Home Blog Page 5

PIALA F&N MAGNOLIA B-12: SK SERDANG UPM MUNCUL JUARA

0

KUALA SELANGOR, 16 Okt – SK Serdang UPM mencipta sejarah apabila muncul juara sulung Kejohanan Bolasepak Bawah 12 Tahun Piala F&N Magnolia yang berakhir di Padang SK Bandar Baru di Kuala Selangor hari ini.

Perjuangan selama tiga hari nyata menghadirkan kenangan manis buat SK Serdang UPM untuk dinobat sebagai juara.

Pada perlawanan akhir, SK Serdang UPM berdepan SK Taman Melati dan mereka berterima kasih kepada Muhammad Arif Mohd Radzuan yang menjadi watak penting untuk pasukan apabila menjaringkan gol tunggal perlawanan pada minit ke-18.

“Kami sangat gembira dinobatkan sebagai pemenang pertama Piala Magnolia. Ia adalah satu pencapaian bersejarah. Kami berharap kejohanan ini akan diteruskan lagi tahun depan kerana ia adalah saluran yang baik untuk pemain muda kami,” kata ketua jurulatih SK Serdang UPM, Muhammad Amir Fiqrie.

“Dalam perlawanan akhir hari ini, kami terpaksa mengubah strategi permainan kami kerana tiga pemain utama mengalami kecederaan. Tetapi, kami masih berjaya menewaskan pasukan lawan dan para pemain juga telah mempamerkan semangat juang yang tinggi sepanjang kejohanan ini.

“Kejohanan ini tidak mudah kerana kami menentang juara Daerah. Ia sangat kompetitif dan kami berharap dapat mengambil bahagian lagi tahun depan.”

Dalam pada itu, SK Putrajaya Presint 9 (2) menduduki tempat ketiga selepas menewaskan SK Sultan Hisamuddin Alam Shah 3-1 menerusi penentuan sepakan penalti selepas kedua-dua pasukan terikat tanpa jaringan dalam masa permainan sebenar.

Kejohanan tiga hari itu menghimpunkan juara-juara sekolah daripada pertandingan Majlis Sukan Daerah di Selangor dan Wilayah Persekutuan sepanjang tahun lalu yang menampilkan 16 pasukan kesemuanya.

Pasukan-pasukan ini dibahagikan kepada empat kumpulan dalam format pertandingan sembilan sepasukan.

Juara dan naib juara kumpulan akan mara ke peringkat kalah mati.

KEPUTUSAN

Perlawanan akhir

SK Taman Melati 0-1 SK Serdang UPM

Tempat ketiga/keempat

SK Putrajaya Presint 9 (2) 0 (3) – 0 (1) SK Sultan Hisamuddin Alam Shah

 

PIALA F&N MAGNOLIA B-12: SK TAMAN MELATI MARA KE SEPARUH AKHIR

0

KUALA SELANGOR, 15 Okt – SK Taman Melati mencipta kejutan apabila menewaskan pasukan pilihan SK Putrajaya Presint 15 (1) 4-3 menerusi penentuan sepakan penalti, sekaligus mengesahkan tempat ke separuh akhir Kejohanan Bolasepak Bawah 12 Tahun Piala F&N Magnolia F&N yang berlangsung di padang SK Bandar Baru, Kuala Selangor hari ini.

Kedua-dua pasukan terikat 1-1 dalam masa sebenar dengan gol minit kelima oleh Muhammad Afiq Daniel Juani untuk SK Putrajaya Presint 15 (1) manakala Ahmad Nurfayruz Ahmad Kamal dari SK Taman Putra mengikat kedudukan sepuluh minit kemudian.

Ketua jurulatih Muhammad Ash Syahid Ismail berkata pasukannya tidak bersiap sedia untuk penentuan sepakan penalti sebaliknya bersedia menghadapi sebarang kemungkinan.

“Para pemain telah bekerja keras dan bersedia dengan baik untuk menghadapi kejohanan ini. Untuk perlawanan suku akhir menentang pasukan Putrajaya ini, saya merasakan pemain agak goyah pada awal permainan dan itu menyebabkan mereka banyak melakukan kesilapan,” kata Muhammad Ash Syahid.

“Untuk separuh akhir esok, kami bersedia berdepan dengan apa sahaja situasi. Kami tahu ia akan menjadi satu lagi perlawanan yang sukar tetapi kami tetap bersedia.”

Untuk aksi separuh akhir esok, SK Taman Melati akan menentang satu lagi pasukan dari Putrajaya iaitu SK Presint 9 (2) – yang menang tipis 1-0 pada suku akhir ke atas SK Sri Pristana.

Muhammad Fathullah Mohammad Nizar menjaringkan gol tunggal permainan pada minit ke-12.

