IKAN SUDAH DILEPAS, LEBIH RM10,000 MENANTI KAKI PANCING

0
81

AMPANG, 11 Sept. – Ikan sudah dilepaskan, hadiah sudah menanti, kini tinggal persoalan siapa bakal bergelar juara Pertandingan Memancing Raja Joran Selangor 2026, Ahad ini.

Lebih RM10,000 hadiah tunai disediakan kepada para pemenang dengan juara bakal membawa pulang RM4,000, sekali gus dijangka menyemarakkan persaingan dalam kalangan kaki pancing dari dalam dan luar Selangor.

Sebagai persiapan menjelang pertandingan itu, hampir 100 kilogram ikan tempatan terdiri daripada baung dan lampam sungai dilepaskan ke dalam tasik petang tadi sebagai tambahan kepada stok ikan sedia ada.

Peserta bukan sahaja memburu hasil tangkapan terbaik untuk bergelar juara, malah digalakkan menaikkan sebanyak mungkin spesies ikan asing bagi membantu mengawal populasinya dan mengurangkan persaingan dengan ikan tempatan.

Timbalan Yang Dipertua Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ), Hasrolnizam Shaari berkata, langkah itu penting bagi memberi ruang kepada ikan baung dan lampam sungai yang dilepaskan untuk terus hidup, membesar dan membiak dalam habitat lebih seimbang.

Pelepasan ikan berkenaan disempurnakan Hasrolnizam bersama Ahli Majlis MPAJ, Stella Leong sebagai sebahagian persiapan terakhir pertandingan yang turut membawa pendekatan pemeliharaan ekosistem tasik.

“Pada masa sama, kita mahu kawasan tasik ini terus menjadi lokasi riadah yang bersih, selamat dan sesuai dikunjungi bersama keluarga, selain berpotensi menjadi salah satu tarikan pelancongan tempatan di Selangor,” katanya.

Menurut Hasrolnizam, penganjuran Raja Joran Selangor bukan sekadar pertandingan memancing, sebaliknya menjadi platform memperkenalkan kawasan rekreasi di Ampang Jaya serta menyokong Tahun Melawat Malaysia 2026.

Sebanyak 10 peniaga tempatan turut akan membuka gerai sepanjang program berlangsung, sekali gus memberi peluang kepada usahawan memperoleh limpahan ekonomi daripada kehadiran peserta, keluarga dan pengunjung.

Beliau berkata, kemudahan di sekitar tasik turut diperkemaskan termasuk aktiviti untuk kanak-kanak, tandas awam dan tempat letak kenderaan bagi memberi keselesaan kepada orang ramai yang hadir.

Tahun ini merupakan tahun kedua MPAJ bekerjasama dengan Airfour Classic dan Jawatankuasa Penduduk Zon 21 dengan sokongan Tourism Malaysia dalam menjayakan program berkonsepkan pertandingan memancing, rekreasi dan pelancongan itu.

Penganjuran kali ini turut membawa semangat sambutan ulang tahun ke-34 penubuhan MPAJ yang disambut pada 1 Julai lalu, selain menggalakkan masyarakat memanfaatkan kawasan rekreasi awam secara sihat dan bertanggungjawab.

Daripada keseluruhan hadiah tunai melebihi RM10,000, juara bakal menerima RM4,000, naib juara RM1,000 dan tempat ketiga RM500, manakala peserta di kedudukan keempat hingga ke-80 masing-masing menerima RM70 selain berpeluang memenangi pelbagai hadiah cabutan bertuah.

Yuran penyertaan RM40 bagi satu joran dengan dua mata kail, manakala 500 helai T-shirt disediakan untuk pendaftaran awal. Pendaftaran dibuka esok dari pukul 3 petang hingga 7 malam dan pada hari pertandingan bermula pukul 6.30 pagi hingga 10 pagi.

Dalam pada itu, Hasrolnizam mengingatkan peserta dan pengunjung supaya menjaga kebersihan kawasan tasik dengan membersihkan plastik, tali pancing, bekas makanan, lebihan umpan serta sampah sebelum meninggalkan lokasi.

About The Author