Home Blog Page 8

MERIAH! KARNIVAL 3M HIDUPKAN MASJID ABU UBAIDAH

0

KUALA LUMPUR, 16 Sept – Masjid Abu Ubaidah Al-Jarrah (MAU), Taman Sri Rampai, mencipta kemeriahan tersendiri apabila menganjurkan Karnival 3M sempena sambutan Hari Malaysia, Maulidur Rasul dan Hari Kebangsaan pada 15 hingga 16 September 2025 bersamaan 12 dan 13 Rabiulawal 1447H.

Ketua Imam MAU, Ustaz Ahmad Faidhul Irfan bin Ahmad Mustaffa Kamal, berkata lebih 5,000 pengunjung hadir sepanjang dua hari penganjuran, sekali gus membuktikan sokongan padu masyarakat terhadap program berteraskan masjid.

Beliau menegaskan penganjuran itu mencapai matlamat utama, iaitu mengimarahkan masjid dengan aktiviti bermanfaat untuk semua lapisan masyarakat. Malah, pihaknya berhasrat menjadikan karnival ini sebagai acara tahunan dengan pengisian lebih segar pada masa akan datang.

Antara acara utama yang menarik perhatian pengunjung ialah Tausiah Maulid dan Qasidah bersama Habib Najmuddin, selain Qiamullail yang dipimpin Ustaz Rozmie Rejab.

Tidak ketinggalan, program Forum Subuh Khas menampilkan barisan panel terkenal iaitu Ustaz Amran Yusoff, Haji Ijam dan Haji Iwan Shahman yang menyentuh isu-isu semasa berkaitan umat Islam.

Selain pengisian kerohanian, karnival turut dimeriahkan dengan pelbagai acara santai seperti Sukan Rakyat, Pertandingan E-sport FIFA, Pertandingan Mewarna, serta aktiviti kanak-kanak yang dikendalikan Soopa Doopa.

Pengunjung juga berpeluang mendapatkan perkhidmatan percuma termasuk rawatan fisioterapi dan pemeriksaan kesihatan hasil kerjasama dengan Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP).

Dalam masa sama, golongan asnaf turut disantuni melalui Program Sumbangan Asnaf Al-Falah yang menyalurkan bantuan kepada mereka yang memerlukan.

Malah, penyertaan asnaf dalam pameran jualan sepanjang karnival membuka ruang kepada mereka menjana pendapatan serta memperkukuh ekonomi keluarga.

Karnival ini juga menjadi platform mengukuhkan ukhuwah dalam kalangan masyarakat pelbagai latar belakang, sekali gus menjadikan masjid sebagai pusat komuniti yang mesra dan inklusif.

Program berkenaan turut mendapat sokongan padu pelbagai pihak termasuk MAIWP, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), K2S, MAU serta beberapa agensi kerajaan dan NGO tempatan.

Kejayaan penganjuran Karnival 3M tahun ini diharap menjadi pemangkin kepada lebih banyak aktiviti seumpamanya, agar masjid terus menjadi pusat kerohanian, riadah dan pembangunan sosial masyarakat setempat.

CABARAN JORAN MALAYSIAKU SEMARAKKAN KARNIVAL 3M MAU

0
Pengerusi MAU, Hj. Isahak Othaman menyampaikan hadiah kepada para pemenang dalam Cabaran Joran Malaysiaku semalam.
Ketua Pengarah, jabatan Penerangan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya, Haji Pak Din turut memberikan sokongan kepada penganjuran Cabaran Joran Malaysiaku semalam.

KUALA LUMPUR, 16 Sept – Tasik Sri Rampai, Setapak semalam meriah apabila Masjid Abu Ubaidah Al-Jarrah (MAU) menganjurkan pertandingan memancing bertemakan Cabaran Joran Malaysiaku sempena Karnival 3M bersempena sambutan Hari Malaysia, Maulidur Rasul dan Hari Kebangsaan.

Pertandingan itu menarik penyertaan hampir 600 peserta dari pelbagai negeri termasuk Pahang, Melaka, Negeri Sembilan, Kuala Lumpur dan Selangor, menjadikannya antara acara komuniti paling mendapat sambutan tahun ini.

Pengerusi MAU, Hj. Isahak Othaman, berkata sambutan yang luar biasa itu mengatasi jangkaan pihak penganjur. Beliau menegaskan pertandingan tersebut akan dijadikan acara tahunan dengan pengisian lebih menarik pada masa hadapan.

Hampir 600 peserta hadir memeriahkan Cabaran Joran Malaysiaku.

