Home Blog Page 4

MPPD GIAT BUAT PERSIAPAN RAPI HADAPI PD SURFCASTING 2025, AHAD INI

0
Pengarah Jabatan Pelancongan Korporat dan Komuniti Majlis Perbandaran Port Dickson (MPPD), Encik Mohammad Norazlan bin Othmany, bersama barisan pegawai dan urus setia program bertujuan memastikan penyusunan lokasi, laluan keluar masuk kenderaan serta keperluan logistik berjalan lancar pada hari sabtu dan ahad nanti.
Yang Dipertua MPPD, Hasnor Abd Hamid (tengah) mempamerkan Tshirt disediakan sebanyak 500 helai bagi pendaftaran awal kepada peserta yang mendaftar.

PORT DICKSON, 1 Dis – Persiapan rapi sedang dijalankan bagi memastikan kelancaran penganjuran Pertandingan Memancing Port Dickson Surfcasting 2025 yang bakal berlangsung pada 7 Disember ini di Pantai Bagan Pinang. Lawatan tapak telah diadakan hari ini bagi meneliti pelbagai aspek logistik dan teknikal menjelang acara tahunan tersebut.

Lawatan tersebut diketuai oleh Pengarah Jabatan Pelancongan Korporat dan Komuniti Majlis Perbandaran Port Dickson (MPPD), Encik Mohammad Norazlan bin Othmany, bersama barisan pegawai dan urus setia program. Tujuan lawatan adalah untuk memastikan penyusunan lokasi, laluan keluar masuk kenderaan serta keperluan logistik berjalan lancar pada hari kejadian.

Turut serta dalam lawatan ini ialah Encik Muhammad Zaki bin Yahya, Pengerusi Kesatuan ANULAE Cawangan MPPD bersama beberapa Ahli Jawatankuasa ANULAE yang memainkan peranan penting dalam menjayakan penganjuran program. Mereka turut mengadakan perbincangan strategik di tapak bagi memastikan kelancaran dan keselamatan sepanjang acara berlangsung.

Pertandingan memancing ini merupakan acara tahunan MPPD dan telah pun dimasukkan dalam Kalendar Acara Pelancongan Negeri Sembilan (Calendar of Events – CoE 2026), sekali gus mengukuhkan kedudukannya sebagai salah satu produk pelancongan utama di daerah ini.

Program ini turut mendapat kerjasama erat daripada ANULAE Cawangan MPPD serta Lembaga Pelancongan Negeri Sembilan (LPNS). Penganjur menyasarkan penyertaan meluas daripada pemancing-pemancing dari dalam dan luar Negeri Sembilan, termasuk dari negeri-negeri jiran seperti Selangor, Melaka dan Johor.

MPPD optimis bahawa pertandingan ini bukan sahaja dapat memupuk semangat kesukanan dan mencintai alam sekitar, malah berpotensi besar untuk merancakkan lagi industri pelancongan di Port Dickson terutamanya dalam sektor pelancongan komuniti dan rekreasi pantai.

Acara akan berlangsung pada hari Ahad, 7 Disember 2025 bermula jam 7.00 pagi hingga 12.00 tengah hari bertempat di Pantai Bagan Pinang. Yuran penyertaan dikenakan sebanyak RM80 untuk setiap joran, dan terbuka kepada semua lapisan masyarakat yang berminat untuk mencuba nasib.

Antara tarikan utama pertandingan ini ialah tawaran hadiah wang tunai lumayan kepada para pemenang. Juara akan membawa pulang hadiah tunai RM10,000, tempat kedua RM5,000, dan tempat ketiga RM1,000. Hadiah turut disediakan hingga ke tempat ke-100, menjadikannya salah satu pertandingan memancing yang dinanti-nantikan.

Selain itu, peserta juga berpeluang memenangi cabutan bertuah bernilai RM10,000 dengan pelbagai hadiah menarik yang ditawarkan pihak penganjur. Ia dijangka menyemarakkan lagi suasana dan menarik perhatian pengunjung ke lokasi program.

Orang ramai yang berminat boleh membuat pendaftaran melalui dua kaedah mudah iaitu dengan mengimbas Kod QR yang dipaparkan pada poster promosi atau melalui pautan rasmi: https://forms.gle/zxGE8RTP8eq9GCn27.

Sebarang pertanyaan boleh menghubungi pihak urus setia di talian 019-6365345, 018-2815065 atau 019-6794091.

PORT DICKSON: SURFCASTING 2025 TAWAR RM27,400 PACU TAHUN MELAWAT NEGERI SEMBILAN 2026

0
Yang Dipertua MPPD, Hasnor Abd Hamid (tengah) menyeru kaki pancing hadir memberikan sokongan pertandingan memancing Port Dickson Surfcasting, Ahad nanti.

