AMPANG JAYA, 14 Sept. – Seekor haruan seberat 0.925 gram membawa tuah kepada Mohd. Arif Ahlfas apabila dinobatkan sebagai juara Pertandingan Memancing Raja Tasik Selangor 2026 yang berlangsung di Tasik Pandan Perdana, di sini semalam.
Mohd. Arif, 41, dari Ampang yang bekerja di Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) berjaya menaikkan ikan tersebut pada pukul 9.27 pagi menggunakan umpan cacing sekali gus membawa pulang hadiah RM4,000.
Beliau melahirkan rasa gembira dengan kemenangan itu dan berhasrat berkongsi wang hadiah bersama keluarganya.
Tempat kedua dimenangi Mohd. Fahriszal Mohd. Aris, 46, dari Segambut, Kuala Lumpur selepas menaikkan haruan seberat 0.820 gram pada pukul 10.09 pagi menggunakan umpan hati ayam dan menerima RM1,000.
Abdul Latif, 46, dari Cheras pula menduduki tempat ketiga selepas menaikkan ikan keli seberat 0.785 gram pada pukul 10.39 pagi menggunakan umpan hati ayam dan membawa pulang RM500.
Pertandingan itu mendapat sambutan meriah apabila hampir 500 peserta dari Selangor, Kuala Lumpur, Negeri Sembilan, Melaka dan Perak hadir mencuba nasib masing-masing.
Walaupun ikan patin yang dinantikan tidak berjaya dinaikkan, ia tidak menghalang peserta untuk terus mencuba nasib sehingga pertandingan berakhir.
Hampir 300 ekor ikan pelbagai spesies berjaya dinaikkan sepanjang pertandingan antaranya haruan, keli, baung, raja dan tilapia.
Pertandingan tersebut dianjurkan Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ) dan Airfour Classic dengan kerjasama Jawatankuasa Zon 21 MPAJ serta mendapat sokongan Tourism Malaysia.
Selain menyediakan aktiviti rekreasi kepada masyarakat, pertandingan itu turut menjadi antara usaha mengeluarkan ikan larangan bagi memelihara ekosistem tasik dan memastikan spesies ikan tempatan terus kekal.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Teratai, Yew Jia Haur berkata, penganjuran program itu berjaya menghimpunkan masyarakat daripada pelbagai latar belakang dalam suasana sihat, santai dan muhibah.
Menurutnya, aktiviti seumpama itu juga dapat mengangkat Tasik Pandan Perdana sebagai lokasi rekreasi, sosial dan pelancongan sekali gus menarik lebih ramai pengunjung ke Ampang Jaya.
“Pada masa sama, kehadiran peserta dari beberapa negeri memberi limpahan ekonomi kepada peniaga setempat. Penganjuran ini juga bertepatan dengan Tahun Melawat Malaysia serta sambutan ulang tahun ke-34 MPAJ.
“Sambutan yang menggalakkan menunjukkan pertandingan seperti ini wajar diteruskan dan dijadikan acara tahunan,” katanya.
Tambah beliau, usaha itu selari dengan Program Smart Selangor Mampan (SSM) 2035 di bawah MPAJ yang menyasarkan Ampang Jaya sebagai bandar lebih hijau, rendah karbon, selamat dan berdaya huni menerusi kesejahteraan komuniti, pemeliharaan alam sekitar serta pembangunan bandar seimbang menjelang 2035.












