Home Blog Page 107

Orang ramai diseru patuh PKPB, tingkatkan disiplin sosial cegah COVID-19 — Noor Hisham

0

KUALA LUMPUR, 5 Mei — Kepatuhan orang ramai serta disiplin sosial amat penting bagi mencapai matlamat untuk memutuskan rantaian jangkitan COVID-19 dalam komuniti, kata Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah.

Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah

Beliau turut menyeru orang ramai agar mengamal serta membudayakan kelaziman baharu dalam kehidupan seharian bagi mencegah penularan pandemik maut itu di negara ini.

“Kita perlu mengamalkan dan membudayakan kelaziman baharu dalam kehidupan seharian kita seperti penjarakan sosial, mengelak (mengadakan dan menyertai) perhimpunan, pastikan sentiasa basuh tangan dengan air dan sabun serta sangat digalakkan memakai penutup mulut dan hidung di tempat awam.

“Ini adalah tanggungjawab sosial dan kita perlu menjaga diri sendiri, keluarga serta komuniti. Sila duduk rumah jika tiada urusan penting di luar,” katanya dalam satu pesanan khidmat masyarakat yang disiarkan oleh semua stesen televisyen tempatan.

Noor Hisham turut mengajak seluruh rakyat agar mematuhi pelaksanaan arahan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) iaitu kelonggaran diberikan untuk membuka semula hampir semua sektor ekonomi secara berhati-hati dan terkawal.

Katanya peniaga, pengusaha dan majikan perlu mematuhi prosedur operasi standard (SOP) serta syarat yang ditetapkan oleh pihak berkuasa.

Kerajaan belum tamatkan PKP (Fasa 4 sehingga 12 Mei)

0
Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah

Kerajaan belum tamatkan PKP (Fasa 4 sehingga 12 Mei). Kerajaan cuma bagi sedikit kelonggaran untuk sektor ekonomi tertentu beroperasi semula tetapi secara berhati-hati dan terkawal mengikut SOP ketat KKM.

Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah

Jika mereka ini (sektor ekonomi dan pekerja) gagal patuhi SOP atau tidak yakin boleh patuhi SOP sepenuhnya, mereka akan kembali kepada PKP iaitu duduk di rumah.

Ketua Pengarah Kesihatan
Datuk Dr Noor Hisham Abdullah

PKP: DUA ORANG BOLEH SATU KENDERAAN – ISMAIL SABRI

0

Kerajaan memutuskan untuk memberi sedikit kelonggaran bagi Prosedur Operasi Standard (SOP) dalam Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) fasa keempat dengan membenarkan dua orang bergerak dalam satu kenderaan bermula hari ini.

Menteri Kanan (Kluster Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob

Menteri Kanan (Kluster Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata mereka perlu terdiri daripada ahli keluarga dari rumah yang sama dan pergerakan itu bagi membeli makanan dan barang keperluan harian.

“Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-Langkah di dalam Kawasan Tempatan Jangkitan) (No.4) 2020 telah diwartakan dan berkuat kuasa 29 April 2020 hingga 12 Mei 2020,” katanya dalam sidang media berkaitan PKP di Putrajaya, hari ini.

PKP DILANJUTKAN SEHINGGA 28 APRIL

0

10 APRIL

TEKS PERUTUSAN KHAS

YAB TAN SRI DATO’ HAJI MUHYIDDIN BIN HAJI MOHD YASSIN

PERDANA MENTERI MALAYSIA 

Bismillahirrahmanirrahim.

Assalamuálaikum wa rahmatullahi wa barakatuh dan salam sejahtera.

Saudara-saudari rakyat Malaysia yang saya kasihi.

Apa khabar semua? Saya harap saudara-saudari sihat sejahtera bersama keluarga di rumah. Bagi yang sedang bekerja, selamat bekerja dan jaga kesihatan. Sentiasa amalkan penjarakan sosial, jaga kebersihan diri dan apabila balik ke rumah jangan lupa mandi dulu. Kemudian barulah buat apa-apa aktiviti bersama keluarga.

Di awal ucapan saya ini, saya nak menzahirkan rasa terima kasih dan penghargaan saya kepada anda semua sebagai rakyat Malaysia. Anda adalah manusia yang hebat.

Doktor dan jururawat yang berada di barisan hadapan, anda mengambil risiko setiap kali melangkah masuk ke wad. Tetapi anda terus melangkah dengan gagah untuk menyelamatkan nyawa orang lain. Walaupun letih, anda tidak mengeluh tetapi terus berkhidmat dengan cekal. Terima kasih yang tak terhingga saya ucapkan.

Terima kasih juga saya ucapkan kepada doktor dan jururawat di hospital swasta. Ketika hospital kerajaan sibuk merawat pesakit COVID 19, hospital swasta menerima pesakit-pesakit bukan COVID 19 untuk dirawat.