KEPUTUSAN

SUKU AKHIR

SK Putrajaya Presint 9 (2) 1-0 SK Seri Pristana

SK Putrajaya Presint 15 (1) 1 (3) – 1(4) SK Taman Melati

SK Serdang UPM 2-0 SK Batu Muda

SK Sultan Hisamuddin Alam Shah 1-0 SK Semenyih

 

PIALA F&N MAGNOLIA B-12: SK PUTRAJAYA PRESINT 15 MENGGANAS

0

KUALA SELANGOR, 14 Okt – Kejohanan bolasepak Piala F&N Magnolia Bawah 12 Tahun bermula hari ini di padang Sekolah Kebangsaan Bandar Baru, Kuala Selangor yang menyaksikan persaingan sengit 16 pasukan yang mengmabil bahagian.

Dua perlawanan pertama kumpulan A yang berlangsung serentak pada sebelah pagi tadi, SK Ulu Yam Bharu mengetepikan SK Cochrane 1-0 manakala SK Semenyih terikat seri 2-2 dengan SK Putrajaya Presint 9 (2).

Saingan kumpulan B menyaksikan SK Putrajaya Presint 15 (1) mencuri tumpuan dengan persembahan menarik apabila meraih dua kemenangan daripada dua perlawanan yang berlangsung dalam Kumpulan B.

Naib juara pertandingan Majlis Sukan Daerah yang lalu itu telah memulakan aksi pembukaan kumpulan B pada sebelah pagi dengan menewaskan SK Binjai Jaya 1-0 dengan gol tunggal jaringan Ku Qasyaf Syazani Ku Mohd Syahfiq pada minit ke-10.

Mereka kemudian mengatasi SK Bukit Naga dalam perlawanan kedua pada sebelah petang, dengan Dhia Ziqri Azka Azlin muncul wira selepas memperoleh kemenangan awal menerusi gol pada minit ketujuh.

“Pasukan telah memperlihatkan peningkatan dan saya gembira kerana kami meraih dua kemenangan daripada dua perlawanan pertama dalam kumpulan,” kata ketua jurulatih SK Putrajaya Presint 15 (1) Muhammad Yazid Abdul Karim.

Kejohanan Bola Sepak Bawah 12 Tahun (B-12) F&N Magnolia akan dianjurkan dari 13 hingga 16 Oktober ini di Kuala Selangor, dengan kerjasama Bahagian Sukan, Kokurikulum dan Kesenian (BSKK), Kementerian Pendidikan Malaysia.

Kejohanan tiga hari yang menghimpunkan juara-juara sekolah daripada pertandingan Majlis Sukan Daerah di Selangor dan Wilayah Persekutuan sepanjang tahun lalu itu akan menampilkan 16 pasukan kesemuanya.

Pasukan-pasukan ini dibahagikan kepada empat kumpulan dalam format pertandingan sembilan sebelah.

Juara dan naib juara kumpulan akan mara ke peringkat kalah mati.

Tuan rumah, Selangor diwakili oleh 10 pasukan, manakala Kuala Lumpur dengan empat pasukan dan Putrajaya dengan dua pasukan.

KEJOHANAN BOLASEPAK B12 TAHUN F&N MAGNOLIA

KEPUTUSAN

KUMPULAN A

SK Ulu Yam Bharu 1-0 SK Cochrane

SK Semenyih 2-2 SK Putrajaya Presint 9 (2)

SK Cochrane 0-0 SK Semenyih

Putrajaya Presint 9 (2) 2-0 SK Ulu Yam Bharu

KUMPULAN B

SK Binjai Jaya 0-1 SK Putrajaya Presint 15 (1)

SK Bukit Naga 0-0 SK Batu Muda

SK Batu Muda 1-0 SK Binjai Jaya

SK Putrajaya Presint 15 (1) 1-0 SK Bukit Naga

KUMPULAN C

SK Damansara Damai (2) 0-2 SK Serdang UPM

SK Kebun Baharu 0-0 SK Taman Melati

SK Taman Melati 1-1 SK Damansara Damai (2)

SK Serdang UPM 1-0 SK Kebun Baharu

KUMPULAN D

SK Seri Pristana 1-0 SK Bandar Baru Salak Tinggi

SK Taman Tun Teja 2-1 SK Sultan Hisamuddin Alam Shah

SK Sultan Hisamuddin Alam Shah 1-0 SK Seri Pristana

SK Bandar Baru Salak Tinggi 0-0 SK Taman Tun Teja

 

PIALA MAGNOLIA F&N B-12 JANJI PERSAINGAN SENGIT

0

KUALA SELANGOR, 13 Okt – Kurang 24 jam sebelum edisi sulung Kejohanan Bolasepak Bawah 12 Tahun (B12) F&N Magnolia membuka tirainya, kesemua 16 pasukan sudah bersedia sepenuhnya untuk memburu kejuaraan.