Menurutnya, program itu bukan sekadar aktiviti riadah, malah menjadi wadah merapatkan ukhuwah sesama masyarakat di samping menghidupkan peranan masjid sebagai pusat komuniti yang aktif dan terbuka kepada semua.

Acara berkenaan menyaksikan Abu Rahim Bahar, 59, dari Kuala Lumpur muncul juara selepas menaikkan ikan spesies Alligator Gar seberat 11.62 kilogram menggunakan umpan isi ayam. Beliau membawa pulang hadiah wang tunai RM5,000.

“Saya tidak sangka boleh menang kerana hanya menyertai pertandingan ini sekadar suka-suka. Hadiah kemenangan ini akan saya gunakan untuk keluarga dan aktiviti memancing,” katanya.

Naib juara dimenangi Jo Paidi dari Segambut dengan tangkapan ikan keli seberat 2.85 kilogram, manakala tempat ketiga milik Muhammad Nasib Mohd Eza, 30, dari Pelabuhan Klang yang menaikkan ikan keli seberat 1.435 kilogram.

Menariknya, pertandingan ini dianjurkan selepas lebih 13 tahun tiada acara besar diadakan di Tasik Sri Rampai. Rata-rata peserta berharap ia diteruskan sebagai usaha menghidupkan semula tasik berkenaan sebagai lokasi riadah masyarakat.

Spesies asing Alligator Gar berjaya ditawan kaki pancing sebagai usaha ekosistem tasik untuk spesis ikan tempatan kekal di tasik-tasik ibu kota.

Selain itu, pertandingan kali ini turut bertujuan mengawal dan menaikkan spesies ikan larangan seperti peace cock, tilapia dan yang paling mengejutkan spesies asing Alligator Gar berjaya ditawan kaki pancing. Usaha sebegini harus diteruskan agar ekosistem tasik dapat dipulihkan sekali gus memberi ruang kepada spesies ikan tempatan terus membiak dengan sihat.

Sepanjang pertandingan, lebih 111 ekor ikan pelbagai spesies berjaya dinaikkan termasuk baung, lampam, ketutu, tilapia dan haruan. Kejayaan ini sekaligus memberi kesan positif terhadap keseimbangan ekosistem tasik.

Majlis turut diserikan dengan kehadiran penduduk setempat serta pengunjung dari pelbagai latar belakang, sekali gus memperlihatkan semangat kekeluargaan, perpaduan dan kebersamaan masyarakat.

Program itu dianjurkan dengan kerjasama MAIWP, DBKL, K2S, MAU serta beberapa agensi kerajaan dan NGO tempatan. Pujian harus diberikan kepada para pemancing yang hadir kerana sumbangan mereka bukan sahaja memeriahkan pertandingan, tetapi juga membantu menjaga kelestarian Tasik Sri Rampai untuk generasi akan datang.

CABARAN JORAN MALAYSIAKU TERIMA TAJAAN SRI RAMPAI FISHING TACKLE

0
Ustaz Haji Isahak bin Othaman menerima tajaan berupa produk memancing dari penaja SRT, Mohd Aidi Senin.

KUALA LUMPUR: Sri Rampai Fishing Tackle (SRT) menaja pertandingan Cabaran Joran Malaysiaku yang akan berlangsung pada 16 September ini di Taman Tasik Sri Rampai, di sini, sempena sambutan 3M (Malaysia, Maulidur Rasul, Merdeka). 

Pengurus SRT, Mohd Aidi Senin, berkata sumbangan itu sebagai sokongan kepada pihak masjid yang menganjurkan aktiviti sihat berasaskan komuniti.

Katanya, usaha sebegini dapat menggalakkan gaya hidup sihat selain mengeratkan hubungan dalam kalangan masyarakat setempat.

Pertandingan itu menawarkan hadiah wang tunai keseluruhan RM20,000 dengan juara membawa pulang RM5,000, tempat kedua RM2,000 dan ketiga RM1,000.

Peserta yang menduduki tempat keempat hingga kesepuluh bakal menerima RM200 setiap seorang, manakala tempat ke-11 hingga ke-20 menerima RM150.

Bagi ranking ke-21 hingga ke-111 pula, masing-masing akan membawa pulang hadiah saguhati RM100 seorang.

SRT turut menaja 15 hadiah barangan memancing untuk cabutan bertuah selain memberikan potongan harga 10 peratus di premis mereka sepanjang karnival.

