1,500 SERTAI LARIAN OBOR SUKMA DI AMPANG JAYA

0
194
Timbalan Yang Dipertua MPAJ, Hasrolnizam Shaari (tengah) mengetuai Jelajah Larian Obor Sukma dan Para Sukma 2026 sekitar Taman Melawati, Ampang Jaya, malam tadi.

AMPANG JAYA, 5 Julai – Lebih 1,500 peserta memeriahkan Larian Obor Sukan Malaysia (Sukma) Ke-22 dan Para Sukma 2026 yang berlangsung di Taman Melawati, malam tadi.

Program yang merupakan siri ketujuh jelajah berkenaan dianjurkan sempena Sukma Selangor 2026.

Menurut Timbalan Yang Dipertua Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ), Hasrolnizam Shaari, penyertaan memberangsangkan itu mencerminkan sokongan masyarakat terhadap penganjuran Sukma dan semangat kesukanan yang terus dipupuk dalam kalangan masyarakat.

Katanya, para peserta mengambil bahagian dalam larian sejauh empat kilometer mengelilingi kawasan Taman Melawati sebagai simbolik menyemarakkan bahang temasya Sukma yang bakal berlangsung pada Ogos nanti.

“Alhamdulillah, MPAJ berpeluang meneruskan penganjuran Jelajah Larian Obor Sukma sebagai lokasi ketujuh selepas beberapa lokasi anjura pihak berkuasa tempatan (PBT) lain sebelum ini.

“Kita memilih Taman Melawati kerana kawasan ini merupakan antara lokasi tumpuan masyarakat setempat dan sambutan yang diterima amat menggalakkan,” katanya ketika ditemui selepas majlis pelepasan larian tersebut.

Beliau berkata, MPAJ menerima obor Sukma daripada Majlis Perbandaran Selayang sebelum meneruskan larian simbolik sejauh empat kilometer.

Majlis pelepasan itu berlangsung di hadapan Pusat Konvensyen MPAJ, Taman Melawati yang turut dipilih sebagai venue acara e-sukan Sukma 2026 yang dijadualkan berlangsung dari 19 hingga 24 Ogos depan.

Turut hadir, Ketua Pegawai Eksekutif Sekretariat Sukma Selangor, Datuk Mohd. Yazid Sairi dan Pengarah Eksekutif Majlis Sukan Negeri (MSN) Selangor, Mohamad Nizam Marjugi.

Larian Obor Sukma 2026 memulakan siri jelajahnya di Dataran Kemerdekaan, Shah Alam pada 10 Mei lalu sebelum singgah di Sabak Bernam, Hulu Selangor, Selayang dan Ampang Jaya.

Siri jelajah berkenaan bakal diteruskan ke Kajang, Subang Jaya, Petaling Jaya dan Kuala Langat sebelum melabuhkan tirainya di Sepang pada 9 Ogos depan.

Sukma Selangor 2026 dijadual berlangsung pada 15 hingga 24 Ogos, manakala Para Sukma pula akan diadakan pada 5 hingga 14 September depan.

About The Author