Antara pasukan yang mencuri tumpuan bagi saingan peringkat Kumpulan A adalah SK Ulu Yam Bharu, SK Cochrane, SK Semenyih dan SK Putrajaya Presint 9.

Menggalas tugas dari zon Putrajaya, SK Putrajaya Presint 9 pastinya tidak mahu melepaskan peluang untuk mencabar tiga lagi pasukan dalam kumpulan tersebut dalam misi mereka untuk menaiki podium di kejohanan ini.

Pengurus pasukan, Muhd Izman Yahya menekankan beberapa aspek penting kepada anak didiknya bagi mengharungi aksi Kumpulan A kelak.

“Pasukan SK Putrajaya Presint 9 (2) telah menjalani latihan secara konsisten selama lebih kurang dua bulan.

“Latihan dijalankan sebanyak tiga kali seminggu yang merangkumi aspek kecergasan, kemahiran teknikal dan taktikal pasukan bagi memastikan pemain benar-benar bersedia menghadapi kejohanan ini,” kata Izman.

Tambahnnya lagi inisiatif oleh Freaser & Neave Holding Bhd menganjurkan kejohanan bolasepak diperingkat akar umbi tidak hanya memberi manfaat terhadap pemain, tetapi kepada sekolah.

“Saya berpendapat penganjuran edisi pertama kejohanan Magnolia Cup ini merupakan satu inisiatif yang sangat baik dalam melahirkan lebih ramai bakat baharu dalam sukan bola sepak di peringkat sekolah rendah.

“Ia bukan sahaja memberi peluang kepada murid menunjukkan kebolehan masing-masing, tetapi juga memupuk semangat kesukanan dan perpaduan antara sekolah,” katanya lagi

SK Presint 9 akan membuka tirai saingan kumpulan A menentang SK Semenyih di sebelah pagi esok disusuli aksi berdepan SK Ulu Yam Bharu pada sebelah petang dan menutup saingan peringkat Kumpulan berdepan SK Cochrane pada keesokkan hari.

Kejohanan B-12 F&N Magnolia akan dianjurkan dari 13 hingga 16 Oktober ini di Kuala Selangor, dengan kerjasama Bahagian Sukan, Kokurikulum dan Kesenian (BSKK), Kementerian Pendidikan Malaysia.

Kejohanan tiga hari yang menghimpunkan juara-juara sekolah daripada pertandingan Majlis Sukan Daerah di Selangor dan Wilayah Persekutuan sepanjang tahun lalu itu akan menampilkan 16 pasukan kesemuanya.

Pasukan-pasukan ini dibahagikan kepada empat kumpulan dalam format pertandingan sembilan sebelah.

Juara dan naib juara kumpulan akan mara ke peringkat kalah mati.

Tuan rumah, Selangor diwakili oleh 10 pasukan, manakala Kuala Lumpur dengan empat pasukan dan Putrajaya dengan dua pasukan.

KEJOHANAN BOLASEPAK B12 TAHUN F&N MAGNOLIA

KUMPULAN A: SK Ulu Yam Bharu, SK Cochrane, SK Semenyih, SK Putrajaya Presint 9

KUMPULAN B: SK Bukit Naga, SK Batu Muda, SK Binjai Jaya, SK Putrajaya Presint 15

KUMPULAN C: SK Kebun Baharu, SK Taman Melati, SK Damansara Damai (2), SK Serdang UPM

KUMPULAN D: SK Taman Tun Teja, SK Sultan Hisamuddin Alam Shah, SK Seri Pristana, SK Bandar Baru Salak Tinggi

 

PIALA MAGNOLIA B-12: MEDAN MENCUNGKIL BAKAT BAHARU DI LEMBAH KELANG

0

SHAH ALAM, 11 Okt – Sekolah-sekolah sekitar Selangor dan Kuala Lumpur nyata teruja dan bersemangat menanti detik sepak mula pertandingan sulung kejohanan bola sepak Piala Magnolia Bawah 12 tahun F&N yang akan bermula di Kuala Selangor minggu hadapan.

Sebanyak 16 buah sekolah, kesemuanya pemenang dalam pertandingan Majlis Sukan Sekolah Daerah, akan bersaing untuk merebut anugerah tertinggi kejohanan yang julung kali diadakan itu.

Pertandingan yang akan mencungkil bakat di peringkat akar umbi itu mendapat sokongan penuh F&N serta Bahagian Sukan, Kokurikulum dan Kesenian (BSKK) Kementerian Pendidikan (KPM).

Sekolah Kebangsaan Seri Pristana Sungai Buloh yang dipilih sebagai pengelola pastinya menyasarkan untuk memberikan aksi yang mantap di tempat sendiri.