Terima kasih juga kepada anggota polis dan tentera yang menjaga sekatan jalan raya. Anda berpanas, berhujan, tetapi terus menjalankan tugas. Syabas saya ucapkan.

Juga kepada anggota Imigresen, Angkatan Pertahanan Awam, Bomba, RELA, pihak berkuasa tempatan dan lain-lain agensi yang turut membantu. Saya ucapkan terima kasih.

Terima kasih juga kepada insan-insan yang bermurah hati membungkus makanan untuk dihantar kepada para petugas di barisan hadapan. Mereka buat secara percuma tanpa mengharapkan apa-apa balasan. Anda adalah insan yang hebat.

Begitu juga kepada anda yang bekerja menghantar makanan. Sama ada Grab Food, Food Panda atau lain-lain. Anda mengambil risiko. Orang lain duduk di rumah, anda keluar rumah untuk pastikan orang lain boleh makan. Anda melakukan satu pekerjaan yang mulia. Pesan saya, jaga kesihatan, jaga keselamatan, jangan bawa motor laju-laju. Anda juga insan yang hebat.

Pendek kata, kita ibarat sebuah keluarga besar. Kita saling membantu ketika zaman susah. Kita jaga keluarga kita. Kita jaga jiran kita. Kita jaga masyarakat kita. Baik kita di kampung, di kawasan perumahan, di kondominium, di rumah flat. Kita jaga kita. Inilah nilai sebenar persaudaraan rakyat Malaysia tanpa mengira bangsa.

Saudari-saudari yang saya kasihi,

Berdasarkan situasi terkini, pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan telah dapat membantu para petugas kesihatan kita mengawal penularan COVID-19 ke satu tahap yang agak stabil. Menurut unjuran yang dibuat oleh Kementerian Kesihatan Malaysia, PKP yang dilaksanakan dalam tempoh hampir sebulan yang lalu telah sedikit-sebanyak mengurangkan kebolehjangkitan dan penularan COVID-19.

Dengan usaha-usaha yang telah dibuat, kes-kes positif COVID-19 adalah terkawal pada kadar 7%, iaitu di bawah benchmark 10% yang ditetapkan oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia atau WHO. Kadar kematian akibat wabak ini juga adalah rendah, iaitu 1.6% berbanding 5.8% kadar kematian di peringkat dunia.

Setakat ini seramai 1,830 orang pesakit telah keluar dari hospital. Ini bermakna 43% pesakit COVID-19 telah pulih. Hari ini sahaja jumlah pesakit yang pulih ialah seramai 220 orang, melebihi jumlah kes positif baharu iaitu sebanyak 118 kes. Jumlah kes positif baharu juga telah menunjukkan penurunan sejak beberapa hari yang lalu. Jika trend penurunan ini berterusan untuk tempoh dua minggu akan datang, insya-Allah kita akan dapat mengawal wabak COVID-19 ini daripada menular.

Namun begitu, kita tidak boleh mengambil mudah situasi yang sedang berlaku. Penularan wabak ini masih di peringkat pertengahan dan memerlukan tindakan pencegahan serta kawalan yang berterusan. Malahan, usaha-usaha mencegah wabak ini mesti diperhebatkan lagi bagi memutuskan rantaian penularan jangkitan. Ini termasuk memberi tumpuan khusus kepada kumpulan-kumpulan sasar yang dikenal pasti menjadi punca penularan wabak ini.

Sehubungan itu, berdasarkan nasihat daripada Kementerian Kesihatan Malaysia dan pakar-pakar perubatan, kerajaan memutuskan untuk melanjutkan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan untuk tempoh dua minggu lagi, iaitu dari 15 April hingga 28 April 2020. Pelanjutan tempoh ini dibuat untuk memberi ruang kepada petugas-petugas kesihatan memerangi penularan COVID- 19, selain mengelakkan penularan semula wabak ini dalam masyarakat.

Tindakan ini adalah selaras dengan pandangan WHO yang menyarankan negara- negara supaya tidak menamatkan perintah kawalan pergerakan terlalu awal. Sepertimana yang berlaku di beberapa buah negara, penularan wabak ini meningkat semula apabila perintah kawalan pergerakan ditamatkan.

Apa yang saya hendak sebutkan di sini ialah kita mesti bersedia untuk berhadapan dengan situasi ini bagi satu tempoh masa yang agak lebih lama. Ianya mungkin berlarutan untuk tempoh beberapa bulan, sebelum kita dapat betul-betul pastikan penularan wabak ini diatasi seratus peratus.

Itupun kehidupan kita mungkin tidak boleh kembali seperti sediakala. Selagi virus ini masih ada, amalan penjarakan sosial mesti diteruskan. Kita mesti sentiasa menjaga kebersihan diri. Elakkan sebarang perhimpunan. Hindari tempat yang sesak.

Bulan Ramadan akan menjelang tiba tidak lama lagi. Kita tidak boleh ke bazar Ramadan untuk membeli juadah berbuka puasa, tidak boleh ke masjid untuk berterawih. Jadi berterawihlah di rumah bersama keluarga. Mungkin juga kita tidak boleh balik ke kampung seperti biasa.