PORT DICKSON, 29 Nov – Pertandingan memancing pantai Port Dickson Surfcasting 2025 akan berlangsung pada Ahad, 7 Disember 2025 bertempat di Pantai Bagan Pinang, dengan penyertaan disasarkan 500 pemancing dari seluruh negara.

Anjuran Majlis Perbandaran Port Dickson (MPPD) dengan kerjasama Lembaga Pelancongan Negeri Sembilan serta Kesatuan Anulae Cawangan MPPD itu adalah antara pengisian utama sempena Tahun Melawat Negeri Sembilan 2026 (TMNS 2026).

Yang Dipertua MPPD, Hasnor Abd Hamid berkata, pertandingan ini menawarkan jumlah keseluruhan hadiah wang tunai sebanyak RM27,400 menanti para pemenang.

Juara pertandingan akan membawa pulang wang tunai sebanyak RM10,000, manakala pemenang tempat kedua dan ketiga masing-masing menerima RM5,000 dan RM1,000.

Pemenang tempat keempat hingga ke-10 akan menerima RM200 setiap seorang, tempat ke-11 hingga ke-30 akan memperoleh RM150, manakala tempat ke-31 hingga ke-100 tetap diberi ganjaran tunai sebanyak RM100.

Yuran penyertaan ditetapkan RM80 bagi setiap joran dua mata kail, dengan 500 helai t-shirt eksklusif disediakan kepada peserta terawal yang mendaftar secara online https://forms.gle/zxGE8RTP8eq9GCn27.

Selain hadiah utama, peserta turut berpeluang memenangi hadiah cabutan bertuah bernilai lebih RM10,000 termasuk dua unit televisyen bersaiz 45 dan 55 inci, peralatan memancing dan barangan elektrik.

Pantai Bagan Pinang dipilih sebagai lokasi pertandingan bukan sahaja terkenal dengan perairan yang cantik, malah kaya dengan spesies ikan seperti sembilang, duri, gelama, senangin, pari dan belukang.

Lokasi ini turut dilengkapi kemudahan mesra keluarga seperti surau, tandas awam, gerai makanan serta tempat letak kenderaan yang diberi pengecualian caj parkir oleh pihak MPPD sepanjang acara berlangsung.

Menurut Hasnor, penganjuran ini bukan sahaja menyemarakkan aktiviti pelancongan sukan, malah dijangka memberikan limpahan ekonomi kepada peniaga kecil, inap desa dan penyedia perkhidmatan pelancongan di sekitar Port Dickson.

“Setiap acara sebegini bukan hanya medan pertandingan, malah peluang menjana pendapatan kepada komuniti tempatan dalam usaha membangunkan sosioekonomi setempat,” jelas Hasnor.

Beliau menyeru orang ramai, khususnya kaki pancing, agar membawa bersama ahli keluarga dalam menjadikan acara ini sebagai platform mengeratkan silaturahim sambil beriadah.

Jualan dan pameran oleh pelbagai agensi kerajaan dan swasta turut dijalankan sepanjang program bagi memeriahkan lagi suasana.

Penganjuran ini juga dilihat sebagai acara pembuka tirai kepada TMNS 2026 yang menyasarkan peningkatan ketibaan pelancong domestik dan antarabangsa ke Negeri Sembilan.

Orang ramai yang berminat boleh menghubungi terus urus setia melalui nombor berikut: Ab Rahman – 019-6363545, Bazaruddin – 018-2815065 dan Herwan – 019-6794097.

CABUTAN BERTUAH TAJAAN OAG WORLDWIDE MERIAHKAN JAGUH JORAN AHAD INI

0
Pegawai Operasi, OAG Worldwide Sdn Bhd, Azzamiah Azmira Haziz menyerahkan barangan cabutan bagi program pertandingan memancing Jaguh Joran Utusan-UPM, Ahad ini.

SERDANG, 28 Nov – Barangan cabutan bertuah sumbangan OAG Worldwide Sdn Bhd menanti kaki pancing yang menyertai pertandingan Jaguh Joran Utusan-UPM 2025 yang bakal berlangsung pada Ahad ini, di Kolam 1, Bukit Ekspo, UPM Serdang.

Sumbangan berupa barangan peralatan memancing disediakan khas buat para peserta bertuah sebagai penghargaan dan sokongan kepada acara tahunan yang saban tahun dinantikan penggemar sukan memancing dari seluruh negara.

Ketua Pegawai Pemasaran OAG Worldwide Sdn Bhd, Ho Wei Guang, berkata pihaknya berbesar hati dapat menyumbang dalam program ini dan berharap ia dapat menyemarakkan lagi suasana pertandingan sambil memperkenalkan produk-produk berkaitan memancing yang ditawarkan oleh syarikat.