Pengurus pasukan, Mohd Zubaidi Mat Akhir berkata Piala Magnolia F&N adalah penting kerana ia merupakan platform baharu untuk pembangunan bola sepak peringkat akar umbi di negeri ini.

“Kejohanan ini berbeza dan unik kerana buat pertama kali dalam sejarah, ia menghimpunkan pasukan yang bergelar juara pada saingan peringkat Majlis Sukan Sekolah Daerah (MSSD) dari Selangor dan Wilayah Persekutuan.

“Kami berbangga diberi peluang untuk menyertai kejohanan Piala Magnolia F&N ini dan juga menganjurkannya buat kali pertama. Kami teruja dan tidak sabar untuk bersaing,” kata Zubaidi.

Beliau turut menambah, SK Seri Pristana yang diketuai oleh Abid Harraz Asyraf Fitri telah membuat persiapan rapi dengan tiga sesi latihan seminggu sejak pemilihan pemain pada Mac lalu.

Beberapa perlawanan persahabatan turut diadakan bagi mengukur tahap kesiapsiagaan pasukan serta menilai kekuatan dan kelemahan pemain menjelang sepak mula minggu depan.

SK Sri Pristana, yang diundi dalam Kumpulan D akan membuka kempen menentang SK Bandar Baru Salak Tinggi.

Dua lagi pasukan dalam kumpulan itu ialah SK Taman Tun Teja dan SK Sultan Hishamuddin Alam Shah.

Kejohanan Bola Sepak Bawah 12 Tahun F&N Magnolia akan berlangsung pada 14 hingga 16 Oktober.

Kejohanan tiga hari itu menghimpunkan juara sekolah daripada pertandingan Majlis Sukan Daerah di Selangor dan Wilayah Persekutuan tahun ini.

Pasukan akan dibahagikan kepada empat kumpulan dalam format pertandingan sembilan sebelah. Juara dan naib juara kumpulan akan mara ke peringkat kalah mati.

Tuan rumah Selangor akan diwakili 10 pasukan manakala Kuala Lumpur mempunyai empat pasukan dan Putrajaya mempunyai dua pasukan.

Kesemua pasukan yang bertanding adalah johan Majlis Sukan Daerah masing-masing, kecuali Putrajaya yang akan diwakili oleh johan dan naib johan Kejohanan Bola Sepak Majlis Sukan Sekolah Wilayah Persekutuan Putrajaya.

Kejohanan ini telah dilancarkan secara rasmi pada 22 Ogos lalu.

 

SEMINAR ANTARABANGSA PERKARA ADAT PERPATIH KE PENTAS DUNIA

0
Prof Dr. Widia Fithri, M.Hum (dua dari kiri) menerima cenderamata daripada Dato’ Haji Saiful Yazan bin Sulaiman.

SEREMBAN, 17 Okt. – Adat Perpatih terus diberi suntikan baharu apabila Seminar Antarabangsa Sempena Perpatih Fest 2025 berjaya menghimpunkan cendekiawan tempatan dan antarabangsa dalam sebuah platform ilmiah yang berlangsung di Muzium Negeri Sembilan, di sini, baru-baru ini.

Profesor Ulung Datuk Dr. Shamsul Amri bin Baharuddin menyampaikan ceramah.

Seminar anjuran Lembaga Muzium Negeri Sembilan itu bertujuan memperkukuh kefahaman dan apresiasi masyarakat terhadap sistem warisan matrilineal yang diwarisi turun-temurun serta memperluas wacana Adat Perpatih ke peringkat global.

Majlis dirasmikan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Johol, merangkap Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Warisan, Adat Istiadat Melayu, Teknologi, Inovasi dan Digital, Dato’ Haji Saiful Yazan bin Sulaiman.

Turut hadir, ADUN Jeram Padang, Dato’ Mohd Zaidy Abdul Kadir, Pengarah Lembaga Muzium Negeri Sembilan, Aziz bin Haji Mohd Gorip, serta Kurator Bahagian Antikuiti, Rosrita binti Mohamad Nordin.

Program berprestij itu disertai oleh pelbagai lapisan masyarakat termasuk dato’-dato’ penyandang pesaka adat, ibu-ibu soko, penjawat awam dari agensi kerajaan peringkat negeri dan persekutuan, pelajar institusi pengajian tinggi, pelajar sekolah serta wakil pertubuhan bukan kerajaan (NGO).

Sebahagian peserta yang hadir seminar Antarabangsa Sempena Perpatih Fest 2025.

