PASUKAN CUB PRIX HARGAI SOKONGAN PEMINAT, HADIAHKAN JERSI PERCUMA MENERUSI PEMBELIAN CP HAPPY BAG

0
46
Para peminat tidak melepaskan peluang untuk mendapatkan jersi percuma pasukan kegemaran mereka menerusi pembelian CP Happy Bag.

KUALA LUMPUR, 28 Julai – Beberapa pasukan yang bertanding dalam kejuaraan PETRONAS Cub Prix Malaysia menghargai sokongan para peminat tempatan dengan menawarkan jersi eksklusif secara percuma menerusi promosi jualan ‘CP Happy Bag’.

Inisiatif ini merupakan usaha untuk merapatkan lagi hubungan antara pasukan, pelumba dan komuniti peminat sukan permotoran tempatan yang sentiasa setia membanjiri litar pada setiap pusingan perlumbaan.

Menerusi jualan CP Happy Bag ini, setiap pembeli bukan sahaja menerima pelbagai barangan cenderamata rasmi (merchandise) terpilih dengan harga promosi yang sangat berpatutan, malah 100 pembeli pertama akan mendapatkan jersi edisi khas pasukan yang bersaing dalam Cub Prix secara percuma.

CP Happy Bag yang dijual pada harga RM65 mengandungi baju-T edisi khas Happy Bag, minyak pelincir PETRONAS Sprinta, minuman bertenaga Ranger serta stiker. Selain itu, semua pembeli CP Happy Bag layak menyertai cabutan bertuah di setiap pusingan Cub Prix yang menawarkan sebuah motosikal sama ada Yamaha Y15ZR atau Honda RSX sebagai hadiah utama.

Wakil pengurusan beberapa pasukan berkata, sokongan tidak berbelah bahagi daripada para peminat tegar Cub Prix merupakan nadi utama kepada kelangsungan dan kehangatan saingan kejuaraan sukan permotoran nombor satu negara itu.

“Peminat tempatan sentiasa menjadi tulang belakang kami. Tanpa sorakan dan sokongan mereka dari tepi litar mahupun di media sosial, kehangatan Cub Prix tidak akan sama.

“Inisiatif CP Happy Bag ini adalah sebagai tanda terima kasih dan penghargaan ikhlas daripada pihak pasukan. Kami mahu setiap peminat bangga menyarung jersi rasmi pasukan apabila hadir memberikan sokongan di litar kelak,” kata pengurus pemasaran dan promosi Safe Aim Mutual Sdn Bhd, Yvonne Ng.

Jualan promosi CP Happy Bag ini menampilkan rekaan jersi eksklusif yang berkualiti tinggi dan berprestasi sukan, sekali gus memberi peluang kepada peminat untuk memiliki barangan rasmi Cub Prix kegemaran mereka pada harga yang amat terjangkau.

Peminat yang berminat boleh membeli CP Happy Bag di merchandise booth rasmi pada hari perlumbaan di litar, dan 100 pembeli pertama akan mendapat jersi percuma pasukan-pasukan yang bertanding dalam kejuaraan ini.

Setakat ini, antara pasukan yang telah menghadiahkan jersi percuma kepada para peminat menerusi pembelian CP Happy Bag termasuk TAB Sports SCK Honda Racing pada Pusingan 1 di Tangkak; Honda Castrol Power 1 Yuzy Racing (Pusingan 2) dan Voge Racing Team pada Pusingan 3 di Jempol.

Pada Pusingan 4  (15 & 16 Ogos) di Batu Kawan nanti, para peminat bakal mendapatkan jersi percuma pasukan Motul Yamaha YY Pang Racing Team. Jadilah 100 pembeli pertama CP Happy Bag untuk mendapatkan jersi percuma pasukan kegemaran anda!

 

About The Author