“Cabutan bertuah ini merupakan tanda sokongan kami terhadap komuniti kaki pancing tempatan. Kami percaya kolaborasi sebegini bukan sahaja membantu memeriahkan acara, malah turut memberi peluang kepada peserta mengenali jenama dan produk kami,” katanya.

Sasaran 500 peserta akan hadir ke Kolam 1, UPM ahad ini.

Pertandingan memancing Jaguh Joran Utusan-UPM 2025 kembali sebagai antara pengisian utama Pesta Konvokesyen UPM ke-49, dengan sasaran penyertaan melebihi 500 peserta. Acara ini akan berlangsung dari jam 8.30 pagi hingga 12.30 tengah hari, dan menawarkan pelbagai hadiah serta penyertaan terbuka kepada semua jenis ikan.

Penyertaan dikenakan bayaran RM40 bagi satu joran (maksimum dua mata), dan pendaftaran peserta masih dibuka pada Sabtu ini, 29 November 2025, bermula jam 3.00 petang hingga 7.00 malam, serta pagi Ahad mulai jam 6.30 pagi.

Penganjuran bersama oleh Universiti Putra Malaysia (UPM) dan Utusan Malaysia ini terus menjadi platform untuk mempromosikan gaya hidup sihat melalui aktiviti luar sambil menyatukan pemancing dari pelbagai lapisan masyarakat.

Bagi mereka yang ingin mendapatkan maklumat lanjut mengenai produk atau perkhidmatan yang ditawarkan, orang ramai boleh mengunjungi pejabat OAG Worldwide Sdn Bhd di No.37-2, Setia Avenue, Jalan Setia Prima S U13/S, Setia Alam, 40170 Shah Alam, Selangor.

JAGUH JORAN 2025 SEMARAKKAN KONVOKESYEN KE-49 UPM

0
Noor Mohamad Shakil Hameed (dua kiri) melepaskan ikan sebagai persediaan untuk pertandingan memancing sempena konvokesyen Universiti Putra Malaysia.

SERDANG, 26 Nov – Kemeriahan Konvokesyen Universiti Putra Malaysia (UPM) ke-49 bakal digamatkan dengan penganjuran pertandingan memancing ‘Jaguh Joran 2025’, hasil kolaborasi strategik antara Utusan Malaysia dan UPM.

Pertandingan yang dinanti-nantikan pemancing tegar dari seluruh negara ini akan berlangsung pada Ahad ini, 30 November 2025, bermula jam 8.30 pagi hingga 12.30 tengah hari, bertempat di lokasi popular kaki pancing, Kolam 1, Bukit Ekspo UPM, Serdang.

Apa yang menjadikan edisi kali ini lebih menarik ialah tawaran jumlah hadiah keseluruhan melebihi RM10,000, termasuk konsep istimewa ‘sapu bersih’ bagi peserta yang berjaya.

Dengan hanya RM40 yuran penyertaan bagi satu joran dua mata kail, para peserta berpeluang merebut hadiah utama RM4,000, manakala tempat kedua dan ketiga masing-masing bakal membawa pulang RM1,000 dan RM500.

Tidak cukup dengan itu, peserta yang menduduki tempat ke-4 hingga ke-100 juga tidak pulang dengan tangan kosong apabila bakal menerima RM50 setiap seorang sebagai hadiah saguhati.

“Antara ikan buruan utama ialah patin bersaiz mega melebihi 13 kilogram, selain jelawat, kap, belida, keli, haruan, baung, tilapia dan lampam yang sedia menanti ditawan oleh para peserta,” jelasnya lagi.

Sebagai sebahagian daripada persiapan menjelang hari pertandingan, pihak penganjur turut mengadakan majlis pelepasan ikan baung hampir 150 kilogram ke dalam Kolam 1, sekaligus menambah keterujaan dan peluang kemenangan kepada para peserta.

Menurut Timbalan Pengarah Komunikasi Korporat UPM, Noor Mohamad Shakil Hameed, pertandingan ini bukan sahaja memperkayakan pengisian minggu konvokesyen, malah mampu menyatukan komuniti pemancing dan warga kampus.

Beliau berkata, semua spesies ikan dipertandingkan bagi memberikan cabaran terbuka dan adil kepada semua peserta tanpa mengira tahap pengalaman.

Lebih menarik, penganjur turut menyediakan cabutan bertuah dengan pelbagai hadiah menarik bagi meningkatkan keterujaan dan nilai tambah kepada pertandingan.

Bagi memudahkan urusan, kaunter pendaftaran awal akan dibuka pada Sabtu, 29 November 2025, dari jam 3.00 petang hingga 7.00 malam di khemah khas berhampiran Kolam 1.