Menurut penganjur, seminar ini merupakan antara pengisian utama sempena Perpatih Fest 2025, yang dahulunya dikenali sebagai Syarahan Negeri, dengan matlamat memperkasa serta memartabatkan Adat Perpatih bukan sahaja di Negeri Sembilan, bahkan di peringkat antarabangsa.

Lebih istimewa, seminar ini turut menampilkan dua tokoh ilmuwan tersohor — seorang dari Malaysia dan seorang dari Indonesia — yang berkongsi pandangan dan kajian mereka berkaitan adat matrilineal serta cabaran kontemporari yang dihadapi.

Antaranya ialah Pengarah Pengasas Institut Kajian Etnik (KITA), Universiti Kebangsaan Malaysia, Profesor Ulung Datuk Dr. Shamsul Amri Baharuddin yang membentangkan tajuk “Masyarakat Nasab Ibu di Seluruh Dunia: Mirip Adat Perpatih”.

Sementara itu, Prof. Dr. Widia Fithri, M.Hum. dari Fakulti Ushuluddin dan Studi Agama, Universiti Islam Negeri Imam Bonjol, Padang, Sumatera Barat, Indonesia membentangkan syarahan bertajuk “Minangkabau dan Cabaran Semasa”.

Kedua-dua syarahan tersebut mendapat perhatian luar biasa daripada para peserta, sekali gus membuka dimensi baharu dalam memahami persamaan dan perbezaan antara Adat Perpatih di Negeri Sembilan dan Adat Minangkabau di Indonesia.

Seminar turut dikendalikan oleh Timbalan Presiden Badan Kebajikan dan Kemajuan Anak-anak Melayu Negeri Sembilan, Dato’ Haji Redhuan bin Sabaruddin selaku moderator.

Gembira, pemenang cabutan bertuah menerima basikal.

Program keilmuan berskala besar ini dijangka dapat merangsang minat dalam kalangan pelajar, penyelidik serta institusi pengajian tinggi untuk menjalankan penyelidikan lanjut mengenai Adat Perpatih yang mempunyai nilai sejagat.

Melalui seminar ini juga, pelbagai dapatan penting telah didokumentasikan sebagai sebahagian daripada usaha menjadikan Muzium Negeri Sembilan sebagai pusat rujukan utama Adat Perpatih.

Lembaga Muzium Negeri Sembilan merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada kedua-dua penceramah jemputan yang telah sudi berkongsi ilmu dan pengalaman, serta kepada semua pihak yang hadir dan menjayakan seminar ini.

Penganjuran ini membuktikan komitmen berterusan kerajaan negeri dan institusi berkaitan dalam memartabatkan Adat Perpatih sebagai khazanah warisan budaya yang bernilai tinggi, serta relevan dalam mendepani perubahan zaman.

PERPATIH FEST 2025: PENTAS ADAT, PENGANJURAN CEMERLANG

0
YB Datuk Mohd Faizal menyifatkan Perpatih Fest 2025 sebagai antara penganjuran terbaik sepanjang 25 tahun sejarah festival wakil-wakil luak dan wilayah adat, masyarakat etnik serta reruai antarabangsa yang mengambil bahagian.
Kerjasama strategik dimeterai oleh Aziz bin Haji Mohd Gorip mewakili Lembaga Muzium Negeri Sembilan dan Datin Paduka Hajah Hazlina bagi pihak KEJORA, disaksikan sendiri oleh Datuk Mohd Faizal.

SEREMBAN, 13 Okt – Perpatih Fest 2025 melabuhkan tirainya dengan penuh gilang-gemilang menerusi satu majlis penutupan rasmi yang berlangsung di Pentas Utama, Muzium Negeri di sini, petang semalam.

Majlis berprestij itu disempurnakan oleh Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Warisan, Adat Istiadat Melayu, Teknologi, Inovasi dan Digital Negeri Sembilan, Datuk Mohd Faizal bin Ramli.

Turut hadir memeriahkan acara ialah Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Warisan merangkap ADUN Johol, Dato’ Saiful Yazan bin Sulaiman, selain beberapa tetamu kenamaan dari dalam dan luar Negeri Sembilan.

Antara yang turut hadir termasuk ADUN Seremban Jaya, Gunasekaren a/l Palasamy, yang juga Ahli Lembaga Pengarah Lembaga Muzium Negeri Sembilan, serta Pengurus Besar Lembaga Kemajuan Johor Tenggara (KEJORA), Datin Paduka Hajah Hazlina binti Jalil.

Majlis turut diserikan dengan kehadiran Pengarah Lembaga Muzium Negeri Sembilan, Aziz bin Haji Mohd Gorip, bersama ketua-ketua jabatan negeri dan persekutuan, YM penghulu-penghulu Luak, dato’-dato’ penyandang pesaka adat serta ibu-ibu soko.