Sebanyak 300 T-shirt percuma disediakan untuk pendaftaran awal. Yuran penyertaan ditetapkan RM50 bagi satu joran dengan dua mata kail, membolehkan peserta disenaraikan sehingga ranking ke-111.

Pendaftaran walk-in dibuka pada 15 September 2025 (Isnin) dari jam 3 petang hingga 7 malam, dan keesokan harinya bermula 6.30 pagi.

Orang ramai yang berminat boleh melayari laman Facebook rasmi Joran KL atau menghubungi urus setia di talian 013-2667011, 012-3554946 dan 012-6468111 untuk maklumat lanjut.

KARNIVAL 3M ERAT UKHUWAH, SEMARAKKAN PERPADUAN

0
Ketua Imam Masjid, Ustaz Ahmad Faidhul Irfan bin Ahmad Mustaffa Kamal, berkata program ini merupakan manifestasi peranan masjid sebagai pusat pembangunan ummah dan komuniti.

KUALA LUMPUR, 9 Sept 2025 – Masjid Abu Ubaidah Al-Jarrah, Taman Sri Rampai bakal menganjurkan Karnival Sambutan Hari Malaysia, Maulidur Rasul dan Merdeka (3M) pada 15 hingga 16 September 2025, bersamaan 12 dan 13 Rabiulawal 1447H.

Bertemakan “Cinta Rasul Membina Ummah, Perpaduan Memacu Malaysia Merdeka”, karnival ini menggabungkan elemen keagamaan, kenegaraan dan kemasyarakatan dalam satu program yang dirancang untuk menyatukan pelbagai lapisan masyarakat.

Ketua Imam Masjid, Ustaz Ahmad Faidhul Irfan bin Ahmad Mustaffa Kamal, berkata program ini merupakan manifestasi peranan masjid sebagai pusat pembangunan ummah dan komuniti. Ia juga bertujuan memperkukuh semangat perpaduan dan kasih sayang sesama insan, tanpa mengira kaum dan latar belakang.

Menurut beliau, pengunjung dari luar termasuk peserta Pertandingan Joran Malaysiaku dijemput untuk beriktikaf di masjid, menyertai qiamullail, solat berjemaah dan forum subuh khas yang akan dikendalikan oleh tokoh-tokoh agama terkenal. Tambahan pula, menu kambing golek akan disediakan kepada semua hadirin sebagai simbolik ukhuwah.

Karnival ini turut membawa objektif menyemarakkan cinta kepada Rasulullah SAW dan negara, memupuk keharmonian kaum, memperkasa golongan asnaf, serta menggalakkan penyertaan masyarakat dalam program berimpak tinggi dan bersifat kesukarelawanan.

Antara acara utama yang bakal berlangsung termasuk Tausiah Maulid dan Qasidah bersama Habib Najmuddin, Qiamullail bersama Ust Rozmie Rejab, serta Forum Subuh Khas bersama Ustaz Amran Yusoff, Haji Ijam dan Haji Iwan Shahman.

Selain itu, pengunjung boleh menyertai pelbagai aktiviti menarik seperti Sukan Rakyat, Pertandingan E-sport FIFA, Pertandingan Mewarna, Aktiviti Kanak-Kanak Soopa Doopa, serta menikmati perkhidmatan percuma seperti rawatan fisioterapi dan pemeriksaan kesihatan hasil kerjasama dengan MAIWP.

Golongan asnaf juga tidak dilupakan melalui Program Sumbangan Asnaf Al-Falah dan penyertaan mereka dalam pameran jualan, sekali gus membuka ruang menjana pendapatan serta memperkukuh ekonomi mereka.

Pihak penganjur menjangkakan lebih 5,000 pengunjung akan hadir sepanjang dua hari program berlangsung. Kehadiran komuniti tempatan, keluarga peserta memancing serta masyarakat umum dijangka menyemarakkan lagi suasana sambutan 3M ini.

Orang ramai yang berminat menyertai sebarang acara sepanjang karnival ini boleh menghubungi Ustaz Hanif di talian 011-1195 4909 untuk pendaftaran dan maklumat lanjut. Semua lapisan masyarakat dijemput hadir bagi mengimarahkan masjid dan menghayati semangat cinta Rasul dan Malaysia yang merdeka.

CABARAN JORAN MALAYSIAKU TAWAR HADIAH TUNAI RM20,000 SEMPENA KARNIVAL 3M

0
Penyertaan seramai 500 peserta sasaran ke pertandingan memancing di Tasik Sri Rampai, Kuala Lumpur pada 16 September 20215 (Selasa) nanti.