Pada hari pertandingan pula, peserta boleh hadir seawal jam 6.30 pagi untuk mendaftar dan membuat persiapan akhir sebelum pertandingan bermula.

Penganjur menyasarkan sehingga 500 penyertaan, sekali gus memperkukuh kedudukan Jaguh Joran sebagai antara acara memancing paling meriah dan berprestij di Malaysia.

Untuk maklumat lanjut dan pendaftaran, orang ramai boleh menghubungi urus setia: Syukur (013-2667011), Jas (012-3554946) atau Ali (012-2846811).

PERTANDINGAN MEWARNA MPAJ SEMARAK KREATIVITI SI CILIK DI HARI TANPA KENDERAAN

0
Timbalan Yang Dipertua MPAJ, Tuan Ts. Haji Hasrolnizam bin Shaari, turut hadir memeriahkan suasana dan menyampaikan hadiah kepada para pemenang.

AMPANG JAYA, 16 Nov — Suasana di Padang Perbandaran MPAJ, Pandan Indah pagi tadi cukup meriah apabila lebih 150 kanak-kanak menyertai Pertandingan Mewarna Sempena Hari Tanpa Kenderaan 2025 anjuran Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ).

Acara yang bermula seawal 8.30 pagi itu merupakan salah satu pengisian utama sambutan Hari Tanpa Kenderaan peringkat MPAJ, dan berjaya menceriakan pagi hujung minggu walaupun cuaca sedikit mendung dengan hujan renyai-renyai.

Peserta terdiri daripada dua kategori umur iaitu Kategori A (6–9 tahun) dan Kategori B (10–12 tahun). Menariknya, semua peserta hanya dibenarkan menggunakan pensil warna yang dibawa sendiri — menambahkan lagi cabaran dan keaslian hasil seni mereka.

Matlamat pertandingan ini bukan sekadar untuk bersaing, tetapi untuk mendidik anak-anak mengenai kepentingan alam sekitar, selain memupuk kreativiti dan tumpuan dalam suasana santai bersama keluarga.

Hadiah yang ditawarkan juga cukup menarik — RM150 tunai untuk juara setiap kategori, RM100 bagi tempat kedua, RM70 untuk ketiga, manakala sagu hati bernilai RM30 diberikan kepada tempat keempat hingga kesepuluh.

Timbalan Yang Dipertua MPAJ, Tuan Ts. Haji Hasrolnizam bin Shaari, turut hadir memeriahkan suasana dan menyampaikan hadiah kepada para pemenang. Beliau menzahirkan kegembiraan atas sambutan luar biasa yang diterima tahun ini.

“Kami mahu kanak-kanak seronok sambil mengekspresikan kreativiti mereka. Program ini juga membantu membina sahsiah anak-anak dan menyemarakkan semangat komuniti dalam suasana yang positif,” katanya.

Selain pertandingan mewarna, Hari Tanpa Kenderaan turut dimeriahkan dengan pelbagai aktiviti menarik seperti Jalan Santai 3KM, sukaneka, persembahan pentas, pemeriksaan kesihatan percuma, serta pengedaran susu segar percuma yang menjadi kegemaran ramai.

Sambutan ini jelas menunjukkan komitmen MPAJ dalam menyediakan platform mesra keluarga yang bukan sahaja menyeronokkan, malah mendidik dan menyatukan komuniti dalam suasana santai dan sihat.

Melalui program seperti ini, MPAJ terus melangkah ke hadapan dalam membina komuniti yang harmoni, aktif dan prihatin — selaras dengan hasrat menjadikan Ampang Jaya sebuah bandar sejahtera untuk semua.

 

MERIAHKAN SELERA DAN SOKONG PENJAJA TEMPATAN DI FESTIVAL MAKAN @ AMPANG 2025

0
Timbalan Yang Dipertua MPAJ, Ts. Haji Hasrolnizam bin Shaari

AMPANG JAYA, 14 Nov –   Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ) bakal menganjurkan Festival Makan @ Ampang sempena sambutan Hari Penjaja Selangor 2025, yang akan berlangsung selama tiga hari bermula 14 hingga 16 November 2025 bertempat di Padang Perbandaran MPAJ, Pandan Indah. Festival ini bertujuan untuk meraikan serta mengiktiraf peranan penting penjaja dan peniaga kecil dalam membangunkan ekonomi tempatan.

Program ini dijangka menjadi tumpuan ramai apabila pelbagai vendor makanan dan minuman dari seluruh daerah Ampang Jaya berkumpul di satu lokasi. Pengunjung berpeluang menikmati aneka juadah dari pelbagai budaya – daripada sajian tradisional seperti nasi lemak dan satay, hingga makanan moden seperti burger, takoyaki dan minuman boba.