Dalam ucapannya, Katanya, aspek susun atur yang tersusun, pengisian yang padat serta sambutan hangat daripada pelbagai lapisan masyarakat menjadi faktor utama kejayaan luar biasa festival kali ini.

Sehingga jam 2.30 petang pada hari terakhir, sejumlah 23,744 pengunjung fizikal direkodkan hadir ke tapak festival di Muzium Negeri, Seremban.

Manakala 195,400 pengunjung dalam talian turut mengikuti pelbagai pengisian digital termasuk siaran langsung, tayangan teaser serta dua program popular, Mak Kiah Ferry dan Wan Takaful.

Jumlah keseluruhan pengunjung mencecah 219,144 orang, sekali gus melangkaui sasaran awal Kerajaan Negeri iaitu 20,000 pengunjung, membuktikan sambutan yang amat memberangsangkan.

Datuk Mohd Faizal turut merakamkan ucapan tahniah kepada Lembaga Muzium Negeri Sembilan atas penganjuran festival yang disifatkan sangat berjaya dan berimpak tinggi.

Beliau turut menyatakan harapan agar penganjuran Perpatih Fest 2026 yang bakal berlangsung bersempena Tahun Melawat Negeri Sembilan akan tampil lebih meriah dengan pengisian baharu dan kreatif.

Majlis penutup turut menyaksikan pelancaran eksklusif Songket Bunga Lado, simbol warisan tekstil adat Negeri Sembilan yang kaya dengan nilai estetika dan sejarah budaya.

Festival turut dimeriahkan dengan penyampaian sijil penyertaan kepada wakil-wakil luak dan wilayah adat, masyarakat etnik serta reruai antarabangsa yang mengambil bahagian.

Pelbagai aktiviti menarik disajikan kepada pengunjung sepanjang festival berlangsung, termasuk pameran jabatan dan agensi, reruai produk warisan, serta karnival masakan rentas negeri yang mencuri perhatian ramai.

Majlis penutup diserikan lagi dengan sesi cabutan bertuah, menjadi penutup yang manis kepada festival yang penuh warna-warni dan semangat kekeluargaan.

Dalam majlis sama, turut berlangsung Majlis Menandatangani Perkongsian Pintar antara Lembaga Muzium Negeri Sembilan dan KEJORA.

Kerjasama strategik tersebut dimeterai oleh Aziz bin Haji Mohd Gorip mewakili Lembaga Muzium Negeri Sembilan dan Datin Paduka Hajah Hazlina bagi pihak KEJORA, disaksikan sendiri oleh Datuk Mohd Faizal.

Perpatih Fest 2025 bukan sahaja berjaya mengangkat martabat budaya Adat Perpatih ke peringkat arus perdana, malah turut membuka ruang kolaborasi antara agensi dalam memperkasa pelancongan warisan negeri.

Festival ini sekali lagi membuktikan bahawa adat dan budaya Negeri Sembilan terus hidup, subur dan relevan dalam landskap pembangunan semasa.

JELEBU 2 WHEELS FESTIVAL 2025 GEGAR KUALA KLAWANG DENGAN WARNA, AKSI DAN SEMANGAT KESUKANAN

0
Yang Dipertua MDJ, Abdul Rahim A. Aziz, festival kali ini berjaya mencapai sasaran apabila lebih 5,000 pengunjung hadir memeriahkan program sepanjang dua hari berlangsung.

KUALA KLAWANG, 13 Okt – Pekan Kuala Klawang semalam bertukar meriah apabila ribuan peminat permotoran dari seluruh negara membanjiri kawasan itu sempena Jelebu 2 Wheels Festival 2025 yang berlangsung penuh warna dan aksi.

Festival dua hari yang diadakan pada 11 dan 12 Oktober itu menyajikan pelbagai aktiviti menarik dengan deruman enjin motosikal pelbagai jenis memeriahkan suasana di pekan Jelebu.

Acara yang kini memasuki edisi ketiga ini menjadi antara program permotoran paling dinantikan di Negeri Sembilan, sekaligus menonjolkan Jelebu sebagai destinasi baharu sukan dan pelancongan komuniti.

Penganjuran kali ini diterajui oleh Majlis Daerah Jelebu (MDJ) dengan kerjasama Pejabat Belia dan Sukan Daerah Jelebu, serta disokong oleh Pejabat Daerah dan Tanah Jelebu.

Menurut Yang Dipertua MDJ, Abdul Rahim A. Aziz, festival kali ini berjaya mencapai sasaran apabila lebih 5,000 pengunjung hadir memeriahkan program sepanjang dua hari berlangsung.

“Sambutan yang diterima amat luar biasa. Ini menunjukkan Jelebu semakin dikenali dan menjadi tumpuan peminat sukan permotoran dari seluruh negara,” katanya.