KUALA LUMPUR, 8 Sept. 2025 – Sempena sambutan Hari Malaysia, Maulidur Rasul dan Hari Kebangsaan, satu pertandingan memancing berskala besar bertajuk Cabaran Joran Malaysiaku akan diadakan pada 16 September ini di Taman Tasik Sri Rampai, Setapak.

Pertandingan yang menjadi acara utama Karnival 3M itu menawarkan jumlah keseluruhan hadiah wang tunai sebanyak RM20,000, sekali gus menjanjikan penyertaan hebat dalam kalangan kaki pancing dari seluruh negara.

Juara pertandingan bakal membawa pulang hadiah utama bernilai RM5,000, manakala tempat kedua dan ketiga masing-masing akan menerima RM2,000 dan RM1,000.

Peserta yang menduduki tempat keempat hingga kesepuluh pula akan menerima RM200 setiap seorang, tempat ke-11 hingga ke-20 menerima RM150, manakala tempat ke-21 hingga ke-111 masing-masing akan membawa pulang RM100.

Pertandingan ini terbuka kepada semua lapisan masyarakat tanpa mengira peringkat usia atau pengalaman, dan mempertandingkan semua spesies ikan air tawar yang terdapat di Tasik Sri Rampai seperti keli, patin, haruan, tilapia, lampam dan kaloi.

Yuran penyertaan ditetapkan sebanyak RM50 bagi setiap joran dengan dua mata kail, sekali gus menjadikan ia antara pertandingan memancing mampu milik yang menawarkan pulangan lumayan.

Pendaftaran ‘walk-in’ akan dibuka pada 15 September (Isnin) mulai jam 3.00 petang, manakala pada hari pertandingan, kaunter pendaftaran dibuka seawal 6.30 pagi. Proses pemilihan pancang turut berlangsung pada 15 September.

Menurut jurucakap program, Ustaz Haji Isahak bin Othaman, pihak penganjur menyasarkan penyertaan seramai 500 peserta, dan sebanyak 300 helai t-shirt edisi khas Cabaran Joran Malaysiaku akan diberikan secara percuma kepada peserta terawal yang mendaftar sebagai tanda penghargaan.

“Program ini bukan sahaja bertujuan untuk menyemarakkan semangat cintakan negara dan memperingati sejarah Islam, malah menjadi wadah ukhuwah dalam kalangan masyarakat setempat,” katanya.

Cabaran Joran Malaysiaku dianjurkan oleh Masjid Abu Ubaidah Al-Jarrah dengan kerjasama Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP), Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), K2S, MAU, serta beberapa jabatan kerajaan dan badan bukan kerajaan (NGO) tempatan.

Selain pertandingan memancing, Karnival 3M turut menampilkan pelbagai aktiviti menarik seperti forum agama, rawatan kesihatan percuma, sukan rakyat, e-sukan, pertandingan azan, dakwah kreatif serta pertandingan mewarna kanak-kanak.

Karnival akan bermula pada 15 September (Isnin) dengan pengisian rohani khas Tausiyah Maulid & Qasidah oleh Habib Najmuddin pada jam 9.00 pagi, diikuti ceramah agama dan forum bersama Ustaz Tirmizi Haji Ali dan Ustaz Syed Norhisyam.

Orang ramai yang berminat untuk menyertai pertandingan atau mendapatkan maklumat lanjut boleh menghubungi urus setia di talian 013-2667011, 012-3554946 atau 012-6468111.

UMPAN UDANG HIDUP, ROSTAM BAWA PULANG RM10,000

0
Majlis penyampaian hadiah disempurnakan oleh Pengarah Jabatan Kemasyarakatan MBDK, Azhar bin Samsudin bersama Lee Fu Haw.

KLANG, 7 Sept. – Pantai Tanjung Harapan terus mencuri tumpuan apabila lebih 400 pemancing dari seluruh negara berkampung di sini sempena Sufcasting Tanjung Harapan Challenge 2025, yang berlangsung dengan meriah semalam.

Pertandingan ini merupakan anjuran Majlis Bandaraya Diraja Klang (MBDK) dan Kail Kota Events, serta sokongan penuh Tourism Malaysia, sebagai salah satu pengisian istimewa menjelang Tahun Melawat Selangor 2025 dan Tahun Melawat Malaysia 2026.

Lebih menarik, penyertaan datang dari pelbagai negeri seperti Terengganu, Pahang, Perak, Melaka, Negeri Sembilan, Kuala Lumpur dan Selangor, sekali gus menonjolkan potensi besar Tanjung Harapan sebagai lokasi pelancongan berasaskan sukan rekreasi laut.

