PJ JORAN 2026 TAWAR HADIAH KESELURUHAN RM21,000

0
28

PETALING JAYA, 15 Sept – Hadiah keseluruhan berjumlah RM21,000 menanti para peserta pertandingan memancing PJ Joran 2026 yang akan berlangsung di Tasik Bandaran Kelana Jaya, Ahad ini.

Pertandingan anjuran Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) yang memasuki edisi kelapan itu akan bermula pada pukul 8.30 pagi hingga 12.30 tengah hari dan penyertaan adalah terbuka kepada peminat aktiviti memancing.

Sebagai persiapan awal, hampir 300 kilogram ikan baung dilepaskan ke Tasik Bandaran Kelana Jaya yang akan menjadi buruan para peserta pada PJ Joran 2026 itu nanti.

Ikan baung seberat antara satu hingga dua kilogram seekor itu dijangka menambah cabaran dan keterujaan peserta, selain melengkapkan kepelbagaian spesies ikan sedia ada di tasik berkenaan.

Majlis pelepasan ikan disempurnakan Timbalan Datuk Bandar Petaling Jaya, Sharinaz Samsudin bersama Pengarah Perikanan Negeri Selangor, Noraisyah Abu Bakar dan Timbalan Pengarah Jabatan Pembangunan Masyarakat MBPJ, Ku Mustafa Ku Muhamad.

Dakam perkembangan lain, Datuk Bandar Petaling Jaya, Dato’ Mohd Yazid Sairi berkata, penganjuran kali ini dijangka lebih meriah apabila tiga tasik akan digunakan untuk pertandingan PJ Joran, sekali gus memberikan lebih banyak pilihan untuk menentukan lokasi atau ‘spot’ terbaik buat para peserta.

Menurut beliau, pembukaan tiga tasik itu membolehkan peserta merancang strategi masing-masing dalam usaha memburu tangkapan terbaik sepanjang empat jam pertandingan berlangsung.

Mohd Yazid berkata, PJ Joran 2026 menawarkan hadiah keseluruhan RM21,000 dengan juara bakal membawa pulang RM7,000, sekali gus dijangka meningkatkan persaingan dalam kalangan kaki pancing.

Yuran penyertaan adalah RM60 bagi satu joran dengan dua mata kail, manakala baju-T PJ Joran 2026 disediakan secara terhad kepada 400 penyertaan terawal.

Pendaftaran awal dibuka pada Sabtu, 19 September bermula pukul 3 petang hingga 7 malam di khemah memancing MBPJ, Tasik Bandaran Kelana Jaya, manakala pendaftaran pada hari pertandingan bermula pukul 6.30 pagi hingga 8.30 pagi.

About The Author