Walaupun sukar untuk kita bayangkan perkara ini, tetapi inilah kenyataan yang akan kita hadapi.

Saya juga baca komen-komen ibu-bapa di Facebook. Ramai yang mahu penutupan sekolah dilanjutkan lagi. Ibu-bapa rata-rata bimbang tentang keselamatan anak- anak. Saya pun ada cucu yang bersekolah. Seperti saudara-saudari saya pun bimbang juga. Semua orang sayangkan anak. Cucu lebih lagilah sayangnya.

Jadi, sekolah mungkin tidak akan dibuka lebih awal. Kita mungkin akan tangguhkan dahulu sesi persekolahan sehingga kita benar-benar yakin keadaan telah kembali pulih.

Sementara itu, anak-anak kita perlu belajar di rumah. Saya telah minta Kementerian Pendidikan supaya melaksanakan inisiatif pembelajaran dari rumah atau home based learning sepanjang tempoh kawalan pergerakan ini, dan mungkin untuk tempoh yang seterusnya sehinggalah sekolah dibuka.

Walaupun keadaan di negara kita insyaAllah akan kembali pulih dengan langkah- langkah yang sedang diambil, kita mesti ingat bahawa bukan negara kita sahaja yang terkesan dengan wabak ini. Seluruh dunia terkesan termasuklah negara- negara jiran kita.

Saya nak beritahu, di sepanjang sempadan negara kita ini banyak terdapat lorong- lorong tikus. Pendatang asing tanpa izin biasanya bolos menerusi lorong-lorong ini. Jika kita tidak tingkatkan kawalan, mereka mungkin bolos dan membawa virus masuk ke negara kita. Na’uzubillah.

Jadi, saya telah arahkan Ketua Polis Negara, Panglima Angkatan Tentera, Ketua Pengarah Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia, Imigresen, RELA dan lain-lain agensi yang berkaitan supaya perketatkan kawalan di sepanjang sempadan negara.

Ringkasnya, kehidupan kita untuk bulan-bulan atau tahun yang mendatang ini tidak akan kembali seperti biasa. Kita akan menjalani kehidupan dengan “the new normal” atau kebiasaan baharu. Apa yang biasa kita buat dahulu, tak boleh kita buat lagi.

Contoh mudahnya, berjabat tangan. Kalau dulu berjabat tangan bila berjumpa adalah satu perkara yang biasa dibuat. Kalau tak dibuat ianya dianggap janggal, atau tak beradab. Tetapi sekarang ini lain. Kita tak boleh berjabat tangan bila berjumpa untuk mengelakkan jangkitan virus. Mungkin kita tunduk sahaja sebagai tanda hormat. Ini adalah “the new normal”, atau kebiasaan baharu.

Begitu juga perkara yang kita tak biasa buat sebelum ini seperti basuh tangan. Sekarang dan untuk masa yang akan datang kita mesti biasakan membasuh tangan dengan lebih kerap. Gunakan sabun, hand sanitizer dan sebagainya. Juga memakai face mask.

Banyak lagi contoh-contoh lain yang tak perlu saya sebut kerana saya fikir saudara- saudari faham maksud kebiasaan baharu yang mesti kita amalkan dalam menjalani kehidupan seharian untuk tempoh yang mendatang.

Saudara-saudari yang saya kasihi sekalian,

Saya faham bahawa ekonomi negara kita terjejas kerana sekatan-sekatan yang dibuat terhadap aktiviti perusahaan, perkilangan dan perniagaan sepanjang tempoh PKP berkuatkuasa. Untuk itu, kerajaan bersetuju supaya beberapa sektor ekonomi yang terpilih akan dibuka semula secara berperingkat dengan garis panduan penjagaan kesihatan dan kawalan pergerakan yang ketat.

Sebuah jawatankuasa khas Kabinet yang dipengerusikan bersama oleh Menteri Kanan Perdagangan Antarabangsa dan Industri dan Menteri Kanan Pertahanan diwujudkan untuk meneliti senarai sektor ekonomi yang terpilih untuk dibuka secara berperingkat.

Saya ingin tegaskan bahawa pembukaan beberapa sektor yang terhad ini bukan bermaksud kita melonggarkan perintah kawalan pergerakan. Perintah ini masih berkuatkuasa dan semua arahan yang dikeluarkan oleh pihak berkuasa mestilah dipatuhi. Jika terdapat pengusaha, kilang atau syarikat yang melanggar peraturan, kerajaan akan menarik balik kebenaran yang diberikan.

Senarai sektor ini akan diumumkan oleh kerajaan dalam masa terdekat. Saudara-saudari yang saya kasihi sekalian,

Sebagai Perdana Menteri, saya bertanggungjawab menjaga keselamatan nyawa saudara-saudari. Setiap nyawa adalah berharga. Baik bayi, orang muda, orang dewasa atau warga emas, semuanya bernilai. Kehilangan satu nyawa kerana virus ini bukan bererti kehilangan kepada suami, isteri, anak-anak atau keluarga terdekat sahaja, tetapi juga satu kehilangan besar buat negara.