Lebih 300 ekor ikan pelbagai spesies berjaya didaratkan sepanjang pertandingan, termasuk ketuka, duri, mayong, senangin, semilang, tebal pipi, talang, gelama, todak dan daun baru. Keunikan hasil tangkapan ini memperlihatkan kekayaan biodiversiti perairan Tanjung Harapan yang berpotensi diangkat sebagai hab sufcasing utama negara.

Menurut Ahli Majlis MBDK (N44A), Lee Fu Haw, acara ini bukan sekadar pertandingan memancing, malah menjadi pemangkin kepada pembangunan pelancongan setempat.

“Kehadiran ratusan peserta dari luar negeri memberi petunjuk jelas bahawa Tanjung Harapan mampu dijadikan sebagai destinasi wajib kaki pancing dan tumpuan pelancongan baharu di Selangor,” katanya.

Beliau menambah, MBDK komited memperkasakan lagi infrastruktur asas seperti kemudahan tandas, surau dan parkir, selain memperindah kawasan sekitar tasik serta memperkenalkan program pendidikan awam seperti kempen kebersihan pantai dan aktiviti sukan air.

Dalam masa sama, usaha menaik taraf produk pelancongan sedia ada seperti kapal Bugis yang berlabuh di lokasi itu sedang digiatkan, bagi menambah nilai warisan maritim sebagai tarikan baharu kepada pelancong domestik dan antarabangsa.

Majlis penyampaian hadiah disempurnakan oleh Pengarah Jabatan Kemasyarakatan MBDK, Azhar bin Samsudin bersama Lee Fu Haw.

Tempat pertama dimenangi oleh Rostam bin Ibrahim, 50, dari Pekan, Pahang yang menaikkan ikan senangin seberat 2.285 kilogram menggunakan umpan udang hidup, dan membawa pulang RM10,000.

“Luar jangka… Alhamdulillah atas kemenangan ini,” ujar beliau ringkas.

Naib johan disandang oleh Shah Nazad bin Aman Shah, 57, yang menaikkan ikan mayong seberat 1.305 kilogram, menerima hadiah wang tunai RM3,000, manakala tempat ketiga milik Muhammad Aleef Ruhaimey bin Samsuri, 26, dengan tangkapan mayong seberat 1.080 kilogram, menerima RM1,000.

Melihat kepada sambutan hangat yang diterima, MBDK merancang untuk menganjurkan edisi kedua pertandingan ini pada November depan, bersempena ulang tahun kedua penubuhan pihak berkuasa tempatan tersebut.

Acara ini dijangka menjadi antara aktiviti tahunan utama yang bukan sahaja memupuk minat dalam sukan memancing, malah turut membuka peluang ekonomi dan pekerjaan kepada komuniti setempat menerusi industri pelancongan.

Dengan perancangan strategik dan sokongan berterusan, Tanjung Harapan berpotensi besar untuk muncul sebagai lokasi pelancongan rekreasi laut unggul serta pusat tumpuan aktiviti sufcasing bertaraf nasional.

SURFCASTING TANJUNG HARAPAN 2025 GEGAR PANTAI – HADIAH RM25,500 MENANTI JUARA!

0
Menurut jurucakap penganjur, Zaiton Binti Ahmad berkata, acara ini bukan sekadar sukan memancing, malah merupakan platform penting untuk menaikkan Tanjung Harapan sebagai pusat rekreasi komuniti dan destinasi pelancongan berasaskan aktiviti luar.

KLANG – Hadiah wang tunai keseluruhan berjumlah RM25,500 bakal menjadi rebutan ratusan kaki pancing dari seluruh negara menerusi pertandingan Surfcasting Tanjung Harapan Challenge 2025 yang bakal berlangsung pada Ahad ini di pesisir pantai Tanjung Harapan, Pelabuhan Klang.

Pertandingan yang dijadualkan bermula jam 8.30 pagi hingga 12.30 tengah hari ini dianjurkan oleh Majlis Bandaraya Diraja Klang (MBDK) bersama Kail Kota Events, dengan sokongan Tourism Malaysia, bersempena kempen Visit Malaysia 2026 dan Tahun Melawat Selangor 2025.

Menurut jurucakap penganjur, Zaiton Binti Ahmad berkata, acara ini bukan sekadar sukan memancing, malah merupakan platform penting untuk menaikkan Tanjung Harapan sebagai pusat rekreasi komuniti dan destinasi pelancongan berasaskan aktiviti luar.