Menurut Timbalan Yang Dipertua MPAJ, Ts. Haji Hasrolnizam bin Shaari, penganjuran festival ini merupakan usaha MPAJ untuk memperkasakan sektor penjaja yang menjadi tulang belakang ekonomi komuniti. Beliau menekankan bahawa program sebegini memberi peluang kepada usahawan tempatan untuk memperluaskan capaian mereka kepada masyarakat umum.

“Penjaja memainkan peranan besar dalam menjana ekonomi rakyat. Festival ini bukan sahaja mengiktiraf sumbangan mereka, malah membuka lebih banyak peluang kepada usahawan tempatan untuk memperkenalkan produk mereka kepada khalayak lebih luas,” katanya.

Tambah beliau, festival ini turut menjadi platform memperkukuh hubungan komuniti dan selari dengan visi MPAJ ke arah pembangunan bandar yang mesra rakyat dan mampan. Ia bukan hanya sebuah acara ekonomi, malah juga sosial yang mendekatkan pelbagai lapisan masyarakat.

Lebih menarik, pelbagai aktiviti sampingan turut disediakan bagi menceriakan suasana sepanjang festival, antaranya Pertandingan Karaoke Terbuka yang bakal menarik perhatian pengunjung dari pelbagai peringkat umur yang ingin menonjolkan bakat nyanyian masing-masing.

Bagi pengunjung yang datang bersama keluarga, tersedia juga Mini Karnival lengkap dengan permainan interaktif dan aktiviti santai untuk kanak-kanak serta remaja. Festival ini pasti menjadi lokasi hujung minggu yang menyeronokkan buat seisi keluarga.

MPAJ menjemput seluruh warga Ampang Jaya dan kawasan berdekatan untuk hadir memeriahkan Festival Makan @ Ampang. Program ini bukan sekadar tempat menjamu selera, tetapi juga wadah menyemai semangat #RakyatHarmoniAmpangSejahtera dan menyokong pertumbuhan ekonomi komuniti setempat.

 

MPAJ RAIKAN HARI KANAK-KANAK DENGAN PROGRAM HARI TANPA KENDERAAN 2025

0
Timbalan Yang Dipertua MPAJ, Ts. Haji Hasrolnizam bin Shaari

AMPANG JAYA, 14 Nov – Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ) bakal menganjurkan Program Hari Tanpa Kenderaan Sempena Hari Kanak-Kanak Peringkat MPAJ Tahun 2025 pada 16 November 2025 (Ahad), bermula jam 7.00 pagi bertempat di Padang Perbandaran MPAJ, Pandan Indah. Program ini diadakan khusus untuk meraikan Hari Kanak-Kanak sambil menyemai gaya hidup sihat dan mesra alam dalam kalangan masyarakat setempat.

Menurut Timbalan Yang Dipertua MPAJ, Ts. Haji Hasrolnizam bin Shaari, program ini adalah satu inisiatif mendidik masyarakat tentang kepentingan pengurangan penggunaan kenderaan bermotor yang boleh mengurangkan pencemaran udara dan kesesakan lalu lintas. Pada masa yang sama, ia memberi ruang kepada keluarga untuk beriadah dalam persekitaran yang lebih selamat dan kondusif.

Pelbagai aktiviti menarik disediakan untuk semua golongan umur, terutamanya kanak-kanak. Antara acara utama yang bakal mencuri tumpuan ialah Fun Walk, Aktiviti Zumba, dan Eksplorasi Sukan Rakyat dan Warisan yang menggabungkan elemen kesukanan dan kebudayaan tempatan.

Bagi memeriahkan lagi suasana, pengunjung cilik boleh menyertai pertandingan mewarna, sukaneka, persembahan kanak-kanak, dan menikmati permainan Supa Dupa serta Popcorn Cotton Candy. Semua ini bertujuan memberi peluang kepada kanak-kanak menonjolkan bakat dan menikmati hari yang penuh keceriaan.

Tidak ketinggalan, tarikan istimewa seperti pertandingan memasak “Cabaran di Dapur Bersama Chef Cilik” dan pertunjukan cosplay turut disediakan untuk memberi kelainan serta pengalaman baharu kepada para pengunjung.

Dalam usaha memelihara kesihatan masyarakat, program ini turut menawarkan pemeriksaan kesihatan percuma dan edaran susu percuma daripada Farm Fresh. Pengunjung juga boleh menikmati pelbagai hidangan lazat daripada gerai jualan serta jualan Rahmah yang menawarkan makanan dan minuman pada harga mampu milik.