Kerana itu, marilah kita bersama-sama menjaga kesihatan diri kita, keluarga kita dan orang di sekeliling kita dengan mematuhi perintah kawalan pergerakan.

Let me remind you that the war on COVID-19 is not yet over. The fight is still on. We are doing well so far, so just uplift your spirits and continue to fight. If we persevere, insya-Allah we will win.

Saya bertuah kerana anda semua adalah insan yang berdisiplin dan patuh kepada undang-undang. Tahap pematuhan PKP di negara kita adalah tinggi dan ini menunjukkan saudara-saudari semua faham akan kepentingan menjaga kesihatan dan keselamatan diri.

Teruskanlah sikap yang terpuji ini. Teruslah berusaha, berdoa dan bertawakkal. Insya-Allah kita akan berjaya mengharungi ujian ini bersama-sama. Kepada Allah jualah kita berserah.

Wabillahi al-taufiq wal hidayah wassalamu’alaikum wa rahmatullahi wa barakatuh.

ALIFF UTAMAKAN KECERGASAN FIZIKAL

0

Dairi pelumba

KUALA LUMPUR, 9 April – Mungkin tidak keterlaluan jika dikatakan Aliff Danial Md Asri antara permata baharu dalam sukan permotoran negara.

Mula berjinak dengan sukan permotoran seawal usia 9 tahun lagi, pelumba asal Tangkak, Johor ini sudah memperlihatkan kehebatannya apabila melakar detik manis dalam kariernya musim lalu.

Dia bergelar juara keseluruhan kelas Wira pada Kejuaraan Cub Prix Malaysia PTRONAS 2019, dan ia satu pencapaian di luar jangkaannya.

Ketika itu Aliff menggalas cabaran pasukan Petronas Sprinta Yamaha-31 Racing.

“Ia detik paling bermakna dalam karier saya.Sesungguhnya, saya mengucapkan terima kasih kepada seluruh anggota pasukan yang telah bekerja keras untuk menyediakan jentera terbaik buat saya sepanjang musim lalu.

“Kejayaan itu juga telah memberi keyakinan kepada saya untuk terus memantapkan lagi prestasi pada musim 2020 nanti,” jelas Aliff.

Tahun ini, Aliff bakal beraksi dengan pasukan baharu iaitu PETRONAS Sprinta Yamaha Maju Motor dan dia akan beraksi dalam kategori baharu iaitu CP125.

Walaupun dia belum terbiasa dengan kategori baharu itu, tetapi dia bertekad untuk melakukan yang terbaik.

“Saya masih dalam proses menyesuaikan diri dan setakat ini semuanya berjalan dengan lancar,” jelas Aliff.

Ditanya berkenaan aktiviti hariannya sepanjang arahan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) ketika ini, Aliff menjelaskan bahawa masanya dipenuhi dengan pelbagai aktiviti termasuk melakukan latihan sendiri di rumah.

“Saya tak boleh duduk diam. Rutin harian sudah pastinya melakukan latihan fizikal. Setiap hari saya buat fitness di rumah sahaja.

“Saya perlu memastikan tahap kecergasan saya sentiasa berada dalam keadaan terbaik termasuk kekuatan mental. Walaupun saya tak pasti lagi bila Cub Prix akan bermula, tetapi saya perlu melakukan segala persediaan agar sentiasa kekal cergas,” jelas Aliff ketika dihubungi semalam.

Dia menghabiskan masa dua jam menjalani latihan fizikal setiap hari iaitu sejam pada sebelah pagi dan sejam lagi pada sebelah petang.

Dia juga mengakui saingan musim baharu nanti pasti sukar kerana semua pelumba masih belum dapat menyesuaikan diri dengan kelas baharu, CP125.

Selain itu, dia turut meluangkan masa untuk menonton perlumbaan-perlumbaan yang dilaluinya sebelum ini menerusi channel You Tube.

“Selain menonton aksi sendiri, saya juga menonton aksi pelumba-pelumba hebat dunia dan daripada situ mungkin dapat menimba ilmu dalam usaha untuk memantapkan lagi gaya tunggangan,” jelas Aliff yang sudah tidak sabar untuk kembali beraksi.

