AEON CREDIT PACU CARDINALS RACING TEAM HARUNGI KEJUARAAN MOTOSIKAL ASIA BAGI MUSIM 2026

0
48

SEPANG, 9 April – AEON Credit Service (M) Berhad mengorak langkah besar dalam arena sukan permotoran apabila mengumumkan kerjasama rasmi dengan Cardinals Racing Team untuk menghadapi Kejuaraan Motosikal Asia (ARRC) musim 2026.

Kerjasama ini menandakan komitmen jangka panjang AEON Credit terhadap pembangunan ekosistem motosikal di Malaysia, selain memperkukuh hubungan dengan pelumba dan peminat sukan permotoran serantau.

Sebagai peneraju pasaran dengan pegangan melebihi 20 peratus, AEON Credit bukan sekadar memudahkan mobiliti rakyat, malah kini menyokong prestasi, pembangunan bakat dan kecemerlangan sukan permotoran di peringkat serantau.

Tyan Jen (kiri) dan KF Wong

Menurut Timbalan Ketua Pegawai Operasi (CEO) & Ketua Pegawai Sinergi Perniagaan AEON Credit, Lee Tyan Jen, kerjasama dengan Cardinals Racing Team adalah langkah semula jadi bagi mengembangkan pengaruh syarikat dalam industri dua roda.

“Kami bangga menjadi sebahagian daripada pasukan yang menunjukkan komitmen tinggi, kesungguhan, daya tahan dan semangat kompetitif. Nilai-nilai ini selari dengan aspirasi kami serta memperkukuh hubungan dengan pelumba dan peminat di seluruh rantau,” katanya.

Cardinals Racing Team kini mensasarkan kedudukan podium pada musim 2026, dengan reputasi yang kukuh dan konsisten dalam saingan ARRC sejak bertahun-tahun.

Pengarah pasukan tersebut, K.F. Wong menjelaskan bahawa sokongan AEON Credit pastinya akan memperkukuh keupayaan pasukan untuk bersaing di peringkat tertinggi.

“Kami berharap dapat memberikan keputusan cemerlang sambil meletakkan jenama AEON Credit pada tahap optimum sepanjang kejuaraan,” katanya.

Musim ini, pasukan diperkuatkan oleh pelumba berpengalaman Ahmad Fazrul Sham dan Shafiq Rasol yang akan beraksi dalam kelas UB150, manakala Shota Yokoyama akan menggalas cabaran dalam kelas AP250.

Pada 2025, AEON Credit turut menyokong bakat muda Malaysia, Hakim Danish, dalam penampilan wildcard di MotoGP.

Kini, syarikat itu bekerjasama dengan ZK Racing untuk membawa Hakim ke kempen penuh Moto3 bagi saingan musim 2026.

Langkah ini bukan sahaja mengukuhkan jenama AEON Credit dalam platform perlumbaan kompetitif, malah membuka ruang untuk pembangunan bakat tempatan dalam arena sukan permotoran antarabangsa.

ARRC merupakan siri perlumbaan motosikal terulung di Asia yang menarik penyertaan pelumba dan pasukan terbaik dari seluruh rantau.

Musim 2026 dijangka menyaksikan saingan sengit merentasi pelbagai litar antarabangsa.

Saingan pembuka tirai bagi musim 2026 akan berlangsung di Litar Antarabangsa Sepang dari 10 hingga 12 April, dengan Cardinals Racing Team bersedia menampilkan aksi cemerlang bagi mewakili Malaysia dan jenama AEON Credit. – SK

About The Author