Beliau menambah, acara kali ini turut disertai peserta dari Singapura, sekali gus menjadikannya program bertaraf antarabangsa yang memberi impak positif terhadap sektor pelancongan daerah.

“Festival ini bukan sekadar tempat berkumpul peminat motosikal, tetapi juga wadah memperkenalkan Jelebu sebagai destinasi pilihan untuk aktiviti sukan permotoran,” ujarnya.

Sepanjang festival, pelbagai aktiviti riadah dianjurkan termasuk larian santai, zumba, senamrobik, cabutan bertuah serta aktiviti kekeluargaan yang berjaya menarik penyertaan pelbagai lapisan masyarakat.

Suasana sepanjang acara berlangsung cukup meriah, dengan kehadiran orang ramai yang datang bersama keluarga menikmati aktiviti santai dalam suasana ceria dan harmoni.

Majlis perasmian Jelebu 2 Wheels Festival 2025 turut diserikan dengan pelancaran Hari Sukan Negara peringkat Daerah Jelebu yang disempurnakan oleh Ahli Parlimen Jelebu, YB Dato’ Jalaluddin bin Alias.

Dalam ucapannya, beliau menyeru agar budaya bersukan terus diamalkan dalam kehidupan seharian sebagai langkah ke arah gaya hidup sihat dan perpaduan masyarakat.

“Kalau budaya kesukanan ini dapat kita terapkan dalam kehidupan seharian, banyak manfaat kesihatan boleh kita capai, selain menjadikan masyarakat kita lebih cergas dan sejahtera,” katanya.

YB Dato’ Jalaluddin turut menegaskan bahawa aktiviti seperti ini bukan sahaja menyihatkan tubuh badan tetapi juga dapat memperkukuh semangat perpaduan komuniti setempat.

Sementara itu, Abdul Rahim berkata pihaknya yakin festival berkenaan berpotensi menjadi acara tahunan utama dan tarikan baharu sempena Tahun Melawat Negeri Sembilan (TMNS) 2026.

“Saya berharap program seperti ini terus diperbesarkan agar Jelebu dikenali sebagai hab utama sukan permotoran dan destinasi pelancongan baharu di masa hadapan,” ujarnya.

Dengan sambutan luar biasa dan penyertaan yang meningkat setiap tahun, Jelebu kini semakin hampir untuk dikenali sebagai pusat aktiviti permotoran dan gaya hidup sihat di Negeri Sembilan.

HARI SUKAN NEGARA DIRAI MERIAH, KELI GERGASI TAWAN CABARAN JORAN KL

0
Majlis penyampaian hadiah disempurnakan oleh Pegawai Sukan DBKL, Yazid Bin Rahim, bersama Ahli Majlis Perwakilan Penduduk (MPP) Wangsa Maju, Ghazali Katun kepada para pemenang Cabaran Joran Kuala Lumpur sempena Hari Sukan Negara 2025.

KUALA LUMPUR, 13 Okt. – Tasik Danau Kota, Setapak, hari ini menjadi tumpuan apabila seramai 815 peserta menyertai Cabaran Joran Kuala Lumpur 2025 anjuran Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) bersempena sambutan Hari Sukan Negara semalam.

Acara yang bermula seawal jam 7 pagi itu menyaksikan kehadiran ratusan kaki pancing dari pelbagai lapisan masyarakat yang hadir bersama keluarga bagi memeriahkan suasana di sekitar tasik berkenaan.

Program tahunan berkenaan diadakan bagi menyemarakkan sambutan Hari Sukan Negara serta menggalakkan warga kota mengamalkan gaya hidup sihat melalui aktiviti riadah dan rekreasi.

Pertandingan kali ini menyaksikan remaja berusia 17 tahun, Mohd. Aizuludin Mohd. Azlan dari Pantai Dalam, Kuala Lumpur, mencipta kejutan apabila berjaya menaikkan ikan keli seberat 13.515 kilogram, sekali gus dinobatkan sebagai juara Cabaran Joran Kuala Lumpur 2025.

Kemenangan itu melayakkan beliau membawa pulang hadiah wang tunai RM5,000 hasil tangkapan luar biasa menggunakan umpan hati ayam.

Menurut Mohd. Aizuludin, pengalaman selama 15 tahun dalam dunia memancing banyak membantunya mengatur strategi sepanjang pertandingan tersebut.

“Saya tidak sangka dapat muncul juara. Hadiah kemenangan ini saya rancang untuk digunakan membeli sebuah motosikal bagi memudahkan urusan harian,” katanya ketika ditemui selepas majlis penyampaian hadiah.