Berikut dairi harian Aliff sepanjang PKP yang mula berkuat kuasa 18 Mac lalu:

Pagi (selepas bangun):

  • Berserapan
  • Latihan fizikal selama satu jam
  • Buat aktiviti angkat berat, skipping dan push-up

 Tengah hari:

  • Berehat seketika
  • Menonton video perlumbaan-perlumbaan musim lalu menerusi You Tube

Petang:

  • Meneruskan latihan sendiri selama satu jam
  • Angkat berat, push-up dan skipping

Malam:

  • Berehat menonton televisyen
  • Pukul 10 malam tidur

 

FAM MINTA SEMUA PIHAK HORMATI GARIS PANDUAN FIFA

0

 

KENYATAAN MEDIA FAM

KUALA LUMPUR, 9 April – Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) hari ini meminta semua pihak berkepentingan agar akur dengan garis panduan yang dikeluarkan oleh FIFA Selasa lalu, sebagai usaha menangani impak ekonomi gara-gara COVID-19.

Pekeliling FIFA bertajuk Isu Terhadap Peraturan Bola Sepak FIFA COVID-19 mengandungi empat perkara utama yang merangkumi:

 1. Perjanjian yang telah berakhir dan Perjanjian Baharu

2. Perjanjian yang tidak dapat dilaksanakan seperti yang dijangkakan

3. Tempoh Pendaftaran (Jendela Perpindahan)

4. Perkara Peraturan-Peraturan Lain.

Di bawah perkara 2 iaitu Perjanjian Yang Tidak Dapat Dilaksanakan seperti Yang Dijangkakan, FIFA mengeluarkan prinsip bimbingan yang menggalakkan kelab dan pemain untuk membuka jalan kepada rundingan bagi mencari kata sepakat sepanjang krisis ini, termasuk cadangan penstrukturan penggajian sementara.

Berpandukan kepada garis panduan berkenaan, FAM mencadangkan langkah-langkah berikut sebagai proses mencari solusi terbaik demi kepentingan semua pihak sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) iaitu:

LANGKAH 1

Sekiranya pasukan memerlukan kajian semula ke atas status penggajian dalam kontrak, pasukan hendaklah berbincang secara terus dengan pemain dan kakitangan teknikal bagi mencapai persetujuan melalui satu Perjanjian Bersama yang sesuai. Perjanjian Bersama ini perlu dimuktamadkan selewat-lewatnya pada 22 April 2020.

LANGKAH 2

Malaysian Football League (MFL) dan Persatuan Pemain-Pemain Profesional Malaysia (PFAM) adalah digalakkan untuk terlibat sama dan boleh menyediakan sebarang bentuk pakej dan pelan Penstrukturan Penggajian Sementara jika mendapat persetujuan kesemua pasukan dan pemain.

Dalam hal ini, FAM ingin mengesyorkan agar MFL dapat mengambil inisiatif mengadakan rundingan segera dengan PFAM bagi mempelopori cadangan ini. Sebagai usaha mengelakkan situasi ini berlarutan, FAM amat berharap untuk sebarang persetujuan bersama mampu dicapai selewat-lewatnya pada 22 April 2020.

LANGKAH 3

Sekiranya tiada penyelesaian yang dicapai pada tempoh yang ditetapkan, perkara ini boleh dirujuk kepada FAM untuk tindakan susulan. Di peringkat ini, meskipun perkara berkenaan diperuntukkan dalam garis panduan FIFA, pasukan dan juga MFL diingatkan untuk TIDAK mengambil keputusan di sebelah pihak (unilateral decisions) tanpa merujuk terlebih dahulu kepada FAM.  Di samping itu, pasukan dan MFL juga adalah diminta memenuhi segala syarat yang bakal ditetapkan oleh FAM sebelum sesuatu kes diterima untuk tujuan penyelesaian.

Setiausaha Agung FAM, Stuart Michael Ramalingam, percaya garis panduan FIFA itu menjadi penunjuk jalan untuk melerai kekusutan sedia ada.

“Untuk mana-mana pasukan yang mahu mengadakan perbincangan, mereka boleh berbuat demikian tanpa ragu-ragu memandangkan ia sudah termaktub dalam garis panduan FIFA.

“Kami menggesa semua pasukan agar memahami langkah-langkah yang digariskan oleh FIFA bagi memastikan keputusan yang diambil secara bersama dengan pemain dan pegawai dilakukan secara profesional dan telus.”

Langkah-langkah yang disarankan ini membabitkan pemain dan pegawai 14 ahli gabungan FAM dan 24 rakan kongsi MFL.

Stuart turut mengingatkan semua pihak bahawa garis panduan FIFA adalah selari dengan saranan FAM dan MFL sebelum ini agar pasukan dan pemain mengadakan perbincangan terbuka untuk mengkaji semua aspek perjanjian, terutama terma-terma kontrak dan isu pembayaran gaji sepanjang tempoh PKP.

Dalam kenyataan yang dikeluarkan secara bersama oleh FAM dan MFL pada 26 Mac lalu, kedua-dua organisasi menggalakkan agar semua pasukan dan kelab mengadakan perbincangan terbuka dengan pemain dan pegawai dalam menangani impak COVID-19 susulan penangguhan semua aktiviti bola sepak tempatan berikutan PKP yang mula dilaksanakan pada 18 Mac lalu.

