70 PELAJAR SERTAI PROGRAM BERMALAM DI MUZIUM 2026

0
30

REMBAU, 18 September – Seramai 70 pelajar sekolah menengah menyertai Program Perdana Bermalam di Muzium 2026 yang berlangsung di Muzium Rembau  bagi mendekatkan generasi muda dengan sejarah dan warisan negara.

Program selama dua hari satu malam bermula 15 September lalu sempena sambutan Hari Malaysia itu memberi peluang kepada peserta merasai sendiri pengalaman pembelajaran di muzium menerusi pelbagai aktiviti interaktif.

Pengarah Lembaga Muzium Negeri Sembilan (LMNS), Aziz Hj. Mohd. Gorip berkata, program tersebut merupakan pendekatan kreatif untuk menarik minat generasi muda mengenali sejarah, seni, budaya dan khazanah negara.

Katanya, pengalaman bermalam di muzium bukan sekadar memberi pendedahan mengenai fungsi institusi itu, malah menjadi medium untuk menyemai semangat patriotisme, membina jati diri dan memupuk rasa tanggungjawab dalam memelihara warisan.

“Pengisian seperti Kurator Muda, aktiviti arkeologi, KIT STEM MR. DIY dan sesi perkongsian bersama kurator membuktikan muzium turut berperanan sebagai institusi pendidikan tidak formal yang relevan kepada generasi masa kini.

“Pendekatan sebegini membolehkan pelajar memperoleh pengalaman secara langsung dan pada masa sama membuka ruang kepada mereka meneroka bidang sejarah, arkeologi serta permuziuman,” katanya.

Aziz berkata, pihaknya berharap pengalaman mengikuti program berkenaan dapat meninggalkan kenangan bermakna kepada peserta, sekali gus mencetuskan minat mereka untuk mendalami bidang berkaitan pada masa hadapan.

Menurutnya, usaha tersebut juga bertepatan dengan aspirasi ‘Warisan Dipelihara, Jati Diri Terbina, Negara Sejahtera’ dalam memastikan khazanah negara terus dihargai dan diwarisi generasi akan datang.

Bagi edisi tahun ini, LMNS memilih Muzium Rembau sebagai lokasi penganjuran di Negeri Sembilan, manakala program sama berlangsung serentak di 32 muzium lain di seluruh negara. Antara pengisian lain ialah Slot Akademi Kenegaraan Malaysia (AKM), Horizon Ilmu dan senaman pagi.

Majlis penutupan disempurnakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kota, Suhaimi Aini. Turut hadir Kurator Bahagian Antikuiti, Rosrita Mohamad Nordin; Kurator Bahagian Pengurusan Muzium, Noorul Farahashikin Sakim serta pegawai dan kakitangan LMNS.

About The Author