“Tanjung Harapan mempunyai potensi besar sebagai lokasi riadah keluarga dan aktiviti komuniti. Melalui pertandingan ini, kita bukan sahaja menggalakkan aktiviti sihat dalam kalangan masyarakat, malah mempromosikan keindahan semula jadi dan daya tarikan pelancongan Klang,” katanya.

Hadiah utama berupa wang tunai RM10,000 disediakan untuk juara, manakala tempat kedua dan ketiga masing-masing akan menerima RM3,000 dan RM1,000. Tempat keempat hingga ke-10 pula akan membawa pulang RM200, tempat ke-11 hingga ke-20 menerima RM150, dan tempat ke-21 hingga ke-100 membawa pulang RM100 setiap seorang.

Yuran penyertaan hanya RM70 untuk satu joran (dua mata kail), dan 400 peserta terawal akan menerima t-shirt eksklusif percuma. Acara ini turut dimeriahkan dengan cabutan bertuah yang menawarkan hadiah menarik seperti tiga unit TV 32 inci serta pelbagai barangan memancing.

Menariknya, kawasan Tanjung Harapan sememangnya terkenal dalam kalangan kaki pancing sebagai lokasi strategik untuk menangkap pelbagai spesies ikan popular. Antara spesies yang sering dinaikkan termasuk pari, senangin, gelama, kerapu, sembilang, belukang, tetanda, duri, ketuka dan jenahak. Struktur dasar laut berlumpur dan berbatu di sekitar pesisir ini menjadikannya habitat semula jadi bagi ikan-ikan dasar yang aktif, terutama ketika air pasang surut.

Pendaftaran awal akan dibuka pada 6 September (Sabtu) dari jam 3.00 petang hingga 7.00 malam, serta pada pagi 7 September (Ahad) dari 6.30 pagi hingga 10.00 pagi di khemah penganjur.

Selain memancing, pengunjung juga berpeluang menikmati keindahan pantai Klang, bersiar-siar bersama keluarga, menjamu selera dengan makanan laut segar dan bergambar di lokasi ikonik seperti Jambatan Pelabuhan Klang, mercu tanda maritim, serta menikmati panorama matahari terbenam terbaik di Lembah Klang.

Dengan penganjuran pertandingan berskala besar ini, Tanjung Harapan terus diangkat sebagai pusat rekreasi komuniti dan destinasi pelancongan baharu, sejajar aspirasi MBDK untuk membina Klang sebagai bandar beridentiti, mesra rakyat dan berdaya saing.

Untuk maklumat lanjut dan penyertaan, orang ramai boleh menghubungi talian 013-2667011, 017-6805934, atau 012-2846811.

BELIDA 4.7KG BAWA TUAH, AZHARI RAI KEMENANGAN BERGANDA

0
Majlis penyampaian hadiah kepada para pemenang disempurnakan oleh Timbalan Pengarah Kanan, Jabatan Kebudayaan, Kesenian, Pelancongan dan Sukan DBKL, Wan Noorzuliana Binti Wan Hussin.

KUALA LUMPUR – Ikan belida seberat 4.765 kilogram (kg) muncul juara dalam Cabaran Joran Kuala Lumpur 2025 sempena sambutan Hari Kebangsaan ke-68 yang berlangsung di Tasik Metropolitan, Kepong, semalam.

Kemenangan berganda milik peserta dari Sungai Besi, Azhari Azizol bin Omar, 28, yang bukan sahaja menjuarai pertandingan tersebut, malah turut merangkul tempat kedua apabila berjaya menaikkan seekor lagi belida seberat 4.120kg, hanya 20 minit selepas tangkapan pertamanya.

Azhari yang bekerja sendiri, membawa pulang hadiah keseluruhan berjumlah RM7,000, hasil tangkapan menggunakan umpan anak ikan keli.

“Saya memang tidak sangka. Rezeki sempena Hari Kebangsaan ini saya nak kongsi dengan keluarga dan selebihnya akan disimpan,” katanya yang masih bujang.

Tempat ketiga disandang oleh Muhammad Ridzuan Bin Musrafi, 35, dari Ampang, Selangor yang bekerja sebagai pemandu, selepas menaikkan belida seberat 3.995kg pada jam 10.05 pagi dan membawa pulang hadiah RM1,000.

Pertandingan anjuran Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) itu menyaksikan penyertaan 680 kaki pancing dari seluruh negara termasuk Melaka, Negeri Sembilan, Selangor, Perak dan Kuala Lumpur.

