KUALA LUMPUR, 16 April – Skuad badminton wanita negara menerima tamparan menjelang saingan Piala Cup apabila tonggak beregu utama, Pearly Tan, disahkan menarik diri susulan kecederaan belakang yang kembali berulang.
Penarikan diri pemain berpengalaman itu sekali gus menutup hasratnya untuk membantu Malaysia memburu cabaran lebih mantap dalam kejohanan berpasukan paling berprestij dunia tersebut.
Menerusi hantaran di laman sosial, Pearly tidak dapat menyembunyikan kekecewaan yang dirasainya selepas terpaksa membuat keputusan pahit itu.
“Saya memohon maaf kerana mengecewakan semua. Hati saya sangat berat untuk mengatakan bahawa saya tidak dapat menyertai Piala Uber kali ini,” katanya.
Menurut Pearly, kecederaan belakang yang dialami sebelum ini kembali menghantui dirinya selepas kejohanan terdahulu, sekali gus memaksanya untuk memberi ruang kepada proses pemulihan.
Rakan beregu M Thinaah itu mengakui keputusan untuk tidak turun beraksi bukan sesuatu yang mudah kerana semangatnya sentiasa mahu berada di gelanggang bersama pasukan.
“Saya tidak pernah mahu meninggalkan gelanggang. Saya akan berjuang hingga mata terakhir, tetapi kali ini badan saya memberi isyarat untuk berehat,” katanya.
Kejohanan berprestij tersebut dijadual berlangsung di Horsens, Denmark bermula 24 April hingga 3 Mei ini.
Lebih memilukan, Pearly mendedahkan kecederaan sama pernah hampir merencatkan perjalanan kariernya kira-kira tiga tahun lalu, menjadikan situasi kali ini cukup sukar untuk diterima.
Katanya, beliau perlu lebih berhati-hati agar masalah berkenaan tidak menjadi lebih serius dan menjejaskan peluang untuk kembali beraksi dalam jangka masa panjang.
“Apa yang saya harapkan sekarang hanyalah tubuh badan yang sihat supaya saya dapat kembali lebih kuat,” katanya lagi.
Walaupun tidak dapat bersama pasukan di pentas besar, Pearly menegaskan sokongannya terhadap rakan-rakan sepasukan tidak akan berbelah bahagi.
“Saya akan sentiasa menyokong pasukan dari jauh dan berharap mereka dapat memberikan yang terbaik untuk negara,” katanya.
Sementara itu, Persatuan Badminton Malaysia (BAM) mengesahkan penarikan diri pemain berkenaan selepas penilaian akhir tahap kecergasan dilakukan.
Pengarah Kejurulatihan Beregu negara, Rexy Mainaky berkata, keputusan tersebut dibuat demi memastikan skuad turun dalam keadaan terbaik.
“Pearly tidak berada pada tahap yang membolehkannya beraksi seperti diperlukan. Kami terpaksa membuat keputusan ini demi pasukan dan juga kesihatan pemain,” katanya. – SK