MPAJ menyeru semua warga Ampang Jaya untuk bersama-sama menyokong dan memeriahkan sambutan ini. Program seperti ini bukan sahaja memberi kegembiraan kepada kanak-kanak, malah menjadi wadah mengeratkan silaturrahim dalam komuniti setempat. Untuk maklumat lanjut, sila hubungi urus setia di talian Pn. Norhanim (010-5343292) atau En. Ashraf (017-8204448).

KPM KOMITED IMBANGI ASPEK AKADEMIK, SUKAN DALAM KALANGAN PELAJAR

0

SERDANG, 2 Nov – Kementerian Pendidikan (KPM) mahu memastikan para pelajar sekolah memiliki keseimbangan terhadap pencapaian akademik dan sukan serta bidang kokurikulum dalam usaha memperkasa pembangunan murid secara holistik, sekaligus membentuk sahsiah, disiplin dan daya kepimpinan.

Timbalan Menteri KPM, Wong Kah Woh menjelaskan keseimbangan ini penting terutama sukan yang membuka ruang kepada para pelajar untuk mempamer bakat masing-masing.

Menerusi penganjuran sukan berkonsepkan liga seperti Liga Sukan KPM, ia dilihat sebagai langkah terbaik dan berkesan sebagai medan pembangunan bakat secara berstruktur.

“Ini merupakan sebahagian daripada usaha KPM untuk memastikan anak-anak kita bukan sahaja bijak dari segi akademik tetapi juga mempunyai pentas untuk mempamer dan membuktikan kehebatan bakat masing-masing dalam bidang sukan serta kokurikulum,” kata Kah Woh.

Liga Sukan KPM dianjurkan susulan perlaksanaan Liga Bolasepak KPM yang merangkumi Liga Piala Menteri Pendidikan Bawah 14 Tahun dan Liga Piala Remaja KPM-FAM B-17 anjuran Bahagian Sukan Kokurikulum dan Kesenian (BSKK) sejak 2008.

KPM telah memperluaskan penganjuran tersebut ke acara sukan lain seperti Grand Prix Sepak takraw pada 2011 dan Liga Juara Remaja Bola Jaring KPM B-14 pada 2012.

Bagi edisi 2025 Liga Sukan KPM diteruskan dengan membabitkan tiga jenis sukan utama iaitu bola jaring, sepak takraw dan olahraga yang menghimpunkan murid-murid dari Sekolah Sukan Malaysia (SSM) dan Pusat Latihan Daerah (PLD) di seluruh negara.

Sirkit pertama liga bermula dari 25 hingga 27 April lalu di Sekolah Sukan Tunku Mahkota Ismail, Bandar Penawar, Johor sebagai pengelola.

Ia diikuti sirkit kedua di Sekolah Sukan Malaysia Terengganu dari 11 hingga 13 Julai, membabitkan tiga venue utama – Dewan Arena Tertutup Gong Badak, Sekolah Sukan Malaysia Terengganu dan Stadium Ragbi Tengku Muhammad Ismail.

Sirkit ketiga yang juga pusingan akhir, telah berlangsung pada 28 hingga 30 Oktober lalu yang berlangsung di Universiti Putra Malaysia dan Universiti Tenaga Nasional sebagai venue utama.

Tambah Kah Woh lagi, penglibatan syarikat swasta juga perlu untuk bersama-sama membantu usaha KPM menjayakan program ini.

“Saya, bagi pihak KPM mengambil kesempatan ini untuk menyampaikan penghargaan dan terima kasih terhadap sokongan daripada rakan strategik kita khasnya 100PLUS yang telah memberi kerjasama kepada KPM dalam menjayakan program ini,” katanya.

Penganjuran Liga Sukan KPM turut mendapat kerjasama daripada beberapa persatuan sukan kebangsaan yang berkaitan.

Turut terlibat memberi komitmen dalam program ini termasuk Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Persatuan Sepaktakraw Malaysia (PSM), Persatuan Bola Jaring Malaysia (PBJM), Konfederasi Hoki Malaysia (MHC), Olahraga Malaysia (OM) dan Persatuan Badminton Malaysia (BAM).

 

PIALA LIGA KPM B-14: SMK TAMAN DESA SKUDAI JUARA

0

SERDANG, 31 Okt – Pasukan SMK Taman Desa Skudai mengesahkan status sebagai juara Piala Liga Menteri Pendidikan Bawah 14 (B-14) 2025 selepas menundukkan Akademi Mokhtar Dahari (AMD) 3-1 pada aksi final yang berlansung di Stadium Mini, Universiti Putra Malaysia (UPM) petang semalam.

Aksi final ini ibarat ulangan final tahun lalu yang berlangsung di Pasir Gudang, Johor menyaksikan AMD B-14 melakar kemenangan 3-1 ketika itu.