Meskipun spesies patin dan keli mega menjadi buruan utama, tiada tangkapan berjaya dicatatkan. Namun begitu, lebih 300 ekor ikan pelbagai spesies berjaya dinaikkan peserta, antaranya ketutu, lampan, tilapia, haruan dan keli.

Rata-rata peserta menyifatkan program ini sebagai satu platform sihat dan berharap ia diteruskan oleh DBKL pada masa hadapan.

Majlis penyampaian hadiah kepada para pemenang disempurnakan oleh Timbalan Pengarah Kanan, Jabatan Kebudayaan, Kesenian, Pelancongan dan Sukan DBKL, Wan Noorzuliana Binti Wan Hussin.

Menurut beliau, cabaran joran ini merupakan siri ketiga yang diadakan di Tasik Metropolitan, dan akan diteruskan ke siri keempat di Tasik Danau Kota pada bulan Oktober ini.

“Program seperti ini dapat memupuk semangat kekeluargaan dan cintakan negara. Tasik-tasik di ibu kota perlu dimanfaatkan warga kota melalui aktiviti berfaedah,” katanya.

Acara ini adalah antara inisiatif DBKL dalam menyemarakkan tasik-tasik di ibu kota sebagai lokasi rekreasi untuk keluarga dan komuniti bandar.

PESTA PARIT @ PACHITAN PERKUKUH WARISAN, SEMARAK SEMANGAT KOMUNITI

0

PORT DICKSON, 29 Ogos 2025 – Kampung Pachitan bakal kembali meriah dengan acara tahunan yang dinanti-nantikan, iaitu Pesta Parit @Pachitan yang akan berlangsung pada Ahad, 28 September 2025 bertempat di Parit Belakang Kampung Pachitan.

Acara anjuran Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) Kg. Pachitan itu akan bermula seawal 8.00 pagi, dan menjanjikan pelbagai pengisian menarik yang menggabungkan hiburan, warisan dan komuniti.

Menurut jurucakap program, Ahmad Nadzri Ismail, pesta ini bukan sekadar pertandingan memancing, malah platform menyatukan penduduk pelbagai peringkat umur menerusi aktiviti kampung yang mengimbau nostalgia.

“Tahun ini, kami bukan hanya mahu cari Raja Parit @Pachitan, tapi juga mahu hidupkan semula suasana desa yang makin pudar ditelan zaman,” katanya.

Antara acara paling dinanti sudah tentu Pertandingan Memancing Kategori Puyu, yang menawarkan hadiah wang tunai RM2,000 untuk juara, RM700 bagi naib juara dan RM500 untuk tempat ketiga.

Peserta yang berjaya menduduki tempat ke-4 hingga ke-50 pula tidak pulang tangan kosong kerana bakal menerima saguhati bernilai RM100 dan RM50.

Bagi Kategori Spesies, ikan selain puyu terberat akan membawa pulang RM100, manakala kategori Tangkapan Terpantas turut menawarkan jumlah sama.

Dengan hanya RM50 yuran penyertaan setiap joran, pesta ini dianggap antara yang paling berbaloi untuk disertai kaki pancing dari seluruh negara.

Lebih menarik, pengunjung juga boleh menyertai pelbagai permainan tradisional seperti Meniti Titian Tok Min, Pukul Bantal dan Ngoca Sembilang yang kini jarang sekali kelihatan di kampung-kampung.

Aktiviti ini bukan sahaja menghiburkan, malah menjadi wadah mendekatkan generasi muda kepada budaya warisan.

Namun, acara paling mencuri perhatian semestinya Cabutan Bertuah, yang menawarkan hadiah utama berupa sebuah Modenas Kriss, motosikal elektrik (EV) dan barangan elektrik yang pasti buat ramai tidak sabar mencuba nasib.

Menurut penyelaras program, Nizam, pesta ini dijangka mendapat sambutan luar biasa berdasarkan kejayaan edisi-edisi terdahulu.

Beliau berkata, orang ramai dari luar kawasan turut dialu-alukan hadir untuk merasai keunikan budaya serta keakraban penduduk kampung.

“Lebih ramai yang datang, lebih meriah suasana – kami sedia sambut semua,” ujarnya ringkas.

Sebarang pertanyaan atau penyertaan boleh dibuat dengan menghubungi urus setia di talian berikut: Syahfizie (011-3239 0949), Syamil (011-1123 7318), Salim (016-567 1907), atau Arizal (017-625 1124).

