1,500 SERTAI JELAJAH LARIAN OBOR SUKMA DI AMPANG JAYA

0
29
Timbalan Yang Dipertua Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ), Ts. Hasrolnizam Shaari (tengah) mengetuai Jelajah Larian Obor SUKMA dan Para SUKMA 2026 sejauh empat kilometer di sekitar Taman Melawati, Ampang Jaya, malam tadi.

AMPANG JAYA: Kira-kira 1,500 peserta memeriahkan Jelajah Larian Obor Sukan Malaysia (SUKMA) Ke-22 dan Para SUKMA 2026 yang berlangsung di Taman Melawati, di sini, malam tadi.

Program yang merupakan siri ketujuh jelajah berkenaan dianjurkan sempena persiapan menjelang temasya dwitahunan SUKMA Selangor 2026.

Hasrolnizam Shaari (tengah) bersama tetamu jemputan pada majlis pelepasan Jelajah Larian Obor SUKMA dan Para SUKMA 2026 di Pusat Konvensyen MPAJ, Taman Melawati, Ampang Jaya, malam tadi.

Timbalan Yang Dipertua Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ), Ts. Hasrolnizam Shaari berkata, penyertaan memberangsangkan itu mencerminkan sokongan masyarakat terhadap penganjuran SUKMA dan semangat kesukanan yang terus dipupuk dalam kalangan rakyat.

Menurut beliau, peserta mengambil bahagian dalam larian sejauh empat kilometer mengelilingi kawasan Taman Melawati sebagai simbolik menyemarakkan bahang temasya SUKMA yang bakal berlangsung pada Ogos tahun hadapan.

“Alhamdulillah, MPAJ berpeluang meneruskan penganjuran Jelajah Larian Obor SUKMA sebagai lokasi ketujuh selepas beberapa pihak berkuasa tempatan (PBT) lain sebelum ini.

“Kita memilih Taman Melawati kerana kawasan ini merupakan antara lokasi tumpuan masyarakat setempat dan sambutan yang diterima amat menggalakkan dengan penyertaan seramai 1,500 peserta,” katanya ketika ditemui selepas majlis pelepasan larian tersebut.

Beliau berkata, MPAJ menerima obor SUKMA daripada Majlis Perbandaran Selayang sebelum meneruskan larian simbolik sejauh empat kilometer.

Timbalan Yang Dipertua Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ), Ts. Hasrolnizam Shaari (tengah) melepaskan peserta Jelajah Larian Obor SUKMA dan Para SUKMA 2026 sempena siri jelajah ketujuh di Pusat Konvensyen MPAJ, Taman Melawati, Ampang Jaya, malam tadi.

Majlis pelepasan itu berlangsung di hadapan Pusat Konvensyen MPAJ, Taman Melawati yang turut dipilih sebagai venue acara e-sukan SUKMA Selangor 2026 yang dijadualkan berlangsung dari 19 hingga 24 Ogos depan.

Turut hadir, Ketua Pegawai Eksekutif Sekretariat SUKMA Selangor, Datuk Mohd. Yazid Sairi dan Pengarah Eksekutif Majlis Sukan Negeri (MSN) Selangor, Mohamad Nizam Marjugi.

Jelajah Larian Obor SUKMA memulakan siri jelajahnya di Dataran Kemerdekaan, Shah Alam pada 10 Mei lalu sebelum singgah di Sabak Bernam, Hulu Selangor, Selayang dan Ampang Jaya.

Siri jelajah berkenaan dijadualkan diteruskan ke Kajang, Subang Jaya, Petaling Jaya dan Kuala Langat sebelum melabuhkan tirainya di Sepang pada 9 Ogos ini.

SUKMA Selangor 2026 dijadual berlangsung dari 15 hingga 24 Ogos, manakala Para SUKMA 2026 pula akan diadakan dari 5 hingga 14 September depan.

About The Author