Namun SMK Taman Desa Skudai tampak turun dengan semangat juang yang cukup tinggi apabila hanya memerlukan tujuh minit untuk membuka jaringan menerusi Muhd Farish Haqiemi Muhd Azharuddin.

AMD bangkit berselang tiga minit kemudian untuk menyamakan kedudukan hasil sentuhan Ahmad Muzakif Fitri Muhamad.

SMK Taman Desa Skudai kendalian Rodolfo Pereida Villa nyata tidak goyah dengan gol penyamaan tersebut sebaliknya kekal fokus untuk mengasak kubu pasukan lawan.

Usaha itu nyata membuahkan hasil apabila Zainul Ariffin Mohd Zainuddin kembali meletakkan SMK Taman Desa di hadapan pada minit ke-29 sebelum Farish Haqiemi memusnahkan impian AMD dengan gol ketiga pada masa tambahan selepas tamat masa perlawanan sebenar untuk mengesahkan kemenangan mutlak 3-1.

Pereida nyata gembira kerana strategi yang mereka rancang telah disempurnakan dengan baik oleh barisan pemainnya.

“Saya percaya perancangan kami berjalan dengan baik dan para pemain juga telah melakukan tugasan dengan baik. Walaupun kami diikat 1-1 di awal permainan namun, pemain kami tidak hilang fokus dan mengikut perancangan yang telah di atur.

“Kami memiliki penyerang yang berbakat serta pantas untuk melakukan serangan daripada setiap penjuru padang,”kata Pereida.

Bagi pengendali AMD, Shahril Faizal Ahmad Sharifuddin, semua pemainnya telah memberikan yang terbaik dalam setiap perlawana dan ia merupakan satu pengalaman yang berharga buat mereka.

“Ini adalah final, pasukan mana yang lebih baik dan kurang melakukan kesilapan berpeluang untuk menang.

“Bagi saya semua pemain sudah memberikan yang terbaik dan ini adalah proses pembangunan. Mereka perlu belajar daripada setiap perlawanan yang mereka lalui dan yang paling penting untuk saya adalah perkembangans yang telah mereka tunjukkan kerana masih banyak lagi yang perlu mereka hadapi,” kata Shahril Faizal.

Dalam pada itu, hasrat pasukan AMD B-16 untuk menebus kekecewaan pasukan ‘adik’ tidak kesampaian selepas kecundang 5-4 menerusi penentuan sepakan penalti kepada SMK Tunku Anum Tunku Abd Rahman dalam aksi final Piala Liga Remaja KPM FAM B-17 yang berlansung di venue yang sama disebelah malam.

Kedua-dua pasukan terikat 1-1 selepas tamat masa sebenar perlawanan.

AMD B-16 memecah kebuntuan pada minit ke-59 untuk mendahului 1-0 menerusi jaringan Muhd Asmadi Muhd Raflee.

Seminit sebelum wisel penamat dibunyikan, AMD B-16 terdiam apabila Muhd Hariz Haziq Hairol Naim meledak gol penyamaan, sekaligus mengheret permainan ke masa tambahan. Pemenang terpaksa ditentukan menerusi penalty selepas tiada jaringan tambahan tercipta.

Penjaga gol SMK Tunku Anum Tunku Abd Rahman, Muhd Airell Elfi Abdullah muncul wira pasukan apabila menafikan sepakan Muhd Rayyan Anaqy Husharudin.

Pengendali SMK Tunku Anum, Mohd Adzlan Abu menjelaskan bahawa pasukannya lebih sedekad gagal untuk melayakkan diri ke pentas final dan berterima kasih kepada semua yang telah membantu merealisasikan kejayaan tersebut.

“Kami agak perlahan diawal permainan, tidak pasti samada keletihan gara-gara perjalanan jauh atau gemuruh di final, tetapi dapat bangkit di penghujung permainan dan menjadi juara.

“Kali terakhir kami ke final ialah pada 2013 dan ketika itu muncul naib juara. Sudah 12 tahun dan tahun ini kita muncul juara,” kata Adzlan Abu.

Hadiah kepada para pemenang disempurnakan Timbalan Menteri Pendidikan, Wong Kah Won dan Pengarah Libat Urus Kerajaan dan Industri Freaser & Neave Holding Bhd, Norazrin Norsyam Yee.

LIGA MENTERI PENDIDIKAN B-14: AMD AKAN BUAT PERHITUNGAN DENGAN SMK TAMAN DESA SKUDAI DI FINAL

0

KULAI,18 Okt – SMK Taman Desa Skudai dan Akademi Mokhtar Dahari akan membuat perhitungan di pentas final bagi merebut trofi kejohanan bolasepak Piala Liga Menteri Pendidikan Bawah 14 Tahun 2025 dengan rakan strategik 100PLUS selepas melakar kemenangan ke atas lawan masing-masing di separuh akhir pada Rabu.