Bagaimanapun sehari kemudian, PFAM mengeluarkan kenyataan yang berkeras menyatakan kontrak perlu dihormati dan dipatuhi terutama isu pembayaran gaji.

“Keengganan PFAM untuk berbincang mengenai perkara ini tidak memberi manfaat kepada mana-mana pihak dan sebaliknya membuang masa yang berharga untuk mencari penyelesaian terbaik.”

“Apabila FAM meminta semua pihak berkerjasama dan sekadar berbincang dengan terbuka, ada yang menolak. Sekarang dengan arahan FIFA, kami harap tiada sesiapa yang cuba berlagak wira kerana detik ini menuntut semua pihak bekerjasama dan memikirkan gambaran yang lebih besar dari segi jangka masa panjang.”

Stuart menambah situasi semasa juga menuntut tindakan luar kebiasaan, mengambil kira kemungkinan PKP Fasa 2 dilanjutkan melepasi 14 April ini.

“Dengan keadaan yang tidak menentu ini, keputusan yang FAM ambil adalah bersandarkan kepada kelangsungan liga, kelestarian pasukan atau majikan dan kebajikan pemain serta pegawai dan kepentingan pemegang taruh yang lain.

”FAM sudah tentu mahu mengelak keadaan di mana pemain dan jurulatih terus dibayar gaji mengikut terma-terma sedia ada tetapi majikan mereka berdepan kekangan kewangan yang memungkinkan mereka lingkup dalam jangka masa pendek dan sekali gus mengakibatkan kehilangan pekerjaan bagi banyak pihak.”

Stuart menegaskan keputusan FAM sebagai badan induk tidak harus disalah tafsirkan kerana kebajikan pemain dan pegawai tetap menjadi keutamaan dalam apa keadaan sekalipun.

“FAM mencadangkan keputusan yang sukar ini dibuat secara kolektif dalam keadaan realiti industri semasa tanpa mengetepikan kepentingan pemain dan pegawai selaku watak utama.

“Kami harap semua pihak, termasuk peminat dan media, melihat langkah ini sebagai satu cara melindungi kepentingan semua pihak. Harus diingat, FAM bukan sekadar melindungi pemain dan pegawai, bahkan bertanggungjawab  memayungi kelab, liga dan pemegang kepentingan yang lain. Hanya dengan industri yang mapan dan berterusan, kita dapat bertahan dalam situasi yang dianggap genting ini.

“Dalam keadaan yang sukar sebegini, niat FAM adalah untuk mengimbangi tuntutan di antara melindungi kepentingan semua pihak sambil melihat isu ini dari sudut jangka masa panjang.”

 

 

 

AFIF: SAYA RINDU NAK BERLUMBA

0

5 SOALAN BERSAMA PELUMBA CUB PRIX

 “SEJUJURNYA, saya memang sudah rindu nak race di Cub Prix dan tidak sabar untuk kembali mengharungi perlumbaan”.

Itu pangakuan pelumba pasukan PETRONAS Sprinta Yamaha-CKJ Racing, Ahmad Afif Amran ketika dihubungi  di rumahnya di Subang semalam.

Afif kini terus sabar menempuhi arahan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) oleh kerajaan ketika negara sedang dilanda penularan wabak Covid19 pada masa ini.

Dalam kesabaran itu, kerinduannya untuk kembali berada di litar lumba tidak boleh disembunyikan lagi, lebih-lebih lagi selepas dia muncul juara keseluruhan kelas CP150 pada musim lalu.

Pelumba asal Kemaman, Terengganu ini turut menanam tekad yang sama pada Kejuaraan Cub Prix Malaysia PETRONAS musim ini, namun hajat tersebut terpaksa ditangguhkan terlebih dulu gara-gara Covid19.

Walaupun terpaksa ‘berkurung’ di rumah sepanjang PKP ini, tetapi pelumba pasukan CKJ Racing itu tetap melakukan latihan sendiri bagi memastikan tahap kecergasannya kekal mantap.

Dia turut menjalani latihan sendiri selama satu jam setiap hari di halaman rumahnya sambil mengutamakan aspek-aspek keselamatan yang telah ditetapkan oleh pihak Kementerian Kesihatan (KKM).

Rutin hariannya cukup menarik kerana masanya dipenuhi dengan aktiviti-aktiviti yang berkaitan dengan kariernya.

Ikuti perbualan ringkas dengan Afif semalam berkenaan aktiviti hariannya sepanjang PKP ketika ini.

Soalan: Apa yang Afif selalu lakukan selepas bangun tidur?

AFIF: Pertama sekali selepas bangun, saya menunaikan solat subuh terlebih dahulu. Selepas itu berehat seketika sebelum sarapan pagi. Saya juga cuci baju sendiri pada sebelah pagi dan kemas-kemas rumah.

Ada melakukan sebarang latihan sepanjang PKP dan di mana?

