima dan akui, Vietnam satu pasukan yang sangat kuat sehingga mampu mengalahkan Thailand,” ujar Farhan.
Kejayaan itu menyaksikan skuad sepak takraw negara menutup kempen di Thailand dengan mengutip dua emas dan tiga gangsa.
Pingat emas itu adalah yang ke-57 diraih kontinjen negara pada temasya edisi ke-33, sekali gus menyaksikan Malaysia memungut 57 perak dan 117 gangsa untuk keseluruhan 231 pingat.
Pencapaian tersebut melepasi sasaran 200 pingat yang ditetapkan sebelum ini.
Regu dibarisi Syahir Mohd Rosdi (tekong), Azlan Alias (perejam) dan Farhan (pengumpan) menunjukkan keyakinan tinggi apabila tidak berdepan masalah untuk memenangi set pertama.
Pada awal set kedua, Haziq Hairul Nizam masuk menggantikan Syahir dan skuad negara terus konsisten untuk melakar kemenangan mutlak.
Kali terakhir Malaysia meraih emas dalam acara regu lelaki adalah ketika menjadi tuan rumah pada edisi 2017 di Kuala Lumpur yang menyaksikan skuad negara menewaskan Filipina di pentas final.
Skuad negara turut meraih emas pada edisi sebelum itu di Singapura, ketika kedua-dua edisi tiada penyertaan Thailand kerana peraturan had penyertaan.
Thailand selaku juara tiga edisi berturut-turut sejak 2019 di Filipina, terus berdepan mimpi ngeri selepas regu utama mereka tewas kepada Vietnam 13-15, 15-6, 9-15, sekali gus sekadar berpuas hati dengan gangsa, berkongsi pingat dengan Indonesia.
Sebelum itu, Malaysia memahat detik manis apabila menamatkan kemarau 34 tahun dengan meraih emas acara regu berpasukan lelaki.
Pasukan negara memalukan Thailand di laman sendiri menerusi kemenangan 2-1.