Aksi kedua-dua pasukan cukup sengit pada perlawanan yang berlangsung di Stadium Mini Kulai, Johor itu yang menyaksikan tuan rumah SMK Taman Desa diikat dua sama oleh SMK Tunku Anum Tunku Abdul Rahman selepas tamat masa perlawanan sebenar.

Pelawat terlebih dahulu membuka jaringan menerusi rembatan deras Muhd Wafiyuddin Lukman pada minit ke-12 untuk mendahului 1-0.

Begitupun, tuan rumah tidak goyah, sebaliknya tenang menyusun gerakan dan menjaringkan gol penyamaan menerusi rembatan Faiz’zin Naqibbin Mohd Faizal Amrie pada minit ke-26.

Asakan bertali arus anak didik Rodolfo Pereda Villa nyata membuahkan hasil apabila giliran SMK Taman Desa meledak gol kedua, sekaligus mendahului 2-1 di minit ke-57 menerusi jaringan Muhd Farish Haqiem Muhd Azharuddin.

Tekanan semakin memuncak untuk SMK Tunku Anum apabila terpaksa beraksi dengan 10 pemain selepas Muhd Ammar Amsyar Muhd Suhaimi dilayangkan kad merah di penghujung perlawanan.

Namun, tuah seakan-akan memihak kepada mereka apabila 30 saat sebelum tamat perlawanan, Muhd Zunur Amin Shukri berjaya menjaringkan gol penyamaan untuk menjadikan kedudukan terikat 2-2, sekaligus mengheret permainan ke masa tambahan.

Afief Syamiel Aidilazhar muncul wira SMK Taman Desa apabila menjaringkan gol kemenangan untuk keputusan penuh memihak tuan rumah 3-2.

Mengulas tentang perlawanan, Rodolfo memuji semangat juang yag dipamerkan oleh SMK Tunku Anum Tunku Abdul Rahman dan turut berbangga dengan kebangkitan yang dipamerkan anak didiknya.

“Dua gol yang dijaringkan pasukan lawan menerusi set piece, mereka melakukannya dengan baik. Pada padangan saya, kami bermain dengan baik secara keseluruhannya tetapi perkara seperti ini boleh berlaku dalam setiap perlawanan.

“Jika mereka merasakan selesa kerana memiliki kelebihan seorang pemain, ia tidak memberi sebarang kesan, kami terpaksa bekerja keras untuk mendapatkan gol.

Mengulas aksi final, beliau tidak melihat ulangan final tahun lalu akan kembali berulang, sebaliknya Rodolfo melihat pasukannya memiliki keyakinan dan kualiti yang berbeza seperti yang telah dipamerkan barisan pemainnya sepanjang musim ini.

“Apa yang penting, para pemain tetap fokus dan bermain dengan baik ketika di final nanti, ia pasti akan menjadi perlawanan yang hebat,” kata Rodolfo Pereira.

Sementara itu, pengendali SMK Tunku Anum Tunku Abdul Rahman, Mohd Azizi Abdul Aziz berpuashati dengan pencapaian pasukan untuk musim ini terutama beraksi sehingga ke peringkat separuh akhir.

“Saya perlu bagi kredit kepada semua pemain kerana mereka bermain dengan10 pemain selama 20 minit. Ekoran kesilapan mudah yang dilakukan barisan pertahanan kami, maka pasukan lawan berjaya menjaringkan gol kemenangan,” jelas Mohd Azizi yang ternyata puas dengan pencapaian skuad kendaliannya musim ini.

Menanti SMK Taman Desa Skudai di final nanti adalah skuad B-14 Akademi Mokhtar Dahari (AMD) yang menundukkan SMK Seksyen 11 3-1.

Ahmad Muzakif Fitri Muihamad dan Muhd Ima Luthfi Zairol Hisham meletakkan AMD B-14 2-0 hasil jaringan pada minit ke-21 dan 41.

Namun Muhd Aqmar Danish Kamarizuan merapatkan jurang 1-2 untuk SMK Seksyen 11 pada minit ke-43.

Muhd Afiq Akram Yusni memastikan kemenangan mutlak AMD B-14 dengan gol ketiga di minit ke-67 untuk menjadikan keputusan muktamad 3-1.

Latest Article

MISS BORNEO ANTARABANGSA 2026 BAWA INSPIRASI MARTABAT BUDAYA BORNEO

0
KUALA LUMPUR, 6 Mei – Miss Borneo Antarabangsa 2026 bukan sekadar acara pertandingan kecantikan, sebaliknya hadir dengan aspirasi besar untuk mengangkat warisan budaya dan...