Latihan itu sudah pasti dan ia adalah antara rutin harian saya. Saya lebih menumpukan terhadap aspek kecergasan. Setiap hari saya menghabiskan masa satu jam untuk melakukan latihan fitness dan ia dilakukan di tempat letak kereta di hadapan rumah saya.

Ada tak rebiu balik perlumbaan-perlumbaan yang Afif lalui sebelum ini dan berapa lama masa digunakan untuk menonton?

Selepas melakukan latihan ringan saya akan berehat seketika dan selepas itu meluangkan masa sekitar satu jam untuk menonton semula perlumbaan-perlumbaan yang saya tempuhi sepanjang tahun lalu. Saya menonton menerusi You Tube. Ini penting kerana daripada situ kita dapat menilai kelemahan mahu pun kelebihan ketika mengharugi perlumbaan. Daripada situ juga kita dapat belajar untuk memperkemaskan lagi prestasi.

Selain itu, apa lagi aktiviti yang dilakukan sepanjang PKP ini?

Aktiviti lain yang saya lakukan adalah mencuci motosikal saya. Malah, hampir setiap hari saya cuci motosikal dan pantang tengok ia berdebu sikit. Kadang-kadang saya baiki motosikal dan buat apa yang patut agar ia kekal berada dalam keadaan terbaik.

Adakah Afif sudah tidak sabar untuk kembali beraksi?

Sejujurnya, saya memang sudah tak sabar malah amat rindu untuk kembali beraksi di Cub Prix. Begitupun, kita perlu bersabar dan berharap Cub Prix dapat dilangsungkan seperti biasa selepas berakhirnya PKP nanti.

Apa nasihat kepada peminat Afif?

Saya berharap agar semua peminat Cub Prix di luar sana tabah dan patuh dengan arahan kerajaan dalam usaha kita membasmi wabak Covid19. Saya nasihatkan agar semua pihak mematuhi arahan kerajaan untuk ‘Stay At Home’ dan ‘Stay Healthy’.

AZHAN SHAFRIMAN NEW SIC CEO

0

 

SEPANG, 8 April  – Sepang International Circuit (SIC) welcomed Azhan Shafriman Hanif as its new Chief Executive Officer (CEO) today following the completion of Datuk Razlan Razali’s tenure as CEO on April 7.

No stranger to the motorsports sector, Shafriman is moving to SIC from his previous role as Head of
Strategic Alliance in PETRONAS Brand Department.

A mechanical engineer by training – majoring in manufacturing and material science, he has been part of the PETRONAS team for more than 13 years.

Learning about the motorsports sector from PETRONAS leaders and industry captains, Shafriman spearheaded the sponsorship unit at PETRONAS over the past decade, focusing on motorsports platforms.

This enabled him to a mass wealth of experience in activating motorsports sponsorships and strategic partnerships with OEMs from a corporate perspective, monitoring and evaluating talent development
performance in both 2-wheels and 4-wheels motorsports and creating branding
exposure through motorsports sponsorship platforms in the F1, MotoGP and Cub
Prix.

In recent years, PETRONAS has gained global prominence as the title sponsor and technical partner for the Mercedes AMG PETRONAS F1 Team, and is also now the official fuel supplier for Moto2 and Moto3 in the MotoGP World Championship – a significant recognition of PETRONAS’ Fluid Technology Solutions for the demanding global motorsports arena.

Commenting on his appointment, Shafriman said: “It is a great honour to be entrusted with this job. Datuk Razlan has left big shoes to fill, but I believe I can offer a unique perspective in this role, following my years at PETRONAS.

“With the world facing an unprecedented challenge due to the COVID-19 pandemic, having a strong
footing in the commercial side of motorsports, will be a good launching point for my tenure at SIC, while I gain a firmer grasp of the operations side of things.

“Nevertheless, in my previous role in PETRONAS, I have had the privilege to provide feedback to SIC on its facilities and amenities – thus offering another starting point for me at SIC while I familiarise myself with a hands-on role as CEO.”

Shafriman said, he aims to work with the team to tackle the business shortfall in the short term, strategising the way forward amidst the current economic uncertainties.

In the mid-term, he targets to focus on operational excellence, governance and process control, with sustainability efforts and new partnerships being long-term focus areas.

“During this period, it is crucial to look at harvesting the low hanging fruits by prioritising the right focus areas and executing the best strategy we have.

“We need to set clear joint objectives, and seek the best outcome to achieve it.”

Meanwhile, SIC Chairman, Tan Sri Azman Yahya, expressed confidence that Shafriman would lead the team to success in taking the circuit to greater heights, building upon the achievements of the past years.

“Shafriman is someone capable and passionate, and well-versed in the ins and outs of the motorsports world. We will use the foundation laid by Datuk Razlan Razali during his tenure as CEO to further develop the circuit from strength to strength.

“Across more than 11 years, Razlan made a tremendous impact on the circuit with his deep and unrelenting enthusiasm for motorsports and his unflagging passionand dedication to always doing more.  We are grateful for his contributions.”