Tempat kedua dimenangi Mohd. Termizey Ya, 44, dari Kajang, yang menaikkan ikan patin seberat 13.305 kilogram dan membawa pulang RM2,000, manakala tempat ketiga milik Jailani Fathurtazi, 45, dari Gombak, yang berjaya menaikkan ikan keli seberat 11.780 kilogram, membawa pulang RM1,000.

Menurut DBKL, penganjuran pertandingan ini bukan sekadar acara memancing, tetapi turut menjadi wadah mengeratkan silaturahim serta memperkukuh semangat komuniti dalam kalangan warga bandar raya.

Sepanjang pertandingan, hanya seekor ikan patin berjaya dinaikkan manakala spesies ikan keli mendominasi senarai tangkapan utama daripada 111 ranking peserta terbaik.

Dalam masa sama, DBKL turut mengambil langkah mengeluarkan spesies keli Afrika bagi memastikan ekosistem tasik kekal seimbang serta memberi peluang kepada ikan tempatan untuk membiak.

Lebih 500 ekor ikan pelbagai spesies berjaya dinaikkan sepanjang pertandingan, sekali gus membuktikan Tasik Danau Kota masih kaya dengan sumber dan sesuai dijadikan lokasi aktiviti memancing di tengah-tengah ibu kota.

Cabaran Joran Kuala Lumpur 2025 turut menjadi siri terakhir program memancing anjuran DBKL bagi tahun ini selepas tiga siri terdahulu diadakan di Tasik Danau Kota sempena Hari Wilayah Persekutuan, Tasik Permaisuri sempena Hari Pekerja, dan Tasik Metropolitan Kepong bersempena Hari Kebangsaan.

Penganjuran di Tasik Danau Kota kali ini menjadi simbolik sebagai penutup tirai siri tahunan DBKL sempena sambutan Hari Sukan Negara yang diraikan di seluruh negara.

Rata-rata peserta berharap agar Cabaran Joran Kuala Lumpur kembali dianjurkan tahun depan dengan skala lebih besar, memandangkan sambutannya amat menggalakkan dan mampu menjadi platform riadah sihat untuk warga kota.

Majlis penyampaian hadiah disempurnakan oleh Pegawai Sukan DBKL, Yazid Bin Rahim, bersama Ahli Majlis Perwakilan Penduduk (MPP) Wangsa Maju, Ghazali Katun, yang turut menzahirkan ucapan tahniah kepada para pemenang serta penghargaan kepada semua peserta yang menjayakan acara berkenaan.

TWO MOTORBIKES AWAITS LUCKY WINNERS AT R5 ARRC HAPPY BAG LUCKY DRAW

0

SEPANG, Oct 10 – Idemitsu FIM Asia Road Racing Championship (ARRC) is roaring back into the Petronas International Circuit Sepang for the penultimate Round 5.

While the battles on the asphalt are heating up, fans off the track have the chance to score the biggest prize of the season – two motorbikes, Yamaha Y15ZR and Honda RSX Winner awaits lucky winners through ARRC Happy Bag lucky draw.

Round 5 marks a crucial point in the championship, where riders fight to close the gap before the final push for the title.

But the intense action isn’t the only reason to attend as the ARRC organizers are rewarding loyal fans with two incredible promotions that promise to make this weekend unforgettable.

As always, ARRC merchandising booth is rolling out the highly anticipated “Happy Bag Sale.”

Fans can purchase the R5 ARRC Happy Bag priced at RM65, stuffed with limited-edition ARRC T-Shirt, Idemitsu IRG7 lubricant (market price at RM78) and a lucky draw coupon.

The Happy Bags are the perfect way to show support on ARRC while stocking up on unique souvenirs.

However, quantities are limited and the sale is only running for the duration of Round 5, ensuring that only the most dedicated attendees get to unwrap these exciting bundles.

The true thrill for fans, however, lies in the Grand Lucky Draw! Every Happy Bag purchase made at the ARRC merchandise booth, automatically earns an entry into the draw to win the ultimate fan prize – a brand new motorcycle!

Imagine heading to the Sepang circuit to watch the best of Asian motorsports and leaving with a new set of wheels.

The winner of the lucky draw will be announced live on Sunday afternoon, turning two lucky fan’s weekend into a life-changing celebration. This is more than just a sale – it’s a golden ticket to own a piece of the two-wheeled excitement.

Don’t miss out on the championship intensity of ARRC Round 5. Come witness the high-speed thrills, grab your limited-edition Happy Bag and secure your chance to win a fantastic motorbike!

Latest Article

MISS BORNEO ANTARABANGSA 2026 BAWA INSPIRASI MARTABAT BUDAYA BORNEO

0
KUALA LUMPUR, 6 Mei – Miss Borneo Antarabangsa 2026 bukan sekadar acara pertandingan kecantikan, sebaliknya hadir dengan aspirasi besar untuk mengangkat warisan budaya dan...