57,000 BENIH UDANG GALAH DILEPASKAN KE SUNGAI LINGGI

0
51

LINGGI, 8 Sept – Lebih 50,000 ekor benih udang galah dilepaskan ke Sungai Linggi hari ini dalam usaha menambah perbiakannya, sekali gus mampu memberi manfaat kepada penduduk setempat pada masa akan datang.

EXCO Kemajuan Luar Bandar dan Pembangunan Wilayah Negeri Sembilan, Dato’ Mohd Faizal Ramli berkata, program yang sudah dijalankan sebanyak empat kali di sungai yang sama itu dilaksanakan dengan kerjasama Jabatan Perikanan Negeri Sembilan.

Menurutnya, pelepasan benih secara berterusan itu penting bagi meningkatkan populasi udang galah selain memastikan sumber perikanan Sungai Linggi terus terpelihara.

“Pengkalan Kempas dan Sungai Linggi sememangnya popular dalam kalangan pemancing udang galah. Kita mahu usaha ini mampu menarik para kaki pancing bukan sahaja dari Negeri Sembilan, malah seluruh negara,” katanya.

Beliau berkata, kehadiran pemancing dari luar turut membantu pertumbuhan ekonomi kepada penduduk tempatan menerusi perniagaan makanan, perkhidmatan bot, penginapan serta aktiviti rekreasi dan pelancongan.

Katanya, potensi itu perlu dimanfaatkan bagi mengangkat Pengkalan Kempas sebagai antara destinasi utama memancing udang galah di Negeri Sembilan sekali gus membuka lebih banyak peluang ekonomi kepada masyarakat setempat.

Mohd Faizal berkata, benih udang galah yang dilepaskan itu berpotensi membesar sehingga mencapai berat antara 300 hingga 500 gram seekor sekiranya habitat semula jadi dan kualiti air Sungai Linggi terus berada pada tahap baik.

Beliau turut mengingatkan masyarakat tempatan agar bersama-sama menjaga kebersihan dan kelestarian Sungai Linggi bagi memastikan habitat di sungai berkenaan tidak terjejas.

Dalam pada itu, Mohd Faizal berkata, pihaknya merancang menganjurkan Pertandingan Memburu Sepit Biru di Sungai Linggi pada hujung tahun ini sebagai usaha menarik lebih ramai kaki pancing datang ke Pengkalan Kempas.

Sementara itu, Pengarah Perikanan Negeri Sembilan, Kassim Tawe berkata, sebanyak 500,000 benih udang galah dilepaskan di 21 batang sungai di seluruh Negeri Sembilan pada tahun lalu menerusi program yang dirancang Jabatan Perikanan negeri.

Menurutnya, Pengkalan Kempas merupakan antara lokasi strategik bagi program berkenaan kerana ia popular dalam kalangan pemancing dari dalam dan luar negeri, selain aktiviti memancing mampu menjana pendapatan penduduk melalui hasil perikanan serta perkhidmatan sampingan termasuk sewaan bot.

Beliau turut mengingatkan masyarakat supaya tidak menggunakan kaedah tangkapan yang boleh merosakkan ekosistem seperti bom, renjatan elektrik dan racun tuba yang boleh mengancam pembiakan udang di sungai berkenaan.

About The Author