As CEO, Shafriman will oversee the completion of the SIC Master Plan activated in 2014, which seeks to turn the circuit into Asia’s cutting edge sports and edutainment hub – a multifaceted facility that draws repeat visits throughout the year.

About 60% of the initiatives for circuit development detailed in the Master Plan have been executed, including the SIC Motorsport Business Park, enhancement and expansion of facilities such as the construction of a new South Paddock and Paddock Chalets, installation of circuit lights allowing for night racing for the first time.

Upcoming developments in the near future include a Driving Experience Centre and off-road
circuit, while longer term plans include a drag circuit, hotel and theme park within SIC’s 300 hectare grounds.

The passing of the baton closes a chapter for the circuit as well as for Datuk Razlan, who has been at the helm for 11 and half years since his appointment on 8 October 2008.

Moving forward, Razlan will be focusing full time on his role and responsibilities as the Team Principal of PETRONAS Sepang Racing Team in the Motorcycle Grand Prix Championship (MotoGP).

By taking on the role full time, Dato’ Razlan will be able to focus on strengthening activation and engagement with sponsors, attracting new sponsors, improving the team’s function as a platform for Malaysians to compete in the MotoGP, and also strengthening the team’s corporate governance.

“It has been an amazing journey leading the Sepang International Circuit team. What we have achieved in the past decade is truly a team effort – it would not have been possible without the full support and commitment of not just the team at SIC, but also from our partners and stakeholders.

“Although I will still be around as the Team Principal of PETRONAS Sepang Racing Team, I am definitely going to miss working alongside the SIC team. I wish them and the new CEO great success,” said Razlan.

10 PUSINGAN KEJUARAAN CUB PRIX MALAYSIA PETRONAS AKAN DITERUSKAN SELEPAS AIDILFITRI

0

KUALA LUMPUR – Kejuaraan Cub Prix Malaysia PETRONAS 2020 akan diteruskan semula pada bulan Jun depan dengan mengekalkan 10 pusingan seperti yang telah dijadualkan sebelum ini.

Perubahan ini adalah bagi mematuhi arahan pihak kerajaan agar menangguhkan semua acara sukan sehingga 30 April ekoran penularan wabak Covid19.

Selepas penangguhan aksi Pusingan 1 yang dijadualkan berlangsung di Litar Lumba Tangkak, Johor minggu lalu, promoter kejuaraan, Safe Aim Mutual Sdn Bhd telah bekerjasama rapat dengan semua pihak yang terlibat bagi mengemas kini calendar perlumbaan baharu untuk musim ini.

Kalendar baharu bagi saingan musim 2020 ini akan diumumkan dalam masa terdekat.

Dalam masa yang sama, pihak Cub Prix Malaysia menggesa semua pihak agar mematuhi Perintah Kawalan Pergerakan oleh kerajaan serta langkah-langkah pencegahan yang dikeluarkan oleh Kementerian Kesihatan (KKM).

Marilah kita memberi kerjasama untuk mengatasi segala cabaran sepanjang wabak Covid19 ini agar acara sukan di Malaysia dapat dijalankan seperti biasa.

Pihak Cub Prix Malaysia juga ingin merakamkan ucapan terima kasih kepada semua penaja, pasukan, pelumba serta semua yang terlibat atas kesabaran dan juga sokongan yang tidak berbelah bahagi selama ini.

AKSI PUSINGAN 1 CUB PRIX MALAYSIA 2020 DI LITAR LUMBA TANGKAK DITANGGUHKAN

0

KUALA LUMPUR, 12 Mac – Aksi Pusingan 1 Kejuaraan Cub Prix Malaysia PETRONAS 2020 yang dijadualkan berlangsung di Litar Lumba Tangkak hujung minggu 14 dan 15 Mac) ini telah ditangguhkan.

Pembatalan tersebut adalah berdasarkan garis panduan yang dikeluarkan oleh Kementerian Kesihatan (KKM) berkenaan situasi terkini Covid19 supaya mengelak diri daripada terlibat dalam sebarang aktiviti perhimpuna buat masa ini.

Pihak Cub Prix Malaysia akan terus berkerjasama dengan kerajaan tempatan bagi memantau situasi semasa di setiap venue kejuaraan tersebut.

Para pemegang taruh kejuaraan ini akan berusaha sedaya upaya bagi memastikan kejuaraan ini berjalan seperti yang telah dirancangkan.

Pihak penganjur amat prihatin berkenaan aspek kesihatan para penonton, pelumba, pasukan dan juga pegawai-pegawai yang terlibat menjayakan kejuaraan ini.

 

Latest Article

MISS BORNEO ANTARABANGSA 2026 BAWA INSPIRASI MARTABAT BUDAYA BORNEO

0
KUALA LUMPUR, 6 Mei – Miss Borneo Antarabangsa 2026 bukan sekadar acara pertandingan kecantikan, sebaliknya hadir dengan aspirasi besar untuk mengangkat warisan budaya dan...