AMPANG JAYA, 25 Okt – Sekolah Kebangsaan (SK) Taman Bukit Teratai dan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Taman Seraya masing-masing muncul juara Pertandingan Tarian MPAJ 2026 sempena Malam Kebudayaan x Fantasia Food Fest 3.0 @ MPAJ 2026 di Laman Rekreasi Tasik Tambahan, di sini, semalam.
Sebanyak 20 pasukan membabitkan sekolah rendah dan menengah menyertai pertandingan anjuran Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ) bertemakan ‘Merentas Zaman, Mengangkat Budaya’ itu yang menawarkan hadiah wang tunai RM1,500 kepada johan setiap kategori.
Bagi kategori sekolah rendah yang mempertandingkan Tarian Irama Malaysia, SK Taman Bukit Teratai mengetepikan saingan sembilan pasukan lain untuk merangkul kejuaraan, manakala SK Putrajaya Presint 16(1) muncul naib johan dan SK Taman Keramat 1 di tempat ketiga.
Kemenangan itu membolehkan SK Taman Bukit Teratai membawa pulang RM1,500, manakala tempat kedua dan ketiga masing-masing menerima RM1,000 dan RM500.
Dalam kategori sekolah menengah yang mempertandingkan Silat Tari, SMK Taman Seraya dinobatkan sebagai juara, diikuti SMK Pandan Indah di tempat kedua dan SMK Bandar Baru Ampang di tempat ketiga dengan masing-masing menerima hadiah RM1,500, RM1,000 dan RM500.
SMK Taman Seraya turut menggondol anugerah Koreografi Terbaik berserta hadiah RM500, menjadikan keseluruhan wang kemenangan sekolah itu berjumlah RM2,000, manakala SK Taman Keramat 1 meraih anugerah Busana Tercantik bernilai RM500.
Majlis perasmian Malam Kebudayaan x Fantasia Food Fest 3.0 @ MPAJ 2026 yang berlangsung pada pukul 8.30 malam itu disempurnakan oleh Exco Perumahan dan Kebudayaan Selangor, Datuk Haji Borhan Aman Shah.
Turut hadir, Timbalan Yang Dipertua MPAJ, Hasrolnizam Shaari; Ahli Majlis MPAJ JKP Zon 13, Engku Faizan Azhar Che Engku Husin dan Pengarah Jabatan Belia, Masyarakat dan Landskap MPAJ, Mohamad Yusuf Sulaiman.
Pertandingan berkenaan menjadi medan mengetengahkan bakat dan kreativiti murid serta pelajar dalam seni persembahan tradisional, selain memupuk minat generasi muda terhadap warisan budaya negara yang perlu terus dipelihara.
Program yang diselaraskan Jabatan Belia, Masyarakat dan Landskap MPAJ itu turut menjadi platform mengeratkan hubungan masyarakat menerusi aktiviti kebudayaan, sekali gus memperkukuh usaha pihak berkuasa tempatan memartabatkan seni warisan agar tidak luput ditelan zaman.