Ayuh kita pacak joran, rebut hadiah dan raikan warisan di Pesta Parit @Pachitan 2025!

TUAH PANCING, PENIAGA MENANG RM5,000 DI TASIK SERI AMAN

0
Majlis penyampaian hadiah disempurnakan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sri Serdang, Abbas Salimmi Che Adzmi @ Azmi dan Timbalan Datuk Bandar MBSJ, Mohd. Zulkurnain Che Ali.

PUCHONG, 25 Ogos – Taman Tasik Seri Aman di sini terus mencuri perhatian sebagai destinasi rekreasi dan pelancongan apabila menjadi lokasi penganjuran Cabaran Joran Merdeka Majlis Bandaraya Subang Jaya (MBSJ) 2025, yang berjaya menghimpunkan lebih 700 pemancing dari pelbagai negeri antaranya Melaka, Negeri Sembilan, Perak, Pahang, Kuala Lumpur dan Selangor, semalam.

Pertandingan dwitahunan ini dianjurkan oleh MBSJ dengan kerjasama Nadi Media Events dan mendapat sokongan penuh Majlis Perwakilan Penduduk (MPP) Zon 12, sebagai sebahagian daripada sambutan ulang tahun kelima MBSJ dan Bulan Kemerdekaan Malaysia.

Lebih membanggakan, program ini turut diangkat sebagai antara inisiatif mempromosikan Taman Tasik Seri Aman sebagai produk pelancongan komuniti, sempena pelancaran kempen Tahun Melawat Selangor 2025.

Suasana pertandingan yang bermula seawal jam 8.30 pagi berlangsung dalam suasana santai dan meriah, dengan lebih 500 ekor ikan pelbagai spesies berjaya dinaikkan oleh para peserta sepanjang tempoh pertandingan.

Cabutan bertuah Motorsikal dimiliki oleh Mohd Zaki Shamsuddin dari Puchong.

Namun, tuah nyata memihak kepada seorang peniaga air dari Semenyih, Mustafa Abdul Aziz, 51, yang berjaya mendaratkan ikan bandar raya seberat 0.

755 kilogram, sekali gus membawa pulang hadiah utama berupa wang tunai RM5,000.

“Saya sebenarnya tidak menyangka langsung untuk menang. Niat asal hanya ingin bersantai bersama keluarga. Ini pun baru kali kedua saya menyertai pertandingan memancing. Tak sangka pula umpan roti pandan disambar ikan,” katanya.

Menurut Mustafa, beliau tiba di lokasi bersama isteri dan dua anak hanya untuk bersantai bersama keluarga, tak sangka menang pula. Beliau juga menyatakan hasrat menggunakan sebahagian wang kemenangan untuk keperluan keluarga.

Majlis penyampaian hadiah disempurnakan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sri Serdang, Abbas Salimmi Che Adzmi @ Azmi dan Timbalan Datuk Bandar MBSJ, Mohd. Zulkurnain Che Ali.

Naib juara dimenangi Nel Bapak, 64, dari Kampung Orang Asli Air Kuning, Shah Alam yang menaikkan ikan tilapia seberat 0.645 kilogram dan membawa pulang RM3,000. Tempat ketiga pula diraih oleh Ahmad Muzammil Samsul Anuar, 30, dari Pantai Dalam yang menerima RM1,000 selepas menaikkan ikan bandar raya seberat 0.580 kilogram.

Sementara itu, Timbalan datuk Bandar MBSJ, Mohd. Zulkurnain berkata, pertandingan ini bukan sekadar acara sukan dan riadah, malah menjadi platform efektif bagi mempromosikan tasik-tasik rekreasi di bawah seliaan MBSJ sebagai destinasi pelancongan komuniti.

“Cabaran Joran Merdeka ini juga merupakan sebahagian usaha menyokong kempen Tahun Melawat Selangor 2025.

“Kita mahu menjadikan kawasan seperti Taman Tasik Seri Aman ini sebagai tarikan pelancong sambil menyemai semangat perpaduan dan gaya hidup sihat melalui aktiviti santai seperti memancing,” katanya.

Latest Article

MISS BORNEO ANTARABANGSA 2026 BAWA INSPIRASI MARTABAT BUDAYA BORNEO

0
KUALA LUMPUR, 6 Mei – Miss Borneo Antarabangsa 2026 bukan sekadar acara pertandingan kecantikan, sebaliknya hadir dengan aspirasi besar untuk mengangkat warisan budaya dan...